SELEPAS berjaya memenangi kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Adam Adli Abd. Halim diberi kepercayaan oleh Kerajaan Perpaduan untuk memikul tanggungjawab berat dan besar, iaitu sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang baharu bagi membangunkan bidang sukan dan belia negara.
Pelantikan Adam Adli, 33, ke jawatan itu sudah pasti mendapat tumpuan dan perhatian banyak pihak berikutan sifatnya yang berani dan lantang bersuara menentang ketidakadilan sekali gus memberi harapan kepada rakyat agar dapat mengubah landskap pembangunan belia dan sukan negara ke arah yang lebih baik.
Sudah pasti bukan sahaja Kerajaan Perpaduan bakal menjadi tumpuan berikutan tertubuhnya gabungan parti politik yang tidak dijangka rakyat iaitu antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) buat kali pertama dalam sejarah negara, kemampuan Adam Adli dalam barisan Kabinet juga turut akan diuji.
Bagaimanapun, kenyataannya pada sidang akhbar pertama selepas melaporkan diri secara rasmi di Menara KBS baru-baru ini bahawa arena sukan negara dibelenggu rasuah mencetuskan kontroversi dan mendapat kecaman banyak persatuan sukan. Beliau perlu lebih berhati-hati pada masa depan bagi mengelak mengeluarkan kenyataan bersifat populis dan tidak berasaskan kepada fakta.
Adam Adli yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) sebelum ini adalah aktivis pelajar yang lantang bersuara khususnya tentang hak mahasiswa ketika negara di bawah pimpinan Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sebelum melibatkan diri dalam dunia politik, beliau yang merupakan mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dikenali sebagai aktivis pelajar yang berani memperjuangkan hak mahasiswa seperti pendidikan percuma dan pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Tindakan dan perjuangan Adam Adli ketika itu sudah cukup membuktikan kuasa dalam kalangan mahasiswa mempunyai pengaruh yang cukup kuat dan secara tidak langsung membangkitkan semangat juang mereka dalam dunia akademik.
GANTUNG
Majoriti daripada pelajar bersuara menentang ketidakadilan yang berlaku dan menuntut supaya Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dipinda. Walaupun tidak berjaya mengubah akta tersebut, namun Adam Adli telah membakar semangat juang siswa dan membina dasar yang membawa kejayaan kepada mahasiswa pada 2011.
Namun, kontroversi yang melanda dirinya pada 13 Mei 2013 menyebabkan beliau ditahan atas kenyataan dibuat semasa forum diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor di Kuala Lumpur atas alasan telah bertindak dengan cara yang boleh memudaratkan demokrasi berparlimen Malaysia.
Beliau juga pernah ditahan oleh pihak berkuasa beberapa kali dan namanya mula menjadi sebutan setelah mencetuskan kegemparan apabila menurunkan bendera tertera gambar Najib dan menggantikannya dengan kain rentang propelajar bagi menyatakan pendapat tegas pelajar terhadap tuntutan kebebasan akademik.
Berikutan kejadian itu, beliau digantung pengajian selama tiga semester atas tuduhan mencemarkan reputasi dan nama UPSI selain mengganggu ketenteraman dan keselamatan orang ramai.
Cabaran yang dilaluinya tidak membuatkan perjuangannya terhenti begitu sahaja apabila beliau secara rasmi menyertai PKR pada 2021 selain dipilih sebagai Ketua AMK untuk penggal 2022-2026 selepas pemilihan kepimpinan PKR 2022.
Pada pengumuman calon PRU15 lalu, Adam Adli mengejutkan banyak pihak apabila dipilih untuk bertanding di Parlimen Hang Tuah Jaya memandangkan beliau ialah orang luar dan baharu di Parlimen itu.
Bagaimanapun, Adam Adli berjaya menang dan mengekalkan kerusi milik PH itu selepas memperoleh 39,418 undi. Jumlahnya agak selesa dan meyakinkan. Kini, selain memikul tanggungjawab sebagai Ketua AMK, beliau bakal bekerjasama dengan ‘bosnya’ di Kementerian Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Dalam pada itu, walaupun terdapat pelbagai wajah baharu dalam barisan Kabinet pada kali ini termasuk Adam Adli, rakyat mahu melihat hasil pentadbiran Kerajaan Perpaduan ini setelah berada di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dan mengakhiri era lebih 60 tahun penguasaan BN. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan pelatih Utusan Malaysia.











