Lantikan politik jejaskan GLC

Lantikan politik jejaskan GLC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SALAH satu tradisi diamalkan kepimpinan politik arus utama sejak lama dahulu adalah meletakkan orang politik sebagai teraju syarikat berkaitan kerajaan (GLC), perbadanan serta beberapa agensi kerajaan.

Lantikan politik ini dilihat lebih pada tujuan balas budi berbanding merit dimiliki individu tertentu.

Memang benar melantik orang politik dalam GLC bukan satu kesalahan. Apa lagi sudah dianggap satu kebiasaan. Akan tetapi ini mencerminkan ketidaklicinan urus tadbir sesebuah syarikat kerajaan.

Hal demikian meletakkan pihak kepimpinan eksekutif berada dalam dilema.

Mereka terpaksa menjaga kepentingan politik pengerusi atau ahli lembaga pengarah dengan tuntutan profesionalisme. Kecelaruan akan berlaku apabila antara kepimpinan eksekutif dan pemimpin politik mempunyai matlamat berbeza.

Bukanlah suatu luar biasa apabila sesebuah GLC misalnya dikuasai oleh pemimpin politik sebagai pengerusi dan ahli lembaga pengarah. Dalam kalangan yang ahli dalam perniagaan hanya sebilangan kecil, selebihnya orang politik. Komposisi begini sudah pasti mewujudkan gangguan politik dalam membuat sesuatu keputusan.

Sewajarnya malah semestinya, urus tadbir syarikat berkenaan dilakukan secara profesional dan bukan di bawah kawalan politik. Kepimpinan eksekutif terdiri daripada individu yang ahli dalam bidangnya perlu diberi kebebasan membuat keputusan.

Maka selain kepimpinan eksekutif, pengerusi dan ahli lembaga pengarah juga perlu dilantik dalam kalangan yang ahli. Tujuannya supaya semua dasar diputuskan mendapat sentuhan kearifan daripada pengerusi dan ahli lembaga pengarah. Hal ini tentunya berbeza sekiranya pengerusi dan ahli lembaga pengarah tidak tahu apa-apa.

Melantik orang politik yang tidak ahli ternyata tidak membantu sesebuah syarikat memacu kemajuan dan seterusnya menjejaskan kepentingan rakyat. Malah ada beberapa pengerusi dalam kalangan orang politik menjadi bahan ketawa kerana tidak tahu dan tidak cuba mengambil tahu isu di depannya.

Kenyataan dikeluarkan di media tidak menggambarkan kefahaman mendalam dalam sesuatu isu. Malah lebih memburukkan lagi keadaan apabila pengerusi (orang politik) lebih ke depan untuk bercakap kononnya serba tahu dalam bidang di luar keahliannya.

Kita faham, banyak bercakap kepada media, orang politik akan mendapat faedah politik. Akan tetapi kepentingan syarikat diterajui lebih penting daripada hayat politiknya supaya kelihatan sentiasa berada dalam radar.

Inilah bukan tradisi yang baik dan perlu diteruskan. Tradisi merugikan rakyat dan negara ini perlu dihentikan dengan keberanian menongkah arus yang luar biasa. Malah memerlukan iltizam untuk tidak membalas budi politik dengan menganugerah jawatan di syarikat kerajaan.

Budi politik mesti diselesaikan di peringkat politik. Apabila sesebuah parti atau gabungan parti menjadi kerajaan, kepentingan yang berada di depan adalah untuk menguruskan kepentingan rakyat secara profesional. Hal ini kerana akhirnya perihal untung dan rugi yang menjadi tanda arasnya.

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15) yang ditunggu-tunggu dan didesak-desak supaya diadakan sudah pun berakhir. Sebuah gabungan parti-parti yang menyokong kerajaan campuran ditubuhkan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih menjadi Perdana Menteri.

MIKROFON

Banyak yang menaruh harapan tinggi terhadap agenda pembaharuan dalam kerajaan diterajui Anwar. Ini termasuklah menongkah tradisi yang telah membumi selama ini iaitu lantikan politik di GLC kerana ini lebih berupa penganiayaan kepada rakyat dan kerajaan.

Selepas PRU berakhir maka bermulalah masa bekerja untuk rakyat. Syarikat-syarikat yang ditubuhkan kerajaan bukan harta pusaka milik parti, akan tetapi bermatlamat memberikan pulangan kepada rakyat. Maka orang nombor satu di syarikat-syarikat atau agensi itu mestilah dalam kalangan profesional.

Pelantikan individu menerajui syarikat atau agensi berkenaan perlu bersandarkan pada merit dalam bidang tertentu. Perlu ada garis pemisahan antara politik dengan pentadbiran serta pengurusan dalam syarikat dan agensi-agensi berkenaan.

Akan tetapi sekiranya ada orang politik yang sememangnya ada merit dan kepakaran dalam bidang tumpuan syarikat berkenaan, tentulah tidak ada masalah untuk dilantik sebagai pengerusi atau ahli lembaga pengarah. Maka maksudnya jelas, bukan menolak orang politik, akan tetapi hanya pada pelantikan yang menjurus sebagai budi politik.

Pengerusi dan ahli lembaga pengarah bukan eksekutif pada hakikatnya adalah penentu dasar sesebuah GLC. Ilmu, pengalaman dan merit adalah asas-asas yang sangat penting memastikan arah tuju syarikat berkenaan tidak tersasar.

Tentulah sangat menyukarkan dalam kalangan pemimpin eksekutif sekiranya pemimpin bukan eksekutif tidak faham bidang tumpuan syarikat tertentu. Dalam pada itu, ada pula penyakit pantang tengok mikrofon, maka terlontarlah fakta-fakta mengelirukan dari mulut mereka.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila sesetengah orang politik dilantik itu melanggar garis pemisah antara kuasa bukan eksekutif dan eksekutif. Hal ini membuatkan kepimpinan eksekutif berdepan gangguan untuk bekerja secara profesional.

Anwar perlu menterjemahkan agenda pembaharuan kerajaan di tangan beliau dengan tidak meneruskan tradisi yang lebih banyak buruk berbanding sisi baiknya. Banyak mahu melihat monopoli orang politik dalam GLC dan perbadanan tertentu dikurangkan pada angka paling kecil.

Melantik individu yang tidak mempunyai kepakaran dalam menerajui syarikat kerajaan adalah satu bentuk pelanggaran integriti. Kedudukan mereka sepatutnya menyumbang pada kemajuan syarikat, bukannya memastikan kepentingan parti dalam syarikat.

Melihat pada isyarat awal Anwar menolak pembaziran dan beriltizam menegak integriti, tentulah merombak tradisi melantik orang politik (yang tiada kepakaran) dalam GLC bukanlah suatu menyukarkan. Petik jari semua boleh jadi. Siapa hendak sanggah Perdana Menteri?

Cukuplah hingga setakat ini perkara-perkara yang tidak menyumbang pada kepentingan rakyat dijadikan amalan dalam kerajaan. Kalau berterusan juga seperti era berdekad-dekad sebelum ini, tidak adalah pembaharuan yang dikatakan itu.

Sebenarnya banyak lagi dalam kalangan profesional boleh dilantik dalam syarikat kerajaan. Kepakaran mereka sepatutnya dimanfaatkan untuk kemajuan syarikat. Tentulah sangat merugikan kalau peluang kepada pihak yang ahli itu diberikan kepada individu hanya arif di pentas politik. – UTUSAN

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×