PROSES perbicaraan mahkamah yang ingin dibuat secara siaran langsung melalui kaca televisyen serta media sosial boleh membawa kepada beberapa kebaikan serta pada masa sama mengundang beberapa keburukan.
Antara kebaikannya ialah ia dapat meningkatkan tahap keyakinan orang ramai terhadap sistem perundangan dan keadilan dalam negara kita. Orang awam dapat menyaksikan dengan mata kepala mereka sendiri proses perbicaraan dalam mahkamah dari peringkat awal sehingga akhir dengan lebih mudah.
Ini dapat memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk menilai sendiri perjalanan proses undang-undang serta persembahan bahan bukti yang digunakan untuk menyokong kes mahkamah terlibat.
Sekali gus dapat mengurangkan sebarang rasa curiga atau perasaan syak wasangka mereka terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan proses perbicaraan mahkamah terbabit.
Proses perbicaraan mahkamah secara siaran langsung juga dapat memudahkan orang ramai untuk terlibat sama dengan perjalanan sesebuah kes.
Tidak semua orang dapat meluangkan masa dan tenaga untuk pergi ke kompleks mahkamah serta menghayati perjalanan proses perbicaraan yang berlaku dalam mahkamah secara semuka. Pada masa sama juga, tidak semua orang boleh memasuki bilik perbicaraan kerana ruangnya yang terhad untuk beberapa orang sahaja.
Semenjak penularan virus Covid-19, peraturan tambahan juga dikenakan untuk pihak-pihak yang ingin hadir ke dalam mahkamah. Orang awam yang ingin masuk ke bilik perbicaraan juga tidak bebas melakukan sebarang perkara yang mereka suka atau hajati kerana terdapat beberapa peraturan mahkamah yang perlu dihormati pada setiap masa.
Segala peraturan yang dibuat ini adalah bagi menghormati proses mahkamah dan kedudukan hakim yang membicarakan sesuatu kes serta bagi tidak mengganggu perjalanan proses perbicaraan ketika berada di dalam mahkamah.
Sekiranya proses perbicaraan ini dibuat secara siaran langsung, orang ramai tidak perlu membuang masa dan tenaga mereka untuk hadir ke bangunan mahkamah kerana mereka boleh menonton dari ruang tamu rumah.
KOS PENYIARAN
Ini juga dapat memberi banyak keselesaan kepada orang ramai yang ingin melihat perjalanan sesebuah proses perbicaraan mahkamah. Pada masa sama, ia dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas serta ruang letak kenderaan di kompleks mahkamah.
Selain membawa kebaikan, proses perbicaraan mahkamah yang ingin dilakukan secara siaran langsung juga boleh mengundang kepada beberapa keburukan.
Antaranya perjalanan proses perbicaraan mahkamah yang panjang akan membuatkan proses siaran langsung ini dilihat sebagai membuang masa serta bakal membazirkan kos penyiaran.
Proses mahkamah selalunya melibatkan dua pihak iaitu pendakwa serta yang dituduh. Pendakwa akan berusaha sedaya upaya untuk membuktikan segala pertuduhan dibuat terhadap mereka yang dituduh.
Pihak yang dituduh pula akan melakukan sedaya upaya untuk mempertahankan diri daripada disabitkan dengan pertuduhan yang dilemparkan kepada mereka.
Pihak mahkamah akan membuat keputusan setelah selesai mendengar segala hujah dan bukti yang diberikan oleh kedua-dua pihak. Keputusan yang diberikan ini bukanlah penamat kerana pihak-pihak terlibat diberi ruang dan peluang untuk melakukan proses rayuan di mahkamah rayuan dan seterusnya.
Segala proses ini akan memakan masa. Oleh itu, adalah tidak logik dan realistik untuk siaran langsung ini dilakukan terhadap proses perbicaraan yang terlibat dari awal sehingga akhir.
Banyak kerja lain yang lebih berfaedah untuk orang ramai lakukan selain daripada duduk di depan televisyen atau komputer semata-mata untuk melihat siaran perbicaraan sesuatu kes yang boleh memakan masa berminggu-minggu, berbulan-bulan atau bertahun-tahun lamanya.
Adalah tidak adil juga untuk membenarkan proses perbicaraan dilakukan secara siaran langsung terhadap satu kes tertentu sahaja tanpa melibatkan semua kes yang ada di dalam mahkamah.
Ini bagi mengelakkan tuduhan pilih kasih dilemparkan kelak. Semua kes perbicaraan yang berlaku dalam mahkamah harus diberi layanan sama adil dan saksama sekiranya kita ingin melaksanakan proses siaran secara langsung ini.
KELIRU
Proses perbicaraan secara langsung juga boleh mengundang risiko kepada tahap kestabilan dan keharmonian dalam negara kita yang terdiri daripada pelbagai agama dan kaum. Tidak semua orang memiliki ilmu pengetahuan dan pemahaman undang-undang yang mendalam.
Proses mahkamah selalunya akan melibatkan penggunaan pelbagai jenis peruntukan undang-undang serta istilah yang kompleks dan amat sukar untuk difahami oleh orang ramai yang tidak memiliki ilmu pengetahuan dan pemahaman mendalam dalam bidang perundangan.
Ketidakfahaman terhadap peruntukan undang-undang dan istilah yang kompleks ini akan menyebabkan orang ramai keliru serta mula mengeluarkan pendapat masing-masing. Pendapat berbeza ini akhirnya boleh mewujudkan konflik dan pergaduhan sesama mereka.
Pendapat yang keterlaluan juga boleh mendedahkan diri mereka kepada penghinaan mahkamah yang merupakan satu bentuk jenayah dan boleh dikenakan tindakan keras mengikut undang-undang.
Oleh yang demikian, pihak-pihak yang berkaitan dalam perkara ini perlu berfikir panjang sebelum memberi sebarang keputusan muktamad sama ada untuk membenarkan siaran langsung proses perbicaraan mahkamah dilakukan ataupun tidak.
Setiap keputusan muktamad yang ingin diambil terhadap perkara ini perlu memberi keutamaan kepada keselamatan orang ramai serta kestabilan dan keamanan dalam negara kita. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).










