Projek kuari 880 hektar Bukit Lagong belum beroperasi

Projek kuari 880 hektar Bukit Lagong belum beroperasi

PEMANDANGAN udara kuari yang menjejaskan kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Lagong (HSKBL) yang dirakamkan berhampiran Lebuhraya Utara-Selatan dalam tinjauan susulan penerokaan hutan simpan kekal tersebut di sini, hari ini.-UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tiada laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) diterima Jabatan Perhutanan Negeri Selangor terhadap cadangan pembukaan kuari baharu di kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Lagong (HSKBL).

Berikutan itu, kelulusan projek kuari batu yang dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 2019 melibatkan kawasan seluas kira-kira 880 hektar di situ belum dilaksanakan sehingga hari ini, walaupun tempoh dibenarkan untuk melombong adalah 30 tahun.

Pengarahnya, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, kira-kira 18 kuari yang terdapat pada hari ini adalah projek-projek yang diluluskan oleh MMKN lebih 20 tahun dahulu dan syarikat-syarikat terlibat diberi kebenaran membawa keluar batu dari kawasan itu untuk tujuan pembinaan.

Malah, beliau menegaskan, kelulusan terbaharu yang diberikan pada 2019 tidak menyebabkan HSKBL berkeluasan sehingga 8,000 hektar itu tidak menjadi seperti ‘padang jarak padang tekukur’ berikutan projek-projek kuari di situ.

“Tiada istilah ceroboh hutan simpan di situ kerana syarikat-syarikat berkenaan diberi lesen, iaitu kebenaran daripada kerajaan negeri untuk menjalankan kerja-kerja perlombongan batu untuk tujuan pembinaan dan pembangunan di Selangor.

“Justeru, kebenaran yang diberi sehingga kira-kira 880 hektar itu juga adalah tidak sampai 10 peratus daripada keluasan hutan simpan. Tak mungkin mendatangkan ancaman dan risiko seperti yang dibangkitkan pihak berkaitan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan hutan di Selangor semakin terancam berikutan kewujudan perluasan kuari sehingga 880 hektar di Bukit Lagong.

Malah, Presiden Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Damien Thanam Divean mendedahkan, HSKBL adalah termasuk dalam kira-kira 32 peratus hutan simpan yang perlu kerajaan negeri lindungi.

Bagaimanapun, Ahmad Fadzil tidak menafikan pelaksanaan projek kuari memerlukan pembersihan hutan bagi setiap tapak yang hendak dijalankan, namun tidak melibatkan keseluruhan kawasan dibenarkan.

“You kena faham konsep kuari itu sendiri, jadi masalahnya orang tak faham perkara itu. Kuari kita luluskan 40 hektar (setiap kuari) tak semestinya semua digondolkan. Jadi syarikat akan bersihkan tempat yang hendak dijadikan kuari, bukan keseluruhannya mereka tebang.

“Mereka hanya perlu buka atau tebang kawasan yang hendak dijadikan kuari untuk diambil batu. Kalau cukup 20 hektar, maknanya 20 hektar sahajalah, tak perlu sampai 40 hektar.

“Biasanya, kuari akan dilombong sedikit demi sedikit, tak boleh teruskan gondol semua 40 hektar. Setahun mereka mungkin dapat lombong sekitar 2.4 hektar sahaja, letupkan batu dan sebagainya,” jelasnya.

Selain itu, beliau juga menafikan syarikat-syarikat yang terlibat dalam kuari tersebut dianugerahkan projek secara rundingan terus, sebaliknya mereka perlu melalui prosedur pelbagai kelulusan sebelum diberikan permit.

“Benar 19 syarikat diberikan lesen berdasarkan kelulusan MMKN pada 2019, tetapi perlu mematuhi semua syarat-syarat perlombongan (termasuk menyerahkan laporan EIA). Kalau tak patuh, kita tak benarkan.

“Semuanya dibuat melalui tawaran tender (tender terbuka), prosedurnya sebelum ini kerajaan negeri sudah nyatakan sebelum ini. Semuanya ikut prosedur, tak ada yang bertentangan. Sebelum diluluskan (pemberian lesen), banyak perkara teknikal kita minta seperti laporan EIA, ulasan pihak berkuasa berkaitan dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian meminta NGO yang membangkitkan isu berkenaan berhubung dengannya untuk mendapatkan penjelasan.

“Saya sudah pun jelaskan isu berkaitan Bukit Lagong dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini. Sepatutnya tiada lagi isu berbangkit,” jelasnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×