LIMA tahun pertama perkahwinan merupakan fasa yang penting dalam mengemudi bahtera rumah tangga. Setiap perkahwinan itu sudah tentulah ada pasang surutnya, umpama peribahasa sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.
Kematangan atau sebaliknya akan terlihat pada suami dan isteri kerana dalam kehidupan berumah tangga itu adanya segala rencah kehidupan. Manis, pahit, gembira, sedih, kejutan, marah dan sebagainya.
Menurut Kaunselor Berdaftar dan Pengarah Eksekutif di Nuur Counselling and Training Centre (Nuur Centre), Mahirah A. Rashid, bagi sesetengah individu, mungkin boleh terbit rasa tidak serasi dan ‘kesal’ selepas berkahwin. Kata orang, masa bercinta semuanya kelihatan indah sahaja, tetapi apabila sudah sebumbung, semua sisi baik dan buruk akhirnya kelihatan.
“Kehidupan berumah tangga mempertemukan dua insan yang mempunyai tabiat berbeza seperti rutin harian, cara makan, kemas baju dan sebagainya. Ketika inilah timbul rasa tiada keserasian dan kesal apabila pasangan mula tunjuk pendapat berbeza mengenai mempunyai anak, konflik sekitar kehidupan, keengganan untuk bertolak ansur dan isu kewangan.
“Secara asasnya, apabila hidup bersama, sudah tentulah kita akan lebih mengenali seseorang. Tolak ansur amat diperlukan, kedua-duanya perlu belajar menyesuaikan diri dan bersedia untuk melakukan perubahan demi kebaikan. Tanpa tolak ansur, boleh mencetuskan perbalahan,” katanya kepada Seri.
cerai dalam fasa bulan madu.
Perceraian dalam kalangan pasangan ‘bulan madu’ iaitu sekitar enam bulan sahaja berkahwin menjadi satu fenomena membimbangkan.
Kata beliau, faktor tiada persefahaman dilihat sebagai punca lazim berlakunya perceraian, sama ada pada pasangan yang telah lama berkahwin ataupun yang masih di fasa awal perkahwinan.
“Dalam Islam disyorkan untuk kita berkenalan terlebih dahulu dengan bakal pasangan sebelum melangsungkan perkahwinan.
“Ini juga adalah sebagai langkah awal untuk kita menyemak keserasian antara kedua-duanya. Usahlah berpura-pura dan memadai menjadi diri sendiri di sepanjang perkenalan supaya pasangan kita dapat menerima kita seadanya dan tidak meletakkan sesuatu yang di luar jangkaan terhadap kita,” katanya.
Kata Mahirah, semasa fasa awal perkahwinan, pasangan sedang belajar cara hidup bersama termasuklah aspek belanjawan yang sepatutnya dibincangkan sebelum berkahwin untuk elak salah faham dan sebagainya.
“Jika mereka tidak bersetuju dengan banyak perkara, ia boleh membawa kepada tekanan dan pertengkaran yang akhirnya boleh menjadi punca perceraian,” katanya.
Komunikasi berkesan membantu dalam mengelakkan perkara tidak diingini berlaku. Bercakap tentang kewangan sebelum berkahwin juga boleh membantu terangkan belanjawan bulanan masing-masing, tabiat perbelanjaan, pelan simpanan dan harapan pada pasangan.
Melakukan perancangan secara bersama turut membantu mengurangkan sebarang ketidakpastian dan mengelakkan konflik yang berkaitan.
Mahirah berkata, komunikasi efektif merupakan teras utama dalam mengekalkan keharmonian rumahtangga.
“Sekiranya mendapati kesukaran dalam berkomunikasi, boleh dapat perkhidmatan kaunseling kerana kaunselor berperanan sebagai pemudah bicara untuk membantu kelangsungan interaksi antara kedua-duanya.
“Apabila punca dapat dikenalpasti, secara tidak langsung, cadangan solusi boleh disenaraikan dan diusahakan,” katanya.
Mengenai tempoh paling ideal untuk mengenal hati budi, sebelum memutuskan untuk mendirikan rumahtangga, katanya perkara itu subjektif dan bergantung kepada keperluan pasangan.
Namun dinasihatkan untuk tidak terlalu lama dan tidaklah terlalu singkat.
PERSONALITI SEBENAR PASANGAN
Gambaran kehidupan berkeluarga yang manis tanpa dugaan dan cabaran adalah tidak realistik.
Jelas Konsultan Psikologi Industri dan Organisasi, Dr. Mohd. Ferdaus Harun, pasangan bakal berkahwin perlu didedahkan dengan cabaran berumahtanga harus ditempuhi seperti dugaan, cabaran, konflik kehidupan daripada segala aspek kehidupan termasuk kewangan, masa, hubungan, sosial dan kerjaya.
Katanya, berdasarkan pengalamannya, ramai dalam kalangan pasangan menjalani sesi kaunseling (sebelum bercerai) menyatakan pasangan mereka berubah dan baharu menyedari sikap serta personaliti sebenar pasangan selepas berkahwin.
“Isu ini banyak dipengaruhi oleh kecenderungan perhubungan antara pasangan bakal berkahwin yang tidak berlandaskan keikhlasan, sebaliknya menyembunyikan sikap dan personaliti diri. Keinginan untuk menarik perhatian dan memikat hati pasangan menyebabkan individu sanggup berlakon dan berpura-pura dalam perhubungan.
“Sekiranya asas perhubungan dan perkahwinan tidak berlandaskan keikhlasan, kesejahteraan perkahwinan akan terjejas bila pasangan mengetahui personaliti dan sikap sebenar pasangan.
“Banyak punca perceraian berlaku kerana kurang persediaan psikologi untuk menjalani kehidupan berkeluarga. Kegagalan menjalankan tanggungjawab keluarga seperti memberi nafkah, faktor kewangan, tidak mengambil berat hal ehwal keluarga, kegagalan mengawal konflik dan campur tangan keluarga serta perubahan gaya hidup,” katanya.
BERSANGKA BAIK DALAM PERKAHWINAN
Perkahwinan adalah fasa kehidupan yang mampu melonjak atau membinasakan kesejahteraan seseorang.
Mohd. Ferdaus yang juga bekas pensyarah kanan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, perkahwinan tidak seharusnya dilihat sebagai sebuah destinasi mahupun matlamat akhir kehidupan.
Sebaliknya titik permulaan dan juga proses kehidupan yang menyediakan ruang dan peluang untuk memacu kehidupan lebih bermakna.
“Setiap pasangan perlu sedar alam perkahwinan akan memberikan ujian, cabaran dan dugaan lebih hebat berbanding kehidupan sebagai seorang bujang.
“Perkahwinan ada unsur emosi yang sangat kuat. Sayang dan kasih adalah emosi positif yang wujud dalam perkahwinan dan seringkali diprovokasi oleh emosi negatif iaitu kecewa, sedih, dan marah namun tanggungjawab perkahwinan perlu dilaksanakan,” katanya.
Tambah beliau, meskipun kadar perceraian adalah tinggi disebabkan kehidupan berkahwin yang sangat mencabar lebih-lebih mencari pasangan yang baik adalah sukar namun setiap individu seharusnya berkahwin.
“Alam perkahwinan adalah proses kehidupan untuk mencapai kebahagiaan dan menjadi lebih bertanggungjawab. Setiap individu perlu melengkapkan diri dengan ilmu rumah tangga, bersikap terbuka untuk menerima kekurangan pasangan, bersedia untuk berubah dan menghadapi cabaran,” katanya.
Bukan silap pilih,tapi kalah diuji?
DIKATAKAN lima tahun pertama usia perkahwinan adalah fasa getir perlu dilalui suami isteri kerana dalam tempoh itu proses mengenali perangai sebenar pasangan berlaku dan banyak kesabaran dan tolak ansur diperlukan.
Iyalah, kalau dulu masa lama bercinta, pasangan sentiasa memperlihatkan sisi baiknya. Susah hendak nampak dia marah, sentiasa berpakaian kemas dan cantik, tidak tahu pun dia pengotor atau pemalas tetapi apabila sudah tinggal serumah, keburukan dan kelemahan masing-masing satu persatu terbuka.
Di situlah nampak sikap pengotornya, lebih menumpukan perhatian pada telefon pintar bila bersama keluarga, yang dulunya ‘caring’, bila sudah kahwin mengaku pula bukan jenis romantik dan yang paling buruk bertukar menjadi panas baran, kuat melenting dan kaki pukul.
Dan dalam tempoh ini juga, ramai yang kewangannya tidak kukuh. Dulu, semasa bercinta teman lelakilah yang keluar duit makan semasa keluar bersama. Tidak pernah pun dia berkira atau kedekut bab-bab duit. Ada saja hadiah diberikan walaupun bukan pada hari jadi pasangan.
Tetapi bila sudah berkahwin ada yang pusing 360 darjah. Membiarkan dan mengharapkan isteri membayar semuanya. Dari duit rumah sehinggalah makan dan ada yang minta duit isteri untuk belanja pergi kerja!
Teringat saya cerita seorang teman, katanya, suaminya seorang yang baik. Bukan kaki perempuan, bukan kaki lepak mamak dengan kawan-kawan dan selalu saja berada di rumah. Tetapi bab duit, lelaki itu yang sebelum kahwin begitu pemurah orangnya, bila sudah berumah tangga, terus jadi kedekut. Susah benar hendak lihat dia berbelanja untuk keluarganya. Dengan alasan gaji isteri lebih banyak.
“ Bila sudah tidak tahan, sampai tidak ada duit untuk beli keperluan sendiri, saya berbincang dan katakan kepada suami, ada beza antara suami yang baik perangainya dengan suami yang tahu tanggungjawabnya,” katanya kepada saya dan betul, saya bersetuju tentang itu.
Perkara-perkara seperti inilah yang menguji perkahwinan, sebab itu dikatakan lima tahun pertama melayari rumah tangga ia adalah sesi pengenalan yang sebenar-benarnya dan masa mencari keserasian.
Di negara ini dilaporkan seramai 21,368 pasangan berusia 30 tahun ke bawah didaftarkan bercerai pada usia perkahwinan kurang lima tahun pada 2020 berbanding 26,245 pasangan pada 2019.
Maka dalam ruangan Isu Seri kali ini, kita membawa perkara ini untuk difikirkan bersama. Perlukah betul-betul mengenali hati budi dan perangai pasangan sebelum berkongsi hidup dalam kehidupan rumah tangga? Dan timbul juga persoalan berapa lama tempoh yang diperlukan untuk kenal hingga boleh ke jenjang pelamin?
Bagi saya, pada akhirnya ini semua bergantung kepada keikhlasan untuk hidup bersama dan masing-masing mahu menjaga diri orang yang dikasihi. Menerima kelemahan dan kekurangan, dan memperbaiki keburukan. Ini tentunya memerlukan sikap berlapang dada dan menolak keegoan.
Kalau dulu boleh duduk berbincang untuk memutuskan hubungan itu dibawa ke alam perkahwinan kenapa bila timbul hal-hal yang ‘cacat’ dan menjengkelkan dalam rumah tangga, tiada ruang untuk rundingan dan perbincangan? Silap memilih pasangan hanyalah alasan bagi yang memang sudah menutup pintu hatinya untuk memperbaiki apa yang kurang. Mungkin mereka yang kalah dengan ujian itu, bukan mereka tersilap pilih.
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia










