PETALING JAYA: Buat pertama kali dalam sejarah, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bekerjasama bagi membentuk kerajaan campuran di Perak dan Pahang.
Kerjasama itu sekali gus menjawab persoalan siapa yang akan membentuk kerajaan negeri selepas tiada parti yang meraih majoriti dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu lalu.
Malah, kerjasama itu juga memberi petunjuk bahawa PH dan BN akan turut membentuk Kerajaan Persekutuan.
Di Perak, PH yang memenangi 24 kerusi membentuk kerajaan apabila meraih sokongan sembilan kerusi BN, sekali gus menafikan peluang Perikatan Nasional (PN) yang memenangi 26 kerusi untuk membentuk kerajaan.
SATU NAMA
Ahli Dewan Negara Perak, Tan Sri Annuar Zaini berkata, kerjasama itu menyaksikan nama Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dikemukakan sebagai satu-satunya calon Menteri Besar.
Istiadat angkat sumpah diadakan di Istana Iskandariah, Bukit Chandan Kuala Kangsar semalam.
Menurutnya, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan untuk istiadat angkat sumpah Saarani sebagai menteri besar selepas PH dan BN mempunyai majoriti ahli dewan undangan negeri bagi membentuk kerajaan.
“Tuanku puas hati dengan apa yang dipersembahkan daripada wakil PH dan BN dan mereka hanya mengemukakan hanya satu calon sebagai calon Menteri Besar iaitu ADUN Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad. Oleh kerana ada satu persefahaman, PN menerima nama yang dikemukakan itu,’’ katanya.
Beliau berkata, Sultan Nazrin juga menyedari pentingnya untuk Dewan Undangan Negeri segera bersidang untuk meluluskan Bajet, baginda berkenaan untuk Saarani semalam.
Annuar berkata, untuk bersikap adil, baginda juga memperkenankan wakil PN, Razman Zakaria dan Datuk Zainol Fadzi Paharuddin menghadap memandangkan mereka mempunyai kerusi terbesar iaitu 26 DUN dan berkeupayaan menubuhkan kerajaan.
TIADA ANGKA
“Mereka mengakui tiada angka untuk tubuhkan kerajaan dan memahami Tuanku perlu bertindak ikut undang-undang tubuh negeri yang baginda mempercayai ADUN yang mempunyai majoriti diperkenankan untuk dilantik sebagai Menteri Besar,” katanya.
Di Pahang, BN yang memenangi 16 kerusi Dewan Undangan Negeri akan membentuk kerajaan setelah meraih sokongan daripada PH yang memenangi lapan kerusi, berbanding PN yang meraih 17 kerusi.
Malah, difahamkan Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan dilantik sebagai Menteri Besar. Satu lagi kerusi, DUN Tioman akan dipertandingkan pada 7 Disember susulan kematian calon PN, Md. Yunus Ramli.
Di Perlis, PN tidak berdepan masalah untuk membentuk kerajaan setelah memenangi 14 daripada 15 kerusi dengan hanya satu kerusi dimenangi PH. Pengerusi PN Perlis, Mohd. Shukri Ramli dijangka mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar baharu hari ini. – UTUSAN










