Saudagar Tamil di Melaka

Saudagar Tamil di Melaka

KEWUJUDAN Kuil Sri Poyatha Venayagar Moorthi di Kampung Cheeti, Melaka sejak 1781 bukti kaum India menguasai perdagangan di Melaka. – FB SRI POYATHA MOORTHI TEMPLE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEWAKTU berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Alor Gajah pada Ogos 2017, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru orang Melayu berwaspada dengan golongan Si Kitol dan Raja Mendeliar yang menjadi punca kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka.

Pada Kongres PKR (Disember 2019), Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memetik kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar untuk menekankan betapa bahaya budaya fitnah dan pengkhianatan. Dalam teks Sejarah Melayu, dinyatakan Sultan Mahmud Syah menitahkan Raja Mendeliar, Si Kitol dan ahli keluarga mereka dihukum bunuh serta rumah dan segala isinya dibakar.

Dua lagi individu mungkin kurang kita kenali ialah Naina Chattu dan Suryadeva Nayinar yang digambarkan sebagai pembelot dan pengkhianat kerana membantu Portugis sebelum, semasa dan selepas kejatuhan Melaka pada 1511.

Pada September 1527, sekumpulan pedagang Tamil di Melaka mengutus surat kepada Raja Portugal, Dom Joao III. Surat itu menggunakan bahasa Portugis dan tandatangan tulisan Tamil. Nama-nama seperti Suryadeva, Rasa Mutaliayar (Raja Mendeliar?) dan Narayanan memberi gambaran mereka orang Tamil dan beragama Hindu.

Sebelum meneliti kandungan surat itu, elok kita mengetahui siapakah kelompok pedagang ini. Buku Suma Oriental (1512-1515) oleh Tome Pires menceritakan tentang kumpulan saudagar kaya yang berasal dari Kalinga (India) dan menguasai perdagangan di Melaka.

Diceritakan tentang Nina Chatu @ Naina Chattu yang juga dikenali sebagai Setu Nayinar serta menguasai perdagangan beras dan tekstil. Dia juga rapat dengan pegawai tinggi Portugis selepas Melaka dijajah.
Namun begitu, Naina Chattu dilaporkan membunuh diri pada 1514. Maka, timbul persoalan mengapa seorang kroni dengan ‘kabel kuat’ tiba-tiba membunuh diri?

Seorang lagi pedagang berpengaruh ialah Suryadeva dan dia didapati terus menguasai perdagangan di Melaka selama dua dekad selepas Portugis menakluk Melaka. Dia mengkhusus dalam perdagangan rempah-ratus.

Golongan pedagang Tamil sudah sedia ada di Melaka jauh sebelum kedatangan Diogo Lopes de Sequeira dan Alfonso de Albuquerque. Melaka pada waktu itu menjadi pelabuhan dan pusat perdagangan utama.

Ada dua kumpulan saudagar India di Melaka pada sekitar 1500. Sewaktu serangan Portugis, kumpulan saudagar Gujarati dilaporkan melarikan diri ke negara asal. Kumpulan saudagar Tamil seperti Setu Nayinar pula sudah menjalin hubungan dengan Portugis sejak 1509, maka tidak melarikan diri.

Pada peringkat awal penjajahan Portugis, golongan saudagar Tamil mendapat banyak keuntungan. Mereka mampu memberi pelbagai maklumat dan bantuan kepada penjajah, khususnya dalam urusan perdagangan. Saudagar Tamil (Hindu) dan Keling (Muslim) juga didapati mengambil kesempatan menambah harta dengan cara licik.

CASADOS
Susulan serangan tentera Portugis, orang Melayu melarikan diri dan meninggalkan dusun yang diusahakan selama ini. Kesemuanya diambil alih kumpulan saudagar Tamil dan Keling. Bagaimanapun, kemewahan yang dinikmati tidak bertahan lama. Muncul kelompok baharu dinamakan ‘casados’ iaitu orang Portugis yang berkahwin dengan orang tempatan dan mula memiliki kedudukan istimewa dalam urusan pentadbiran di Melaka.

Kumpulan peranakan Portugis juga mula menguasai perdagangan, sekali gus menjadi pesaing kepada saudagar Tamil dan Keling. Menjelang 1525, golongan ‘casados’ mengemukakan tuntutan kepada Raja Portugal supaya dusun-dusun milik asal orang Melayu yang kini diambil alih saudagar Tamil dan Keling diserahkan kepada mereka.

Perebutan kuasa, hak perdagangan dan harta (dusun) menyebabkan saudagar Tamil diketuai Suryadeva mengutus surat berbentuk petisyen kepada Dom Joao III pada September 1527. Mereka memulakan petisyen dengan menegaskan mereka juga sama setia dan sama-sama berhak seperti ‘casados’. Malah, golongan saudagar Tamil mengaku menjadi tulang belakang kepada kemajuan pengusaha Portugis melalui pemberian pinjaman wang.

Menerusi pengakuan ini, kita tahu saudagar Tamil turut menjadi ceti yang memberi pinjaman kepada orang Portugis. Mungkinkah mereka termasuk golongan Chettia?

Petisyen yang dikirim ternyata tidak membuahkan hasil. Lama-kelamaan, menjelang hujung kurun ke-16, tidak ada lagi tokoh hebat seperti Setu Nayinar dan Suryadeva. Saudagar Tamil mula mengalihkan tumpuan ke Aceh dan Bantam.

Peranan, kuasa dan kedudukan golongan ini di Melaka semakin berkurangan selepas Belanda menjajah pada 1641. Pada kurun ke-17 dan ke-18, saudagar Tamil ini mula memainkan peranan dalam politik di Kedah, Perak dan Ujung Selang.

Agak menarik apabila Sanjay dalam arikel ilmiahnya menghuraikan bagaimana golongan Tamil yang pernah menjadi saudagar kaya, terpaksa beralih kepada bidang pertanian pada kurun ke-18. Mereka pada asalnya tertumpu di Kampung Keling, kemudian berpindah ke Tengkera, Gajah Berang dan Bacang.

Sekumpulan kecil terus kekal di bandar sebagai tukang emas. Golongan ini dikatakan terlibat dalam usaha membina Kuil Sri Poyatha Venayagar Moorthi (1781), iaitu kuil Hindu tertua di Malaysia.

Ruangan ini pada 3 Oktober 2021 menghuraikan mengenai kaum Chetti Melaka yang kini tinggal di Kampung Chetti. Seolah-olah ada titik temu antara saudagar Tamil yang diwakili tokoh seperti Setu Nayinar dan Suryadeva dengan komuniti Chetti Melaka yang kita kenal sekarang.

Bagaimanapun, harus ditekankan bahawa orang Chetti Melaka tidak sama dengan golongan Chettiar atau Nattukottai Chettiar.

Dalam buku Kuil dan Pertubuhan Agama Hindu di Negeri Melaka Yang Bersejarah (2022), dinyatakan bahawa pada 1901, melalui perjanjian khas, golongan Chettiar diberi kuasa mentadbir Kuil Sri Poyatha Venayagar Moorthi walaupun ia masih milik komuniti Chetti Melaka sehingga kini.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×