Jangan hapuskan SOSMA

Jangan hapuskan SOSMA

MUSA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebarang cadangan penambahbaikan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA boleh dilakukan, namun tidak boleh sesekali mengurangkan ‘taring’ undang-undang itu yang digubal bertujuan untuk membendung keganasan dan jenayah terancang sehingga menggugat ke­selamatan negara.

Undang-undang itu yang berperanan untuk menjaga keselamatan tanah air adalah digubal bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Ne­geri (ISA) 1960 yang dimansuhkan pada 31 Julai 2012 selepas 52 tahun dilaksanakan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, elemen yang digariskan di bawah undang-undang itu mencukupi kerana memberi ruang kepada pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terperinci terhadap kegiatan jenayah dilakukan oleh pesalah.

Justeru, menurut beliau, SOSMA wajar dikekalkan tetapi boleh dilakukan penambahbaikan dengan mengambil kira kritikan pelbagai pihak terhadap undang-undang itu sebagai tidak keperimanusian.

“Ya, boleh tambah baik tetapi jangan sampai tutup akta ini. Namun saya melihat elemen-elemen di bawah SOSMA ini sudah mencukupi.

“Misalnya melanjutkan tempoh reman (tidak lebih daripada 28 hari), tempoh ini sudah memandai bagi polis melakukan siasatan. Nama pun jenayah terancang, jadi bagi polis memerlukan lebih masa untuk melakukan siasatan terperinci,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju untuk mengkaji se­mula peruntukan di dalam SOSMA dengan lebih teliti kerana ingin menangani aspek yang menerima kritikan se­perti peruntukkan menghadkan pemberian jaminan.

PETUNJUK

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi petunjuk bahawa kerajaan tidak akan menyemak semula SOSMA sehingga membangkitkan rasa tidak puas hati beberapa pihak termasuk ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), aktivis hak asasi.

Dalam pada itu, Musa berkata, polis tidak sewenang-wenangnya menahan seseorang individu di bawah SOSMA walaupun pelbagai pihak mengkritik undang-undang itu sebagai tidak keperimanusian.

Beliau menjelaskan, hal ini kerana mereka ditahan kerana setelah dihidu pasukan polis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mengancam keselamatan dan jenayah terancang bagi menggugat keselamatan tanah air sekali gus menuntut tahanan segera bagi melakukan siasatan secara terperinci.

Justeru, mereka yang tidak puas hati kerana ditahan di bawah undang-undang boleh mengemukakan permohonan habeas corpus (penahanan salah) ke mahkamah agar dilepaskan daripada tahanan.

“Jika pihak polis mengesyaki individu melakukan jenayah terancang, jadi siasatan memerlukan proses yang panjang dan teliti di bawah Akta SOSMA itu sendiri. Nama pun jenayah terancang, jadi polis kena teliti dalam soal dan tidak boleh ambil mudah.

“Bukan suka-suka polis untuk tangkap seseorang itu di bawah SOSMA setelah menghidu kegiatan dilakukan mereka, barulah buat keputusan membuat penahanan di bawah undang-undang itu,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×