‘Kawan yang bermusuhan'

‘Kawan yang bermusuhan’

PAKATAN Harapan (PH) di Johor tidak akan meminta atau mendesak supaya barisan Exco sedia ada yang dipimpin Onn Hafiz Ghazi (baris depan, tengah) diubah berdasarkan situasi semasa politik berkonsepkan kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan. – UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukan sahaja menumbangkan kerajaan campuran pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Malah, beberapa nama besar tumbang dan ‘gelombang’ turut melanda negara apabila tiada gabungan parti yang mampu menubuhkan kerajaan.

Beberapa hari negara dibadai arus politik tanpa pemimpin mengemudikannya. Namun, akhirnya kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu berjaya membantu meredakan gelora politik sebelum ia menjadi gelombang lebih ganas dengan melantik nakhoda baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin kerajaan.

Walaupun sosok pemimpin ini bukan asing dalam arena politik negara, namun pelantikan beliau turut diuji apabila penubuhan kerajaan perpaduan yang pertama seumpamanya bukan mudah untuk disepakati.

Malah, Anwar turut mengambil masa beberapa hari untuk memuktamadkan dan mengumumkan senarai ahli Kabinetnya.

Bukan tidak prihatin, malah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang merupakan Presiden PKR itu bersikap amat berhati-hati memilih ahli jemaah menterinya.

Walaupun mendakwa kerajaan perpaduan dipimpinnya yang didukung oleh beberapa gabungan parti antaranya Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), pada hakikatnya ‘ikatan cinta’ antara mereka sebenarnya agak rapuh dan mampu terlerai pada bila-bila masa sekiranya tersilap langkah dan percaturan. Mungkin tempoh enam bulan pertama ada cabaran paling besar bagi kerajaan perpaduan untuk saling mengenali dan mencari keserasian.

Ibarat ikatan perkahwinan yang diatur bukan atas dasar cinta, andai berjaya menjalani gelombang dan badai dalam tempoh itu, mungkin kerajaan perpaduan tersebut mampu bertahan lama. Namun jika gagal mencari keserasian, pasti bahtera kerajaan perpaduan itu bakal dipukul badai dan sekiranya nakhoda gagal mengawal dengan baik, mungkin bocor dan akhirnya karam.

Keunikan kerajaan perpaduan ini turut memberi kesan langsung kepada kerajaan negeri, khususnya di Perak dan Pahang yang terpaksa mengikut acuan kerajaan Pusat apabila tiada gabungan parti berjaya membentuk kerajaan negeri secara solo. Mahu atau tidak, kerajaan negeri yang diterajui BN sebelum ini terpaksa bergabung dengan PH untuk membentuk kerajaan pasca PRU15.

Namun, apa yang berlaku di Melaka dan Johor agak unik apabila kerajaan yang masih ‘merah’ mengekalkan status quo, iaitu PH tetap menjadi pembangkang kepada kerajaan BN. Nyata fungsi gabungan pembangkang sebagai kuasa semak dan imbang tetap subur dalam konteks dinamika baharu politik negara.

GENTLEMAN

Misalnya di Johor, PH bersikap gentleman apabila tidak akan meminta atau mendesak supaya barisan Exco diubah berdasarkan situasi semasa politik berteraskan konsep kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan. Bagaimanapun, situasi itu lama-kelamaan dijangka memberi tekanan terhadap pentadbiran negeri diterajui Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar.

Ibarat dalam sebuah percintaan dan perkahwinan. Semasa bercinta semuanya indah dalam menuju destinasi sebuah perkahwinan. Walaupun dalam realiti sebuah perkahwinan, maka sering terbongkar sisi baik buruk seseorang dan jika tidak dapat menerima kelebihan dan kekurangan yang ada, perkahwinan itu mungkin gagal untuk dipertahankan. Apatah lagi dalam kancah politik negara mutakhir ini yang penuh dengan warna-warni.

Hakikat dalam politik, hari ini menjadi lawan, esok lusa bertukar karakter menjadi rakan. Namun, pada hari ini situasi politik di Johor boleh diibaratkan seperti kawan yang bermusuhan.

Baru-baru ini, saya sempat bertukar pandangan dengan seorang pemerhati politik yang berpendapat adalah lebih baik PH Johor terus bertindak sebagai pembangkang. Namun, harus bersikap konstruktif, bukan membangkang apa sahaja yang dilakukan kerajaan negeri semata-mata kerana berada di blok pembangkang.

Malah menurutnya, peranan semak dan imbang amat penting dalam sistem berkerajaan termasuk konteks negara supaya apa sahaja kelemahan dalam sistem urus tadbir kerajaan dapat diperbetulkan dan walaupun tidak mampu 100 peratus mengekang kepincangan serta salah guna kuasa. Namun, demi kemakmuran dan kesejahteraan Bangsa Johor, kerajaan BN dan PH harus menjadi rakan strategik yang saling membantu memperkasakan dan membangunkan lagi negeri ini.

Peranan itu amat diperlukan apatah lagi dalam mencapai dan merealisasikan sasaran sebagai negeri maju menjelang 2030. Rakan strategik yang diinginkan adalah saling membantu dan menegur sekiranya berlaku kepincangan dan silap urus tadbir negeri, bukannya bertujuan menjatuhkan satu sama lain.

Apa pun, cabaran lebih besar akan dirasai ahli-ahli pastinya gabungan yang membentuk kerajaan perpaduan. Dari blok Borneo, mungkin bahangnya agak kurang, namun bagi parti di Semenanjung, sehingga kini masih ramai ahli UMNO/BN dan PH keliru dengan pembentukan kerajaan yang baru dibentuk.

Ramai ahli parti yang tidak bersetuju dengan pembentukan kerajaan melibatkan gabungan PH-BN, apatah lagi UMNO/BN sebelum ini sering mencanangkan No Anwar, No DAP. Dikhuatiri ada ahli parti berhijrah ke parti lain kerana berasakan diri mereka tertipu walaupun sudah dijelaskan kerajaan perpaduan adalah salah satu solusi bagi merungkai kecelaruan politik semasa apabila tiada parti politik yang berjaya menubuhkan kerajaan secara bersendirian. – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×