RANTAU PANJANG: Penduduk di Kampung Tasek Bakong di sini mendakwa terpaksa menggunakan air banjir untuk membancuh susu anak selepas terputus bekalan air bersih selepas kediaman mereka ditenggelami banjir sejak Ahad lalu.
Mereka terpaksa berbuat demikian selepas ‘terperangkap’ apabila pemindahan sementara (PPS) yang dibina secara bergotong-royong sebelum ini di sebuah kawasan kebun kelapa sawit turut ditenggelami banjir sedalam dua meter.
Wakil mangsa banjir, Che Haron Zakaria, 57, berkata, selain itu, sumber air tersebut turut digunakan untuk memasak dan minum sepanjang tempoh berkenaan kerana tidak mempunyai pilihan demi meneruskan kelangsungan hidup.
“Kami akan masak air tersebut sebelum dibancuh dengan susu untuk diberikan kepada 10 anak kecil termasuk bayi. Perasaan sedih itu sukar untuk digambarkan, namun apakan daya keadaan begitu tersedak.
“Sehingga kini kami masih menunggu bekalan air bersih daripada sesiapa sahaja yang sudi meredah banjir datang ke sini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Che Haron memberitahu, pada peringkat awal, lebih 200 penghuni berpindah ke PPS berkenaan namun sebahagian besar terpaksa meninggalkan kawasan itu kerana air semakin naik semalam.
Katanya, sebahagian besar penduduk itu telah berpindah ke sebuah gudang yang terletak tidak jauh dari kawasan kampung berkenaan.
“Saya bersama 69 lagi mangsa banjir memilih untuk kekal di sini selepas melihat keadaan air semakin turun sejak petang semalam.
“Disebabkan itu kami sekarang berdepan dengan masalah air bersih, manakala bekalan makanan masih mencukupi untuk beberapa hari lagi,” ujarnya. – UTUSAN










