PETALING JAYA: Selepas hampir lima hari Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berlalu, ketiadaan kerajaan dan Perdana Menteri bakal menjejaskan lagi negara dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi yang dijangka berlaku tahun hadapan.
Ini kerana negara berkemungkinan tidak bersedia dengan terancang dalam menghadapi jangkaan peningkatan inflasi, kejatuhan nilai ringgit dan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), yang diramal berlaku tahun hadapan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Dr. Abdul Halim Husin berkata, ini kerana banyak perkara yang perlu diputuskan Kerajaan Persekutuan ketika ini dalam mengatasi ramalan keadaan ekonomi yang serius tahun hadapan.
Bagaimanapun, katanya, negara masih lagi belum terlambat sekiranya mengikut kiraan jangkaan tahun hadapan.
Namun, katanya, kerajaan perlu segera diwujudkan secepat mungkin bagi melaksanakan apa sahaja perancangan yang akan dibuat pada 2023 depan.
“Inflasi, kejatuhan nilai ringgit terhadap dolar Amerika Syarikat (USD) dan kenaikan OPR dijangka akan lebih tinggi tahun hadapan.
“Ketidaktentuan politik ini akan menyebabkan kita tidak dapat menjalankan polisi dan respons terhadap keadaan ekonomi dengan cepat kerana tidak ada orang yang bertanggungjawab, malah tidak dapat menggunakan Bajet yang tidak diluluskan pada Oktober lepas.
“Jadi mereka cuma boleh gunakan untuk bayar gaji penjawat awam sahaja dan perkara yang besar-besar tidak dapat dijalankan, seperti memberi stimulus kepada ekonomi.
“Itu sebab kita merasakan sama ada PN dengan PH mempercepatkan rundingan untuk bersama, atau mana-mana pakatan untuk menubuhkan kerajaan dan mengabsahkan kerajaan itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Abdul Halim yang juga Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berkata, ketidaktentuan ekonomi yang diramal tahun hadapan dijangka meningkatkan lagi inflasi negara ini seterusnya memberi kesan teruk depan golongan B40 dan M40.
Katanya, ini kerana semua pihak sedia maklum kenaikan gaji di Malaysia ini tidak selari dengan pembangunan negara.
“Oleh itu, apabila berlaku kenaikan inflasi dan OPR, mereka terutama M40 dan B40 akan lebih tertekan disebabkan kenaikan itu kerana terpaksa menggandakan wang mereka membayar (pinjaman) bank.
“Jadi duit dalam poket akan berkurangan dan ini menyebabkan mereka terpaksa menumpukan terhadap perjalanan kehidupan mereka untuk pinjaman rumah dan kereta, berbanding membeli makanan,” ujarnya.
Semalam, Bursa Malaysia menyaksikan kerugian kumulatif permodalan pasaran berjumlah RM7.32 bilion akibat reaksi mendadak pelabur terhadap pembentukan kerajaan. – UTUSAN










