Majlis Pemulihan Negara sudah bubar atau belum?

Majlis Pemulihan Negara sudah bubar atau belum?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APAKAH status terkini Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dibentuk semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN)-Barisan Nasional (BN) untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara susulan pandemik Covid-19?

Tidak dapat dipastikan sama ada badan penasihat kepada kerajaan itu masih menjalankan fungsinya atau tidak selepas pembubaran Parlimen ke-14 dan berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), yang menyaksikan PN kini menjadi pembangkang.

Tuntutan untuk membubarkan MPN sudah bermula sejak Jun lalu apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendakwa MPN gagal dalam membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Selain itu, MPN didakwa bertindih dengan fungsi badan-badan pemikir dan agensi kerajaan lain sebagai penasihat dan pelaksana.

Ketika ini, belum ada makluman rasmi daripada kerajaan jika benar MPN telah dibubarkan, malah ahli-ahli majlis itu masih mengambil sikap berdiam diri ketika disoal pemberita.

September lalu, Ahmad Zahid pernah berjanji akan membubarkan jika BN menang dalam PRU15.

Bagaimanapun, keputusan pilihan raya umum menyaksikan tiada mana-mana parti politik mencapai majoriti mudah dan akhirnya membawa kepada pembentukan kerajaan perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan BN.

Pada Oktober lalu, bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata, kuasa membubarkan MPN tertakluk kepada Jemaah Menteri dan kerajaan kerana majlis berkenaan hanya bertindak sebagai badan penasihat dan tidak mempunyai kuasa eksekutif.

Terdapat juga pandangan bahawa MPN telah terbubar secara automatik tanpa memerlukan makluman rasmi kerajaan, setelah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen yang membawa kepada tergugurnya pihak eksekutif.

MPN diperkenalkan Muhyiddin semasa menjadi Perdana Menteri kelapan bagi merancang pembukaan semula sektor-sektor penting negara secara beransur-ansur selepas pandemik Covid-19 semakin terkawal.

Muhyiddin dilantik semula sebagai Pengerusi ‘bertaraf menteri’ pada 4 September 2021 selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kerana hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, banyak pihak yang mendesak supaya pelantikan Muhyiddin dibatalkan selain Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini lantang membantah kerana Muhyiddin didakwa gagal mentadbir negara sebelum ini.

Di sebalik kesemua persoalan yang berlegar, Ahli MPN mewakili parti politik, Chong Chieng Jen (Ahli Parlimen Stampin) mengesahkan bahawa majlis itu telah dibubarkan. Bagaimanapun, Pengerusi DAP Sarawak itu tidak menjelaskan secara terperinci mengenainya.

“Sudah dibubarkan (dissolved),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Seorang ahli MPN daripada kerajaan yang enggan dinamakan turut berkata, MPN telah dibubarkan namun beliau tidak memberikan penjelasan terperinci berhubung perkara itu.

“Rasanya sudah terbubar kesemuanya. Saya kira, bukankah MPN terbubar dengan sendirinya ketika Parlimen sebelum ini bubar dan eksekutif juga terbubar bersama PM-9 (Perdana Menteri kesembilan) dahulu,” soalnya.

Utusan Malaysia menghubungi Muhyiddin bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai status MPN, bagaimanapun usaha itu gagal apabila panggilan telefon dimatikan, malah, beberapa ahli MPN lain turut tidak memberi maklum balas.

MPN mula dibentuk pada 16 Julai 2021 menggantikan Jawatankuasa Khas Kabinet Pelan Pemulihan Negara (JKKPPN) bagi memastikan pelaksanaan pelan pemulihan negara berjalan lancar dan mengukuhkan lagi strategi kawalan wabak Covid-19.

Ia dianggotai 21 ahli yang terdiri daripada wakil-wakil kerajaan (sebelum PRU15), agensi swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar-pakar industri dan parti politik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×