Chef Wan rela berkorban demi ibu - Utusan Malaysia

Chef Wan rela berkorban demi ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kasih ibu membawa ke syurga. Bagi cef selebriti terkemuka, Datuk Dr. Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan, ibu adalah segala-galanya.

Perkongsian figura itu mengenai ibu tersayang di media sosial sering kali menimbulkan rasa kagum dalam kalangan orang ramai melihat keikhlasannya menjaga ibu yang sudah lanjut usia.

Apatah lagi, ketika ini ibunya, Noraini Abdullah, 90, disahkan mengalami demensia, pada masa sama merupakan pesakit kanser payudara sejak beberapa tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berpeluang bertemu empat mata dengan cef yang juga pelakon, baru-baru ini, beliau berkata, fokusnya kini lebih tertumpu kepada ibu.

Malah, figura berusia 65 tahun itu juga sanggup memperlahankan karier pengacaraannya di beberapa program televisyen semata-mata untuk memberikan perhatian lebih kepada ibu yang memerlukannya pada ketika ini.

“Saya buat keputusan untuk tangguhkan semua program yang sepatutnya pada Januari ini ke Mei depan kerana ibu dalam keadaan yang tidak sihat.

“Keadaannya tidak berapa baik. Untuk hari raya juga tiada program masakan kerana saya mahu meluangkan masa bersama ibu,” katanya.

Beliau ditemui ketika majlis memperkenalkannya sebagai duta bagi jenama produk makanan dari Korea, Jongga’s dan Nongshim Farmer’s Heart, baru-baru ini.

Beliau juga membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk mengambil jururawat peribadi bagi menjaga ibunya di rumah.

Baginya, terdapat perbezaan ketara jika ibunya dijaga oleh pembantu rumah dan jururawat profesional, memandangkan ibunya yang mesra disapa sebagai Cik Ani memerlukan penjagaan yang agak rapi.

Katanya, duit bukan masalah untuk difikirkan kerana bagi anak sulung daripada tujuh beradik itu, wang boleh dicari, tetapi ibu adalah segala-galanya.

Kembangkan perniagaan

Chef Wan yang turut berkecimpung dalam dunia perniagaan restoran dan kafe juga aktif mengembangkan skala perniagaan ketika ini.

Di sebalik kesibukan menguruskan ibu dan menjadi duta produk, beliau tetap berkesempatan menambah beberapa cawangan kafe dan restorannya di tanah air dan di luar negara.

“Perkembangan terkini, saya agak sibuk menguruskan pembukaan Cafe Chef Wan di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) dan seterusnya di Setia Alam.

“Sedang sibuk juga dengan proses ubah suai restoran di Bangsar dengan pelaburan sebanyak RM8 juta untuk hiasan dalaman sahaja,” kongsinya lagi.

Beliau juga menyasarkan untuk membuka cawangan restorannya di beberapa negara seperti Brunei dan Singapura dalam masa terdekat.

‘Jadi cef media sosial tak salah, tapi…’

Media sosial pada hari ini dilihat sudah menjadi platform yang mampu menaikkan nama individu tidak kira sama ada dalam bidang masakan, komedi atau lakonan.

Malah, beberapa individu sudah berjaya mencipta nama dalam bidang masakan yang sebelum ini hanya bermula di media sosial.

Diminta mengulas mengenai senario itu, Chef Wan berkata, ia terpulang kepada kehendak masing-masing untuk menerima seseorang individu bagi dijadikan rujukan dalam bidang masakan.

Trend masa kini pada pendapatnya, sudah berubah dan membolehkan sesiapa sahaja mendedahkan diri dan menjadi pempengaruh di media sosial jika mempunyai pengikut.

“Tidak salah belajar memasak di media sosial, tetapi tidak semestinya orang yang memasak itu mahir dan apa yang dia masak sedap.

“Dulu, tukang masak berpengetahuan dan berpengalaman. Sekarang ini, goreng ikan pun boleh masuk dalam media sosial,” katanya.

Tambahnya, dahulu tidak mudah untuk mencipta nama kerana hanya yang terpilih boleh muncul di skrin televisyen.

“Dahulu, orang yang keluar televisyen selalunya yang terpilih dan berkaliber. Sekarang ini, kita boleh letak macam-macam kandungan di media sosial dan dapat pengikut.

“Bukanlah kata tidak bagus. Bagi saya, tepuk dada tanya selera. Sekarang semua orang boleh jadi bintang, bezanya ada pengalaman atau tidak.

“Ada juga yang curi resipi saya dan letak di media sosial mereka, antaranya resipi mi rebus mak saya,” katanya yang berpengalaman lebih tiga dekad dalam bidang berkenaan.

Sepanjang tempoh itu, banyak kejayaan yang telah dikecapi. Antaranya, berjaya menempa nama dalam dunia masakan di luar negara melalui program masakan seperti Flavour of Asia yang disiarkan di Prime 12, sebuah rangkaian televisyen di Singapura dan A Taste of Australia With Chef Wan Australia disiarkan oleh ABC Network ke seluruh Asia serta banyak lagi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×