Lambakan kontraktor kelas F hingga 40,000 - Utusan Malaysia

Lambakan kontraktor kelas F hingga 40,000

Kerajaan disaran mengkaji semula lambakan kontraktor kelas F sehingga 40,000 di seluruh negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Jumlah kontraktor kelas F di setiap negeri perlu dihadkan antara 2,000 ke 2,500 orang bagi mengelak berlaku lambakan kontraktor sehingga ramai merungut tidak ada projek pembinaan.

Mengikut rekod jumlah kontraktor kelas F yang berdaftar di seluruh negara ketika ini kira-kira 40,000 orang.

Difahamkan lambakan kontraktor kumpulan terbabit bukan baharu sebaliknya sudah lama sejak permohonan kelas F dibuka bermula 2018 sedangkan projek-projek kerajaan hanya sekitar 40 peratus sahaja.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia), Mohd. Yusof Mohd. Tahir berkata, ketika ini dianggarkan terdapat kira-kira 3,000 hingga 7,000 kontraktor kelas F di setiap negeri.

“Sepatutnya kontraktor kelas F ini sesuai di setiap negeri sekurang-kurangnya dalam angka 2,000 ke 2,500 orang sahaja.

“Kerajaan juga harus memperbanyakan kerja undian di bawah RM200,000 di setiap sektor antaranya Kementerian Pendidikan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya ketelusan itu ada.

“Menerusi cara ini, barulah kontraktor boleh menampung ekonomi, satu lagi Kementerian Kewangan harus meluluskan di seluruh negara tajuk B28 pengubah suai mengarahkan PBT sebagai syarat pembinaan swasta atau perumahan diberi keutamaan kepada kontraktor berdaftar di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

“Langkah ini perlu bagi mengekang individu yang tidak berkelayakan membuat kerja-kerja penambahan dan pengubahsuaian rumah dan diberi kepada kontraktor berkelayakan,” katanya di sini semalam.

Mohd. Yusof yang juga Yang Dipertua Perkobf Pahang turut meminta kerajaan supaya memantau pengeluaran lesen membabitkan kontraktor kelas F bagi mengelak disalahgunakan golongan ‘kartel’.

Ini kerana, menurut beliau, terdapat golongan tertentu yang menaja pihak ketiga untuk membuat lesen bagi memonopoli sesuatu projek.

KELAS F

“Situasi ini menyebabkan berlaku lambakan kontraktor kelas F sehingga 40,000 orang di seluruh negara, ini kerana kebanyakan mereka yang memohon lesen ini adalah ‘kartel’, ada yang menaja mereka buat lesen untuk monopoli,” katanya.

Beliau berharap supaya isu ‘kartel’ ini dipantau oleh kerajaan dan jika boleh pendaftaran lesen baharu kontraktor kelas F dihentikan.

“Jangan buka lagi pendaftaran kelas F dan cukup dengan jumlah sedia ada pada ketika ini,” katanya.

Menurutnya, kegiatan ‘kartel’ da­lam industri pembinaan perlu dibenteras dan jika kegiatan itu terus dibiarkan bermaharajalela, ia pasti akan membunuh kontraktor-kon­traktor Melayu di negara ini.

Jelasnya, kegiatan kartel ter­babit selain dimonopoli oleh golongan kontraktor berduit, juga didalangi oleh individu dari jabatan kerajaan yang terlibat secara langsung dalam industri pembinaan.

“Kalau soal aduan, memang banyak dibuat tetapi tindakannya nampak sepi. Sepatutnya, bila ada aduan pihak CIDB dan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) seharus­nya terus siasat kenal pasti dalang terlibat.

“Selepas itu, jika CIDB dan PKK mendapati laporan yang di­kemukakan tersebut benar, ma­ka ia perlu dilaporkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPRM) bagi membolehkan tindakan lanjut diambil jika ada salah guna kuasa,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×