Pulau peranginan di Terengganu tutup operasi - Utusan Malaysia

Pulau peranginan di Terengganu tutup operasi

Kebanyakan pulau-pulau peranginan di Terengganu menutup operasi pada musih tengkujuh bagi menjamin keselamatan pengunjung. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kebanyakan pengusaha sektor pelancongan di pulau-pulau peranginan di negeri ini mula menutup operasi mereka secara berperingkat bermula bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pengusaha hotel, resort dan calet mengambil tindakan tersebut memandangkan musim tengkujuh bermula sejak November lalu hingga Mac tahun depan.

Bagaimanapun, katanya, tiada arahan khusus untuk pengusaha sektor pelancongan di pulau-pulau peranginan di Terengganu supaya menutup operasi perniagaan mereka pada sepanjang musim tengkujuh ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, kerajaan negeri tidak menghalang hotel atau resort terutama yang mempunyai bot penumpang sendiri untuk terus beroperasi dengan mengutamakan aspek keselamatan pelancong.

“Ada beberapa hotel dan resort yang besar masih beroperasi namun tidaklah menawarkan pakej yang berisiko seperti selam skuba kerana membahayakan nyawa pelancong.

“Pengusaha industri ini mempunyai kemahiran dan berpengalaman dengan cuaca di pulau, jadi mereka lebih faham tempoh masa yang sesuai untuk membawa pelancong masuk ke pulau berdasarkan ramalan cuaca, tiupan angin dan ketinggian ombak.

KEHIDUPAN

“Jadi, mereka boleh memberi cadangan masa yang sesuai untuk pelancong datang dan melihat sendiri kehidupan penduduk di pulau-pulau peranginan seperti di Pulau Redang dan Pulau Perhentian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara akan mengalami Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh lebih awal daripada yang dijangka iaitu pada 7 November lalu dan berterusan sehingga Mac depan.

MetMalaysia turut memaklumkan, sepanjang tempoh itu, empat hingga enam episod luruan monsun yang membawa hujan lebat berterusan berpotensi berlaku seterusnya menyebabkan banjir di kawasan yang berisiko.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Resort dan Pelancongan Pulau Perhentian, Abdul Aziz Che Abdullah berkata, kebanyakan rumah penduduk pulau itu yang dijadikan inap desa masih boleh disewa oleh pelancong.

Katanya, sektor pelancongan di perkampungan nelayan masih berjalan seperti biasa dan beliau sangat mengalu-alukan kedatangan pelancong untuk merasai sendiri pengalaman tengkujuh bersama komuniti itu.

“Jangan risau kerana kehidupan masyarakat di sini masih seperti biasa kerana di sini ada kedai runcit, medan selera, masjid, balai polis dan klinik kesihatan.

“Bukan semua pelancong bertuah dapat merasai pengalaman tengkujuh bersama komuniti setempat di Pulau Perhentian, jadi saya berharap pelancong teruskan hasrat untuk datang ke perkampungan ini dan menikmati pengalaman menjadi ‘orang pulau’ pada musim tengkujuh,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN