Akar umbi persoal UMNO 'ori' atau UMNO jadian? - Utusan Malaysia

Akar umbi persoal UMNO ‘ori’ atau UMNO jadian?

MAJLIS Tertinggi UMNO dijangka mengadakan mesyuarat pada 7 Julai ini susulan keputusan kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen seawal September akan datang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA ini wujud persoalan besar dalam kalangan ahli akar umbi UMNO tentang hala tuju parti keramat itu.

Rata-rata ahli parti di peringkat akar umbi membangkitkan persoalan sama ada UMNO yang ada ketika ini, UMNO ‘ori’ atau UMNO jadian?

Ini kerana, pada tanggapan mereka, parti keramat itu semakin lama dilihat semakin hilang hala tuju kerana tiada keberanian dalam kalangan pimpinannya.

Kenapa semua itu terjadi? Itu persoalan yang bermain di benak pemikiran ahli akar umbi UMNO yang sekali gus curiga kenapa parti keramat orang Melayu itu semakin lama semakin ‘tiada nyawa’.

Sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, rata-rata ahli akar umbi beranggapan UMNO akan bangkit dengan ‘taring’ yang lebih tajam, namun hakikatnya ketika ini ‘taring’ itu semakin tumpul.

Sumber memaklumkan, kewibawaan dan pengaruh UMNO bergantung kepada hala tuju kepemimpinan parti itu sebagai sebuah parti terbesar di negara ini.

“Kepemimpinan UMNO perlu berdasarkan kesepakatan semua pemimpin untuk membangunkan parti dan mengembalikan semula kepercayaan rakyat.

“Satu lagi yang juga penting adalah, kepemimpinan UMNO perlu berani untuk berubah. Jika tidak UMNO akan terus kekal di takuk lama ataupun lama kelamaan akan lenyap kerana kepemimpinannya sendiri,” kata sumber.

Pada PRU-14 lalu, UMNO menang 54 kerusi Parlimen namun ketika ini hanya tinggal 39 kerusi selepas wakil rakyatnya bertindak lompat parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketika ini UMNO mendokong Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk bersama gabungan Ahli Parlimen daripada Bersatu, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain pada Februari lalu bagi menggantikan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO baru-baru ini bersetuju dengan usul untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15 akan datang. Keadaan itu sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan ahli tentang hala tuju parti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×