ALANG dijawat tepuk dibalas. Pepatah ini sering diungkap sebagai ingatan dan pengajaran. Dari usia kecil lagi, nilai murni dibumikan dalam sanubari kita agar hati nurani kita dapat membezakan baik dan buruk.
Baik dibalas baik dan jahat dibalas jahat.
Namun, setelah hampir 12 tahun berkhidmat sebagai peguam yang mengendalikan pelbagai kes jenayah, sering terdetik pepatah keramat itu. Adakah kejahatan itu masih kejahatan jika pesalah dilepaskan daripada hukuman? Adakah orang yang baik itu masih baik jika dia disalah hukum bagi kesalahan tidak dilakukannya?
Pada bulan lalu, saya berpeluang menghadirkan diri sebagai peguam pemerhati di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur di mana pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali dituduh mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan yang mengalami sindrom Down dikenali sebagai Bella di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
Suasana di perkarangan mahkamah pada pagi Khamis itu agak berbeza dari kebiasaan. Di ruang duduk galeri sarat dengan pengunjung awam dan para wartawan. Barisan peguam berpakaian kemas hitam putih pula dipisahkan dari galeri awam dengan susur tangan kayu yang digilap kilau. Setiap ceruk ruang duduk peguam dipenuhi barisan pendakwaan, kumpulan pembelaan dan peguam-peguam pemerhati. Bisikan spekulasi menitip dari bibir ke bibir dan berdengung dengan jangkaan perintah yang bakal dikeluarkan oleh mahkamah.
Hakim Mahkamah Sesyen setelah mendengar kenyataan daripada 22 orang saksi pendakwaan menetapkan pagi itu sebagai tarikh keputusan prima facie, di mana mahkamah membuat keputusan sama ada pihak pendakwaan berjaya membuktikan elemen pertuduhan sepertimana dalam Seksyen 173(h)(i) Kanun Tatacara Jenayah dan diserlahkan dalam kes Balachandran lwn. PP (2005) 2 MLJ 301 di mana prima facie dirungkaikan sebagai pertimbangan, “Adakah bukti yang dikemukakan memadai untuk tertuduh disabit kesalahanya jika beliau memilih untuk berdiam diri? Jika memadai maka kes prima face telah berjaya dibuktikan.”
“Bangun!” Laungan daripada orderli mahkamah menandakan permulaan persidangan dan Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi mengarahkan orang kena tuduh (OKT) berdiri di dalam kandang tertuduh bagi mendengar keputusan mahkamah. Hakim merungkaikan elemen pertuduhan terhadap OKT seperti berikut:
Elemen pertama bagi pertuduhan abai dan aniaya adalah mangsa merupakan seorang kanak-kanak. Seksyen 2(a) Akta 611 mendefinisikan kanak-kanak sebagai seorang yang di bawah umur 18 tahun dan berdasarkan keterangan Dr. B. Anulaawathi dan laporan pemeriksaan usia tulang yang dilakukan terhadap Bella, pegawai perubatan menganggarkan Bella berumur di antara 12 hingga 15 tahun.
MENGIGAU
Elemen kedua pertuduhan abai dan aniaya ialah OKT mempunyai peliharaan terhadap Bella. Setelah mendengar wakil pegawai pelindung yang dilantik Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menyelia fail Bella, keterangan di mahkamah merumuskan OKT mempunyai pemeliharaan terhadap Bella melalui suatu perintah penjagaan sementara bertarikh 14 Julai 2020 dan dipertanggungjawabkan untuk pemeliharaan dan penjagaan Bella mulai 24 September 2020.
Elemen ketiga pertuduhan abai dan aniaya ialah Bella mengalami kecederaan fizikal dan emosi. Berdasarkan keterangan Dr. Nizam Malik Bali Mohamed dan Dr. Sheshadri Sridar, mangsa mengalami beberapa kecederaan serta pelbagai parut dan bekas lecur pada muka, belakang leher, kedua-dua lengan, tangan dan paha. Selain itu keterangan daripada saksi Wan Zuriena Wan Ismail, jururawat di Taman Sinar Harapan memberitahu bahawa dalam pemerhatiannya, mangsa mengalami trauma setelah kembali ke Taman Sinar Harapan apabila mangsa sering mengigau dan menjerit pada waktu malam.
Elemen keempat pertuduhan pengabaian ialah OKT mestilah telah mengabai Bella yang menyebabkan Bella mengalami kecederaan fizikal dan emosi. Dr. PKS Meenambigai memberikan pandangan setelah memeriksa kecederaan kesemua luka-luka pada Bella, tiada rawatan atau rawatan telah diberikan terlalu lewat walaupun kecederaan tersebut adalah teruk dan perlu dirawat di hospital bagi pemantauan dan tindakan sewajarnya.
Daripada keterangan diberikan, fakta yang dapat dikumpulkan merumuskan secara munasabah bahawa Bella telah mengalami kecederaan di bawah pemeliharaan OKT. OKT telah gagal memelihara Bella daripada mengalami kecederaan dan telah cuai memastikan Bella mendapat rawatan yang wajar setelah mengalami kecederaan.
KUALI PANAS
Elemen keempat bagi pertuduhan penganiayaan, OKT telah menganiaya Bella mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi. Mahkamah merujuk kepada keterangan saksi, Yasmin Nahar Mahmood yang tinggal bersama OKT menyatakan, OKT telah menyebabkan kecederaan kepada Bella dengan menggunakan air panas, menekap kuali panas dan insiden deraan.
Keterangan Yasmin disokong oleh keterangan Dr. Nizam Malik, pakar pediatrik dan scan team yang berpendapat kecederaan Bella adalah mustahil dibuat sendiri dan merupakan kecederaan berulang-ulang. Maka ia tidak konsisten dengan kecederaan akibat kemalangan, malah ia konsisten dengan kecederaan penderaan.
Berdasarkan penilaian menyeluruh keterangan saksi-saksi, mahkamah membuat keputusan kesemua elemen pertuduhan telah dibuktikan oleh pendakwaan dan OKT diperintahkan untuk membela diri terhadap pertuduhan.
Usai keputusan diberikan, satu gelombang emosi melanda pekarangan mahkamah. Ada teriakan kekecewaan dan sorakan kegembiraan. Ada menyatakan baik dan buruk itu adalah satu kebenaran yang bebas daripada akibat dan kesan. Perkara baik adalah tetap baik tanpa ganjaran dan yang jahat adalah tetap jahat tanpa hukuman. Namun, manusia sentiasa mendambakan keadilan dan keadilan itu secara ringkasnya adalah meletakkan sesuatu perkara itu pada tempat yang sepatutnya. – UTUSAN
PENULIS ialah peguam litigasi yang beramal di Kuala Lumpur.










