Jangan ada lagi pengundi warga emas mati mengejut - Utusan Malaysia

Jangan ada lagi pengundi warga emas mati mengejut

SEORANG pengundi warga emas pengsan akibat beratur terlalu lama sebelum mengundi di Pusat Pengundian Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Kuala Lumpur pada 19 November lalu. – GAMBAR HIASAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM era pasca pandemik ini, kita bersyukur akhirnya proses pemilihan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berjaya dilaksanakan meskipun kita berdepan kemungkinan banjir pada musim tengkujuh di samping ancaman peningkatan kes Covid-19 akibat kewujudan varian baharu.

Dengan pelantikan kerajaan berserta Kabinet baharu, diharapkan isu berkaitan kesihatan awam dapat terus diberikan perhatian serta keutamaan. Antaranya kes kematian mengejut dalam kalangan pengundi semasa proses pengundian dilaksanakan, baru-baru ini.

Sebaik proses pengundian PRU15 mula dilaporkan pada bulan lalu, kita dikejutkan dengan berita tiga kematian mendadak pengundi yang dilaporkan ketika menunggu proses mengundi.

Ia merupakan satu berita mendukacitakan dan sebagai warganegara yang sama-sama menunaikan tanggungjawab mengundi, kita turut bersimpati dan bersedih atas kejadian berkenaan. Dua daripada mereka ialah warga emas yang dilaporkan mempunyai masalah kesihatan,

Namun, isu hangat pasca pilihan raya dan pemilihan kerajaan seperti menenggelamkan isu berkenaan daripada diberi perhatian. Sehingga kini, tidak diberikan sebarang maklum balas atau tindakan dalam konteks penambahbaikan pada masa akan datang. Sesungguhnya ajal dan maut merupakan takdir dari yang Maha Kuasa, namun kita juga perlu berusaha memastikan persekitaran sihat dan selamat.

Berdepan beberapa siri pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka dilaksanakan tahun hadapan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disarankan menyediakan sistem dan proses pengundian mesra warga emas serta mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

Seperti kita maklum, warga emas diberikan laluan Saluran 1, manakala kelompok pemilih lain bergantung kepada julat usia masing-masing. Dalam data pemilih dan tempat pengundi dalam talian, SPR menyediakan maklumat mengenai cadangan masa mengundi untuk membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab dengan selesa tanpa perlu bersesak atau beratur panjang.

Namun, kita dapati sebahagian warga emas tidak dapat mematuhi cadangan jadual berkenaan. Ini kerana sebahagiannya bergantung kepada ahli keluarga untuk membawa atau menemani mereka. Sebahagian besar mereka juga lebih cenderung hadir awal pagi meskipun dalam syor cadangan datang mengundi lebih lewat pada hari berkenaan.

Situasi tersebut menyebabkan sebahagian besar warga emas yang hadir perlu berdiri dan beratur panjang dalam tempoh agak lama. Sebahagian pusat mengundi dilaporkan ada menyediakan kemudahan kerusi menunggu.

Terdapat juga yang memberi keutamaan kepada yang uzur untuk tampil dahulu mengundi serta tidak kurang memberi laluan awal kepada mereka yang memerlukan lebih awal. Namun majoritinya, masih perlu berdiri dan menunggu dalam tempoh tertentu.

Satu keadaan yang perlu kita sedari ialah peratusan warga emas mempunyai penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan penyakit jantung adalah jauh lebih tinggi. Terdapat dalam kalangan mereka turut menghadapi masalah berat badan berlebihan dan sakit lutut yang ketara.

Situasi menjadi lebih teruk apabila individu berkenaan terlupa mengambil ubat, tertekan dalam situasi tidak begitu kondusif, perlu berdiri lama serta mungkin tidak mengambil sarapan (paras gula rendah).

DINAMIK

Bacaan tekanan darah bagi mereka yang berusia, begitu dinamik sekali iaitu mudah turun dan naik mendadak. Ia berupaya meningkatkan tekanan darah ke paras yang sangat tinggi sehingga membahayakan nyawa seseorang.

Dengan membiarkan warga emas hadir ke pusat mengundi tanpa kemudahan yang selesa dan kondusif, berpotensi menyebabkan sebahagian warga emas terdedah kepada risiko membahayakan kesihatan sehingga boleh membawa kepada krisis perubatan.

Oleh itu, bagi membolehkan kesihatan warga emas kekal terjaga, kita memerlukan penyelesaian serta perhatian untuk memberikan keutamaan kepada mereka. Kemudahan sedia ada di tempat awam untuk mereka perlu diperluaskan serta mencakupi aspek-aspek berkaitan aktiviti mengundi.

Semua warga emas yang keluar mengundi perlu memastikan mereka mempunyai rawatan susulan dan sentiasa patuh mengambil ubat-ubatan sepertimana dinasihatkan. Ahli keluarga bertanggungjawab memastikan mereka sihat, sudah mengambil juadah sarapan atau makanan serta tidak mempunyai risiko memudaratkan.

Berdepan situasi semasa di pusat mengundi, disyorkan semua warga emas ditemani ahli keluarga yang sihat serta dibekalkan dengan set kerusi mudah alih bagi membolehkan mereka selesa semasa tempoh beratur.

Bagi mengelak warga emas beratur panjang dalam tempoh lama, disyorkan pada PRU atau PRN akan datang untuk SPR memansuhkan langsung laluan khas Saluran 1.

Ini membolehkan kesemua warga emas diberi laluan terus ke hadapan pada mana-mana saluran. Kemudahan ini juga wajar diberikan kepada mereka yang tidak sihat atau mempunyai pelbagai penyakit kronik.

Di samping itu, sukarelawan doktor atau ahli kesihatan sama seperti PACA (polling agent, counting agent) perlu diwujudkan terutama bagi kawasan mengundi yang mempunyai ramai warga emas berpenyakit kronik.

Antara cadangan lain ialah membenarkan semua warga emas penyakit kronik untuk membuat undian awal, iaitu sama seperti mereka yang bertugas atau berada di luar negara/kawasan.

Di samping itu juga, cuti atau pelepasan khas untuk mereka yang bekerja dan perlu menemani warga emas keluar mengundi juga perlu dipertimbangkan.

Menyantuni warga emas merupakan tanggungjawab setiap kita dalam masyarakat. Petugas di pusat mengundi juga perlu diberikan latihan dan kesedaran untuk sensitif terhadap keperluan warga emas serta tidak melayani mereka seperti kumpulan umur lain yang masih sihat serta tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.

Tanpa warga emas, tiadalah kita semua dalam meneruskan perjuangan di tanah air tercinta ini. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Malina Osman ialah Pakar Perubatan Kesihatan Awam di Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×