PETALING JAYA: Pasukan penyelamat perlu mengejar masa dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sembilan lagi mangsa yang tertimbus di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, Hulu Selangor ekoran cuaca hujan ketika ini.
Keadaan itu dibimbangi menyebabkan tanah di kawasan runtuhan cerun itu lembut seterusnya berlaku kelongsoran tanah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya sedaya upaya meningkatkan keupayaan mencari dan menyelamat dengan mengunakan pelbagai kaedah termasuk lapan jengkaut digerakkan ke lokasi kejadian.
Kata beliau, SAR yang memasuki hari ketiga semalam perlu dipercepatkan demi keselamatan petugas keselamatan yang tidak perlu berada lama di kawasan runtuhan.
Jelasnya, jengkaut itu akan digunakan bagi mengorek dan mengalihkan timbunan tanah sedalam 1.5 meter hingga lima meter.
“Selepas itu, kita akan gunakan anjing pengesan bagi mengesan kedudukan mayat sama ada atau tidak di situ. Jika tiada, kita akan mengorek lagi tanah dengan kedalaman sama di kawasan lain.
“Proses itu akan dilakukan berterusan sehinggalah kita temukan tanda-tanda seperti peralatan khemah, barangan milik mangsa dan baharu kita korek tanah secara manual dengan bantuan anjing pengesan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Mengulas lanjut, kata Norazam, misi SAR hari ini juga akan dibantu satu pasukan khidmat mengesan mayat.
Jelas beliau, pasukan berkenaan akan menggunakan alat pengesan mayat dikenali Ground Penetrating Radar (GPR) yang akan menghantar gelombang elektromagnetik bagi mengesan objek di bawah tanah.
“Tumpuan carian adalah di sektor A kawasan sekitar hill view dan sektor C meliputi river side. Pencarian akan dilakukan dengan radius sembilan meter sehingga 12 meter persegi yang mana sektor itu adalah tempat mayat terakhir ditemukan,” ujarnya.
Tambahnya, sebanyak sembilan ekor anjing Unit Anjing Pengesan (K9) digunakan dalam operasi semalam melibatkan enam milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) diikuti Bomba (dua ekor) dan seekor dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Dalam pada itu, kata Norazam, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga memasang sensor detector di bahagian atas cerun bagi memastikan tiada pergerakan tanah di kawasan runtuhan.
“Pihak Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) juga melakukan pemantauan berterusan di laluan runtuhan sekiranya mengesan pergerakan tanah.
“Selain itu, pihak Bomba juga mempunyai pegawai bertindak yang menjaga dan memerhati tahap keselamatan kawasan berkenaan secara terus menerus,” katanya. – UTUSAN










