Jangan pula tikam kiri kanan selepas gabung

Jangan pula tikam kiri kanan selepas gabung

PAKATAN Harapan (PH) masih memerlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi bagi membentuk angka majoriti mudah 112. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang diumumkan menjelang awal pagi semalam gagal membentuk satu kumpulan dominan parti politik yang menguasai serta majoriti mudah 112 kerusi Parlimen. Semua parti bertanding gagal membentuk angka 112.

Dua gabungan parti politik yang mendapat angka besar adalah Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), masing-masing 82 dan 73 kerusi. Barisan Nasional (BN) hanya mendapat 30 kerusi. Satu angka sangat kecil yang tidak disangka kerana matlamat sebenar PRU15 didesak diadakan oleh pimpinan utama UMNO adalah bagi kembali menguasai kerajaan Pusat.

PH masih memerlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi dan PN pula 39 lagi bagi membentuk angka majoriti mudah 112. Dari mana angka ini boleh dicukupkan? Gabungan dengan parti-parti politik lain yang memenangi dengan kerusi cukup mungkin berlaku. Penambahan anggota melalui lompat parti secara individu tidak lagi dapat dilakukan setelah undang-undang antilompat parti diluluskan Parlimen.

Rundingan (PH dan PN) dengan parti-parti politik yang menang dalam PRU15 berlaku seawal pagi semalam bagi mencapai kata sepakat. Kemungkinan parti-parti seperti BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menang 22 kerusi akan menjadi pilihan untuk melakukan rundingan.

PN akan dapat membentuk kerajaan jika bergabung dengan GPS dan BN iaitu 73+22+30=125 kerusi. Angka 125 sudah cukup memadai bagi membentuk kerajaan Pusat. Begitu juga PH jika bergabung dengan BN iaitu 82+30=112.

Persoalannya, adakah gabungan dan kerjasama ini akan berlaku dengan mudah? Bagaimana proses rundingan dan apa halangannya? Masih kekalkah prinsip BN/UMNO, no Anwar, no DAP?

Parti-parti politik ini mempunyai falsafah dan matlamat berbeza. Gabungan tidak akan berlaku dengan mudah. Prosesnya akan menjadi sukar jika tuntutan satu pihak tidak dipenuhi. Adalah sukar untuk memenuhi semua tuntutan oleh satu pihak. Katakan untuk berlaku gabungan antara PH dan GPS bukan mudah kerana kedua-duanya ada beberapa perbezaan dan sejarah.

Begitu juga kerjasama antara PN dan BN, kedua-duanya mempunyai pertembungan dan perbezaan yang nyata. Sejarah dan bentuk hubungan antara kedua-dua parti/gabungan sebelum pilihan raya mungkin menyukarkan kerjasasama pasca PRU untuk berjalan dengan mudah.

Bagaimanapun, kedudukan Parlimen tergantung tidak boleh dibiarkan lama. Dalam masa singkat ini, perlu dilakukan penyelesaian. Gabungan dan kerjasama antara parti-parti perlu dilakukan segera dengan mengetepikan perbezaan dan mengetengahkan persamaan. Walaupun proses ini tidak mudah, tetapi perlu bagi kepentingan negara dan masa depan kehidupan serta kesejahteraan rakyat. Ini terserah kepada kebijaksanaan pemimpin utama parti-parti dan kuasa serta kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Rakyat telah menjalankan tanggungjawab membuat pilihan melalui PRU, maka terserah kepada kebijaksanaan pemimpin membuat keputusan seterusnya.

MENIKAM

Gabungan dan kerjsaama janganlah kerana terpaksa dan menimbulkan masalah dalam masa singkat selepas pembentukannya. Janganlah berulang lagi ketidakstabilan seperti berlaku pergolakan politik selepas 1 Mac 2020. Jangan lagi ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan dibuat dan cuba menikam dari kiri dan kanan yang menggugat kerajaan telah dipersetujui sebelumnya. Fikirkan kepentingan umum dan kepentingan jangka panjang bangsa dan negara.

Saya pernah menyarankan dalam tulisan-tulisan sebelum ini bahawa perkiraan sebelum penamaan calon adalah sangat perlu bagi parti-parti politik Melayu. Jangan pertembungan sesama sendiri, akan membawa kerugian dan penyesalan selepas keputusan diumumkan. Saya pernah menyatakan pertandingan antara PN-BN dan PH perlu difikirkan sebelum pilihan raya untuk mengelak masalah selepas keputusan diperoleh. Adalah lebih elok jika BN dan PN dapat membentuk kerjasama dalam melawan PH. Mungkin ini akan meningkatkan bilangan jumlah kerusi BN dan PN.

Realiti ini benar-benar berlaku kerana banyak kawasan Parlimen yang dimenangi oleh PH mungkin disebabkan oleh perpecahan undi Melayu kepada PN dan BN. Perpecahan undi Melayu dan sedikit sokongan undi bukan Melayu kepada PH mampu membawa kemenangan kepada calon PH.

Tidak dapat dinafikan pertandingan antara PH dan PN, BN ada mempunyai unsur-unsur berkaitan Melayu dan bukan Melayu sama ada secara nyata atau tidak, secara langsung atau tidak langsung. Kawasan-kawasan majoriti Melayu di negeri-negeri Utara (Kedah dan Perlis) dan Pantai Timur (Kelantan dan Terengganu) memberikan kemenangan besar kepada calon PN, manakala di kawasan majoriti bukan Melayu (khususnya kaum Cina) dan juga kawasan Parlimen yang besar peratus bukan Melayu lebih membawa kepada kemenangan memihak kepada calon PH. Hakikat ini perlu diterima walaupun ada pihak menafikannya.

Apa pun, kita harus menerima keputusan yang sudah dikeluarkan dan disahkan semalam. Apa yang perlu adalah menguruskan dengan sebaiknya keputusan yang ada. Kalau perlu gabungan (memang perlu membentuk gabungan), lakukanlah sebaik-baiknya demi kepentingan negara dan semua pihak.

Untuk masa akan datang, penyusunan dan pengurusan parti-parti politik perlu lebih kemas. Pemimpin utama di semua peringkat parti mestilah orang yang bersih daripada sebarang salah guna kuasa dan rasuah. Semua ahli mesti berani bertindak membersihkan parti masing-masing. Tanpa pembersihan daripada pemimpin yang kotor akan membawa kesan negatif kepada parti berkaitan.

Dalam konteks politik Malaysia yang dominannya adalah orang-orang Melayu, seharusnya golongan Melayu dan bumiputera serta parti politik golongan dominan ini menjadi parti yang dominan. Ia adalah satu prasyarat yang perlu bagi kestabilan politik negara. Perpecahan parti-parti politik Melayu mempengaruhi kestabilan politik negara. Keputusan PRU15 adalah cerminan perpecahan parti-parti politik Melayu.

Bersatu teguh, bercerai roboh. Berpadu teguh, berpecah rebah. – UTUSAN

DR. Mohd. Noor Yazid ialah Ahli Bersekutu Majlis Profesor Negara (MPN) dan penuntut sarjana undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×