PETALING JAYA: Usul undi percaya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri baharu yang dijadual 19 Disember ini tidak perlu diadakan kerana Yang di-Pertuan Agong telah menjalankan tugas mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam, Datuk Seri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, usul undi percaya dikemukakan hanya apabila terdapat keadaan-keadaan mendesak atau berlaku perubahan dalam sokongan ahli Dewan Rakyat terhadap Anwar.
“Jika tiada apa-apa perubahan yang mendesak, sebarang undi tidak percaya pada Perdana Menteri yang telah dilantik Seri Paduka hanyalah semata-mata kerana kepentingan politik seolah-olah tidak menghormati kuasa yang dimiliki Ketua Negara.
“Namun, saya tidak hairan apabila Anwar sendiri mahu hadapi undi percaya terhadapnya di Parlimen sebab beliau adalah seorang demokrat yang mahu memantapkan persepsi rakyat serta mengesahkan bahawa Seri Paduka telah jalankan budi bicara baginda dengan betul,” katanya ketika dihubungi semalam.
Anwar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dilaporkan tetap meneruskan usul undi percaya terhadapnya pada mesyuarat Dewan Rakyat bulan depan bagi membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menuntut Anwar mengemukakan jumlah sokongan ahli Parlimen diperoleh sebagai bukti beliau mempunyai bilangan mencukupi membentuk kerajaan.
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla ketika dihubungi berkata, meskipun Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan secara jelas mengenai kewajiban usul undi percaya Perdana Menteri, ia wajar dilakukan atas dasar menuruti semangat Perlembagaan.
Jelasnya, Perlembagaan tidak ditafsir secara tersurat (tertulis), namun terdapat konsep-konsep tersirat, adat dan konvensyen yang menjadi sebahagian dalam Perlembagaan.
“Usul undi percaya adalah amalan sihat dan digalakkan di bawah semangat Perlembagaan kerana Seri Paduka telah melantik atas kepercayaan seseorang itu mempunyai sokongan majoriti, dan Perdana Menteri perlu sahkan jika benar mendapat sokongan ahli Dewan Rakyat.
“Seperti mana Seri Paduka yang bermesyuarat dengan Majlis Raja-Raja Melayu meminta pandangan sebelum melantik Perdana Menteri, ia tidak dinyatakan di dalam Perlembagaan. Ia adalah adat setelah Seri Paduka mengikuti kesemua proses pelantikan Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN










