PETALING JAYA: Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan paling sesuai diadakan pada Julai tahun depan.
Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, tempoh itu disifatkan terbaik kerana kebanyakan jemaah haji sudah kembali ke tanah air selepas mengerjakan ibadah di Mekah.
Katanya, jarak masa yang panjang hingga Julai secara tidak langsung dapat memberikan kelegaan kepada rakyat selepas terbeban dengan ketegangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
“PRU15 baru sahaja selesai, tidak sepatutnya selepas tiga atau empat bulan ada PRN pula. Keadaan ini hanya akan membangkitkan kemarahan rakyat kerana kempen politik dan perang poster yang berterusan mengganggu ketenteraman hidup mereka.
“Jika asyik berkempen, bilakah pemimpin mahu menumpukan kepada agenda kestabilan politik dan pemulihan ekonomi? Bagi saya dunia politik kini sudah melangkaui kewarasan kerana para pemimpin melakukan perkara yang merugikan rakyat dan wang negara,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kelmarin, beliau menjangkakan lebih 10,000 pengundi berdaftar terlepas peluang menunaikan tanggungjawab mengundi jika PRN di enam negeri diadakan pada musim haji tahun depan.
Katanya, jumlah itu melebihi separuh daripada kuota jemaah haji kira-kira 30,000 orang yang ditetapkan di negara ini, setiap tahun.
Wan Ahmad berkata, kos pilihan raya di enam negeri itu boleh melebihi RM500 juta jika PRN diadakan secara berasingan.
Sehubungan itu, katanya, Pakatan Harapan (PH) dan Pas perlu bersepakat agar PRN dibuat serentak bagi mengelak dua siri PRN di negeri-negeri diterajui mereka sekali gus menjimatkan masa, wang, tenaga selain memudahkan pihak SPR menjalankan tugasan.
“Kos keseluruhan PRN di enam negeri itu dianggarkan RM450 juta tetapi jika dibuat berasingan iaitu di negeri PH dan kemudian di negeri Pas, maka perbelanjaan akan bertambah hampir RM100 juta lagi.
“Pertambahan kos itu melibatkan bayaran elaun dan program latihan kepada kira-kira 150,000 petugas pilihan raya termasuk perbelanjaan pengangkutan, bangunan dan kelengkapan,” katanya. – UTUSAN










