Masalah ulat bungkus sering menjadi igauan buruk kepada penanam sawit di negara ini.
Ulat bungkus merosakkan permukaan daun sawit menyebabkab daun menjadi kering dan reput.
Cebisan daun sawit yang kering ini akan digunakan oleh ulat bungkus untuk membuat sarung atau bungkus. Ulat bungkus merebak melalui angin, sentuhan daun sawit dan bawaan jentera ladang.
Terdapat tiga spesies utama ulat bungkus iaitu Metisa plana, Pteroma pendula dan Mahasena corbetti.
Justeru, menyedari masalah ini boleh menjadi ancaman kepada industri sawit, maka Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menjalankan penyelidikan bagaimana mengatasi masalah berkenaan.
Penyelidik Kanan MPOB, Mohd. Najib Ahmad menjalankan penyelidikan membangunkan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi mengira ulat bungkus secara automatik yang dinamakan Oto-BaC.
Penyelidikan itu dibangunkan bersama Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan MPOB, Dr. Ramle Moslim, selaku penyelia bersama projek
Menurut Mohd. Najib, Oto-BaC membantu membuat bancian ulat bungkus menerusi AI untuk mengesan dan mengira populasi pada masa sebenar dan teknologi atas tanah sebelum sesuatu aktiviti kawalan dijalankan.
“Ia menggunakan kamera biasa dan pembangunan sendiri algoritma deep learning (DL), dan ia mengandungi analisis warna palsu serta pengesan pergerakan dan mengira populasi larva dan pupa M. plana yang hidup dan mati yang berada di atas pelepah.
“Ia merujuk kepada tiga kumpulan utama mengikut klasifikasi saiz ulat bungkus,” ujarnya.

Tiga kumpulan tersebut adalah Kumpulan 1 (Larva peringkat 1 hingga 3) , Kumpulan 2 (Larva peringkat 4 hingga 7) dan Kumpulan 3 (Peringkat pupa).
Beliau berkata, inovasi tersebut akan membantu mengatasi masalah data bancian ulat bungkus yang kurang tepat, akibat daripada jumlah pokok yang perlu dibanci yang banyak, satu peratus atau 10 peratus (untuk kawasan serangan yang kecil saiznya) mempermudahkan kerja bancian secara manual yang mengambil masa lama, mengelakkan rekaan data bancian disebabkan jumlah pokok yang banyak untuk dibanci.
Inovasi tersebut akan mengambil gambar ulat bungkus di atas pelepah sawit,. Imej tersebut akan diproses atau dianalisis menggunakan algoritma AI.
Hasil analisis imej tersebut, data bancian yang membezakan larva atau pupa yang hidup dan mati akan dipaparkan pada skrin.
Katanya, untuk penghasilan perisian alat berkenaan, teknik imej pemprosesan deep learning telah diguna pakai. Bagi membezakan larva dan pupa yang hidup dan mati, kaedah motion-tracking dan false colour telah digunakan.
Bagi penghasilan prototaip, mesin computer numerical control (CNC) digunakan bagi menempatkan unit pemproses GPU, Dell Inspiron dengan keupayaan CPU, Quad core 2.4 GHz.
Kajian reka cipta bermula pada 2013 sebelum mula diteruskan tahun 2016 hingga 2019 menerusi program pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Penyelidikan tersebut memperoleh pembiayaan menerusi geran MPOB sebanyak RM220,000 dan mendapat kerjasama dengan universiti berkenaan dan syarikat Rocksolid Tech Ent yang bertindak sebagai syarikat perunding .
Oto-BaCTM versi 1 ini sudah sedia dikomersialkan untuk kegunaan pengusaha sawit yang mengalami serangan ulat bungkus.
Mohd. Najib menjelaskan, inovasi tersebut menumpu kepada kelebihan untuk memantau keseriusan serangan ulat bungkus di ladang sawit, sebelum operasi kawalan dijalankan.
Ia dapat memberi anggaran masa yang sesuai dan tepat untuk aktiviti kawalan dilakukan, berdasarkan kitar hidup ulat bungkus sekali gus, boleh menyelamatkan kerugian sebanyak antara 10 hingga 50 peratus untuk serangan pada tahap 30 hingga 43 peratus bagi tempoh dua tahun.
Berdasarkan rekod pada 2017, ia menyelamatkan kerugian sebanyak RM120 juta setahun untuk 33,000 hektar keluasan kawasan serangan.
Mengikut kajian carian paten, inovasi seperti Oto-BaC tidak pernah ditemukan setakat ini dan ia merupakan yang pertama dicipta untuk tujuan bancian ulat bungkus. Namun begitu, keberkesanan mengesan dan mengira ulat bungkus masih boleh diperbaiki memandangkan inovasi ini adalah reka cipta versi pertama.
Beliau menyasarkan pengguna yang boleh memanfaatkan inovasi berkenaan antaranya pekebun kecil dan pemilik ladang sawit persendirian kerana ia dicipta untuk menghasilkan data pada masa sebenar dengan spesifikasi yang ringkas, mudah dan mesra pengguna.
Ia boleh dioperasi sendiri dan mudah alih, tidak perlu kepada operator mahir untuk mengendalikannya sebagai langkah perintis kepada penerokaan Revolusi Perindustrian (IR 4.0) oleh pekebun kecil sawit.
Sepanjang kajian, sebanyak empat harta intelek (IP) telah difailkan, iaitu paten integrasi perisian dan perkakasan, hak cipta, tanda dagang dan reka bentuk industri.
Dua manuskrip diterbitkan dan dua prosiding persidangan telah dibentangkan. Oto-BaCTM juga menerima pengiktirafan pingat perak dalam Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) pada Februari 2020.
BAGAIMANA IA BERFUNGSI
Ia mudah dioperasi dengan cara menekan empat butang sahaja.
I) Hidupkan alat.
II) Hidupkan lampu diod pemancar cahaya (LED) untuk pencahayaan
kamera.
III) Pilih kumpulan peringkat ulat bungkus.
IV) Tekan butang start.










