BEBERAPA hari kebelakangan ini, hangat sekali perbincangan mengenai siapa dalam kalangan ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional ( BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan dilantik mengisi jawatan menteri dalam kerajaan perpaduan diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim. Paling menarik pastilah jawatan Timbalan Perdana Menteri yang telah dijanji untuk diberikan kepada seorang wakil BN, tentunya dari UMNO dan seorang wakil GRS, tentunya dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) untuk mewakili Sabah dan Sarawak.
Perbincangan mengenai Timbalan Perdana Menteri yang akan mewakili GRS bagaimanapun tidaklah hangat kerana hampir semua pemimpin dan penganalisis politik berpandangan, tokoh paling sesuai adalah Datuk Seri Fadillah Yusof. Fadillah dikira tokoh paling tepat kerana dari segi hierarki parti, beliau adalah ahli Parlimen paling senior selaku Naib Yang Dipertua Kanan berbanding Yang Di-Pertua dan dua timbalannya yang tidak menjadi ahli Parlimen tetapi menjadi Premier dan dua Timbalan Premier Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri yang akan mewakili UMNO pula menjadi persoalan hangat kerana kedua-dua Presiden dan Timbalan Presiden bertanding di peringkat Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan menang.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menang dengan majoriti 348 undi di Parlimen Bagan Datuk berbanding majoriti 5,073 undi di kerusi sama dalam PRU14.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pula menang dengan majoriti 19,897 undi di Parlimen Rembau berbanding majoriti 4,364 undi yang Khairy Jamaluddin peroleh di kerusi sama dalam PRU14.
Berdasarkan pencapaian peribadi kedua-dua tokoh ini, maka ramai berpendapat, dari sudut moral adalah lebih bagus untuk UMNO memilih Mohamad sebagai calon Timbalan Perdana Menteri kerana majoriti undi beliau meningkat sebanyak 15,533 undi. Ahmad Zahid pula menurun sebanyak 4,725 undi. Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Mohamad juga menunjukkan prestasi gemilang mengemudi parti sebagai satu-satunya negeri mempertahankan dan merampas kerusi dimiliki oleh lawan UMNO walaupun di semua negeri lain kerusi UMNO merudum.
Imbau balik dalam PRU14, BN melalui UMNO hanya menang tiga kerusi di Negeri Sembilan, iaitu Parlimen Jelebu dengan majoriti 2,045 undi (Datuk Seri Jalaluddin Alias). Parlimen Jempol dengan majoriti 1,631 undi (Datuk Salim Sharif) dan Parlimen Rembau dengan majoriti 4,364 undi (Khairy Jamaluddin).
Dalam PRU15, ketiga-tiga kerusi ini berjaya dipertahankan oleh UMNO dengan majoriti undi lebih baik. Parlimen Jelebu dengan majoriti 8,125 undi (Jalaluddin), Parlimen Jempol dengan majoriti 5,857 undi (Datuk Shamshulkahar Mohd. Deli) dan Parlimen Rembau dengan majoriti 19,897 undi (Mohamad).
AMAT BAGUS
Malah dalam PRU15, UMNO merampas kerusi dimiliki lawan iaitu di Parlimen Kuala Pilah melalui Datuk Adnan Abu Hassan dan Parlimen Tampin melalui Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa.
Menarik untuk diperhatikan, walaupun empat daripada lima calon UMNO tersebut adalah muka baharu, kesemuanya menang selesa tidak seperti di kerusi-kerusi di negeri- negeri lain yang muka-muka baharu diturunkan kecundang teruk.
Oleh itu, pastilah Mohamad mempunyai kelebihan tertentu sehingga berjaya mengemudi UMNO Negeri Sembilan menunjukkan prestasi cemerlang dalam PRU15 walaupun di negeri-negeri lain gelombang undi Melayu dikatakan menuju ke Perikatan Nasional (PN).
Kewibawaan Mohamad mengemudi UMNO negeri ini pastilah boleh dihubungkan dengan prestasi amat bagus yang beliau tunjukkan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dari 25 Mac 2004 sehingga 9 Mei 2018. Dalam tempoh pentadbirannya, Negeri Sembilan mencatatkan pertumbuhan sosioekonomi yang pesat dan kesan positifnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat. Ekonomi negeri yang berasaskan pertanian berjaya ditukar kepada pembuatan melalui pengwujudan beberapa taman industri.
Dasar mesra perniagaan dan pelabur di bawah pentadbiran Mohamad juga menarik minat banyak syarikat multinasional seperti Coca-Cola, Daihatsu Motor, Hino Motors dan sebagainya masuk melabur dan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Banyak lagi inisiatif beliau perkenalkan seperti Dasar Jaringan Keselamatan Sosial yang berjaya mengurangkan kadar kemiskinan tegar di Negeri Sembilan kepada hanya 0.2 peratus pada 2016 serta pembinaan banyak lebuh raya untuk mengatasi kesesakan lalu lintas.
Begitu juga pelbagai infrastruktur yang dibina seperti Hospital Rembau, Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Empangan Sungai Triang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Sendayan Tech Valley.
Dalam konteks janji dan tuntutan pelbagai pihak supaya Kabinet kerajaan perpaduan dibarisi tokoh-tokoh yang tidak mempunyai apa-apa kes mahkamah, maka amatlah tepat sekali jika Mohamad dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri mewakili BN, setidak-tidaknya sehingga Ahmad Zahid dibebaskan daripada semua pertuduhan.
Begitu juga latar belakang Mohamad yang teguh dalam bidang ekonomi, dengan pengalaman di Bank Negara Malaysia, Malayan Banking Berhad, Arab Malaysian Merchant Bank Berhad, Bank Bumiputra Malaysia Berhad, serta pendedahan korporat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Cold Storage Malaysia Berhad dan Pengarah Urusan Cycle and Carriage Bintang Berhad, pastilah akan memberikan beliau aset besar untuk membantu memulihkan ekonomi negara. – UTUSAN
DR Syed Agil Alsagoff ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Komunikasi, Media & Industri Kreatif, Universiti Putra Malaysia (UPM).











