KOTA BHARU: Keputusan dua Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Padang Serai, Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang memberi isyarat jelas pembaharuan yang dibawa Perikatan Nasional (PN) semakin diterima oleh rakyat.
Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, situasi itu dapat dilihat apabila rakyat memberi kemenangan besar buat PN di Padang Serai.
Menurutnya, tentangan sengit diberi oleh PN kepada Barisan Nasional (BN) di DUN Tioman turut menjadi penanda aras kepada pembaharuan dibawa oleh gabungan berkenaan.
“Tahniah buat pengundi memberikan kemenangan besar buat PN di Padang Serai dan tentangan sengit terhadap BN di Tioman,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya.
Pada pilihan raya itu, calon PN, Datuk Azman Nasrudin yang menerima 51,637 undi diumumkan sebagai Ahli Parlimen bagi kerusi Padang Serai selepas menang dengan majoriti 16,260 mengatasi calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Mohamad Sofee Razak yang meraih 35,377 undi.
Dua calon yang menarik diri, Datuk C. Sivaraj daripada BN dan calon Parti Warisan, Mohd. Bakhri Hashim masing-masing mendapat 2,983 dan 149 undi.
Sementara itu, calon bebas, Sreanandha Rao memperoleh 846 undi diikuti calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Hamzah Abd. Rahman yang mendapat 424 undi.
Sebelum ini, Sivaraj dan Mohd. Bakhri mengumumkan menarik diri daripada PRU15 bagi memberi laluan dan menyokong Mohamad Sofee.
Sementara itu, bagi DUN Tioman, BN mempertahan kerusi tersebut dengan majoriti 573 undi.
Calon BN, Datuk Seri Mohd. Johari memperoleh 8,080 undi untuk menewaskan Nor Idayu Hashim daripada PN dengan 7,507 undi.
Empat calon lain iaitu Sulaiman Bakar (Bebas) memperoleh 58 undi; Osman A. Bakar (Pejuang) 79 undi dan Mohd. Fadzli Mohd. Ramly (PH) dengan 784 undi.
PRU15 DUN Tioman kali ini menyaksikan tiga calon iaitu Sulaiman, Osman dan Mohd. Fadzli hilang wang pertaruhan.
Keputusan itu menyaksikan Mohd. Johari berjaya mengekalkan kerusi tersebut untuk penggal keempat. – UTUSAN










