SEJAKk beberapa tahun kebelakangan ini, negara kita digemparkan dengan banyak kes berprofil tinggi termasuk berkaitan kartel projek melibatkan nilai jutaan ringgit. Kes-kes berkenaan menarik perhatian banyak pihak kerana individu yang terlibat bukan setakat kakitangan peringkat bawahan, malah turut membabitkan pegawai kanan di sektor awam serta pegawai penguat kuasa dengan penerimaan suapan berbentuk wang tunai dan barangan bernilai.
Sebagai contoh, pada Oktober lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 11 individu termasuk anggota polis kerana disyaki terlibat dengan sindiket pengurangan saman trafik sejak 2016 sehingga kini membabitkan transaksi wang lebih RM5 juta.
Seterusnya pada September lalu, SPRM menyerbu pejabat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi menjalankan siasatan berkaitan projek tebatan banjir mega bernilai ratusan juta ringgit. Tujuh pegawai MBSA dan seorang kontraktor ditahan reman untuk membantu siasatan kes itu.
Jika diimbau kembali kes-kes berkaitan yang pernah disiasat oleh SPRM, isu sedemikian didapati telah lama wujud. Modus operandi penyelewengan yang menyebabkan ketirisan dana kerajaan dilakukan secara segerombolan dalam kelulusan kontrak projek kerajaan.
Pada 23 Julai tahun lalu, dua bekas Yang Dipertua (YDP) majlis perbandaran di Selangor ditahan reman selama enam hari kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor projek dan pemaju perumahan di kawasan masing-masing. Turut ditahan reman ialah seorang kontraktor kerana dipercayai memberi rasuah bagi membolot projek ditawarkan di dua majlis perbandaran diketuai oleh dua YDP berkenaan yang dianggarkan mencecah jutaan ringgit sejak beberapa tahun lalu.
Melihat kepada fakta kes, bagi setiap projek yang diperoleh, kedua-dua bekas YDP terbabit akan menerima habuan rasuah lima peratus daripada nilai projek. Selain itu, dua bekas YDP terbabit turut menerima pelbagai bentuk suapan rasuah termasuk sebuah rumah bernilai RM1 juta, wang tunai RM500,000 dan pakej pelancongan ke Eropah bagi meluluskan kebenaran merancang dan pembangunan milik sebuah syarikat pemaju perumahan. Ini bermakna tidak cukup dengan suapan diterima, semakin tinggi nilai projek, semakin besar habuan mereka akan terima.
Susulan penahanan tersebut, dua individu lagi terdiri daripada seorang pegawai daerah dan seorang juru ukur bahan ditahan reman bagi membantu siasatan kes sama. Mereka dipercayai bersekongkol bersama syarikat kontraktor yang juga sindiket kartel projek bagi membolot projek bernilai puluhan juta ringgit di sekurang-kurangnya empat daerah di Selangor sejak 2012 lagi.
Fakta kes menunjukkan pegawai daerah di Selangor itu dipercayai menerima suapan dengan anggaran melebihi RM100,000 dalam pelbagai bentuk seperti wang tunai, pengubahsuaian rumah, deposit kereta dan bayaran perubatan sebagai balasan untuk membantu syarikat milik kontraktor terbabit mendapatkan kerja pembersihan, penyelenggaraan dan lain-lain kerja secara sebut harga dan tender di kawasan sekitar Selangor. Juru ukur bahan yang ditahan bersama juga dipercayai menerima suapan kewangan dan suapan berbentuk barangan sebagai dorongan untuk membocorkan maklumat berkaitan tender kepada kontraktor bagi kerja pembersihan kawasan dan penyelenggaraan di Selangor.
BASIKAL MAHAL
Pada 23 September lalu, dua bekas YDP iaitu di Hulu Selangor dan Kuala Langat termasuk seorang bekas Timbalan YDP di Sepang didakwa di Mahkamah Shah Alam atas pertuduhan menerima rasuah berbentuk wang, tiket kapal terbang, basikal mahal, wang untuk membeli kereta, telefon pintar iPhone untuk isteri dan teman wanita.
Turut dituduh ialah seorang juru ukur bahan kerana didakwa menerima wang rasuah berjumlah lebih RM50,000 antara Disember 2019 hingga November 2020.
Berdasarkan pertuduhan, jelas menunjukkan mana-mana individu yang melakukan kesalahan tidak akan terlepas daripada dihadapkan ke muka keadilan, tidak kira latar belakang, pangkat atau status mereka.
Walaupun kes tersebut baru dituduh, namun ia merupakan satu kejayaan oleh pihak pendakwaan berlandaskan siasatan SPRM dalam membongkar kegiatan rasuah dan salah guna kuasa dalam sektor awam, sekali gus sebagai peringatan atau amaran kepada mana-mana individu supaya menjaga integriti dalam menjalankan tanggungjawab diamanahkan.
Menerusi pembongkaran tersebut juga, jelas menunjukkan ada keperluan untuk melakukan penambahbaikan terhadap tatacara atau sistem dan prosedur dalam pemberian projek di sektor awam untuk menutup ruang dan peluang rasuah, khususnya projek mega melibatkan kepentingan awam.
Sekiranya isu berkenaan tidak ditangani dari peringkat akar umbi, bukan sahaja mencalarkan imej penjawat awam secara menyeluruh malah menjejaskan pembangunan serta ekonomi negara dan akhirnya rakyat juga yang terpaksa menanggung kerugian.
Oleh demikian, SPRM menyambut baik ketegasan kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak akan mengizinkan berlakunya ketirisan dan rasuah dalam setiap urusan pentadbiran. Ini termasuk soal peraturan dan kelulusan perolehan tanpa tender yang tidak lagi dibenarkan.
Bagi memastikan isu kartel projek diatasi khususnya dalam sektor awam, setiap pihak perlu memainkan peranan penting iaitu menjadi mata dan telinga kepada SPRM kerana tanpa maklumat yang disalurkan, sukar bagi agensi tersebut untuk mengambil tindakan selanjutnya bagi mengekang aktiviti berkenaan.
Perlu diingatkan bahawa kegagalan untuk melaporkan rasuah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 25 Akta SPRM 2009. Masyarakat tidak perlu takut untuk melaporkan kegiatan rasuah kepada SPRM kerana suruhanjaya ini akan sentiasa memastikan kerahsiaan maklumat yang diberi. Identiti pemberi maklumat juga akan dilindungi serta tidak boleh didedahkan kepada mana-mana pihak dalam apa jua keadaan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Laporan, aduan atau maklumat boleh disalurkan kepada mana-mana pejabat SPRM berdekatan, atau orang ramai boleh menggunakan tiga kemudahan platform aduan disediakan iaitu talian bebas tol 1-800-88-6000, portal aduan https://portaladuansprm.gov.my/ dan aplikasi telefon pintar MACCMobile. – UTUSAN
DATUK Tan Kang Sai ialah Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).










