Rakyat hendak kerja, bukan cuti

Rakyat hendak kerja, bukan cuti

ISHAM JALIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

CALON Parlimen Shah Alam, HIZATUL ISHAM JALIL, 46, bukan baharu dalam dunia politik.
Malah sejak empat tahun beliau yang juga pejuang siber untuk Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO dikenali sebagai graduan Universiti Harvard yang petah berkata-kata.
Wartawan Utusan Malaysia, ABDUL RAZAK IDRIS menemu bual beliau untuk menjawab lima soalan panas.

UTUSAN: Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) akan mengisytiharkan cuti peristiwa jika menjadi kerajaan. Apa komen saudara?
Jawapan saya mudah, saya hendak cakap pada Tan Sri Muhyiddin, rakyat sekarang bukan hendak cuti tetapi mereka mahukan kerja (pekerjaan).
Rakyat sudah terasa perit sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua tahun apabila terpaksa diberi ‘cuti’ panjang hingga ramai hilang pekerjaan.
Ramai yang terpaksa kerja dalam industri e-hailing. Ini masanya pemimpin bercerita tentang kerja bukan cuti.

Kadar pengangguran di negara ini masih membimbangkan, apa pandangan saudara?
Rakyat sudah lama duduk di rumah dan kadar pengangguran masih kira-kira 700,000 orang.
Ia termasuk rakyat Selangor yang tidak bekerja.
Graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang berpuluh ribu keluar setiap tahun ada ijazah tetapi tiada kerja.
Ada yang memiliki ijazah bidang kejuruteraan tetapi jadi penghantar makanan.
Sehubungan itu, fokus kita hendak mewujudkan pekerjaan.
Saya jadi pelik apabila Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengatakan saiz ekonomi berkembang tujuh hingga lapan peratus, mana dia dapat angka ini.
Itu berbanding dengan masa Covid-19 memanglah peratusan tinggi tapi saiz ekonomi kita adalah lebih rendah sekarang berbanding sebelum Covid-19.
Sebelum Covid-19 saiz ekonomi kita RM380 bilion sekarang RM370 bilion, kurang RM10 bilion sebab itu orang tiada kerja.
Sebab itu saya kata bila kita pergi ke atas kita kena tarik ­
se­­­­perti dalam manifesto BN itu, pelaburan tempatan terus (DDI) dan pelaburan asing terus (FDI) ini kita kena tarik 20 hingga 30 bilion lagi supaya saiz ekonomi kita jadi RM400 bilion tambah RM20 bilion dari pra Covid-19.

Pemimpin PH ramai berpin­dah kerusi Parlimen. Ko­men.
Mereka lari kawasan sebab tidak memberi perkhidmatan atau berkhidmat dengan betul di kawasan masing-masing.
Anwar lari ke Tambun dari Port Dickson dan Lim Kit Siang sebelum ini juga lari kawasan.
Mereka sebenarnya tidak komited memberi khidmat, bila rakyat marah mereka lari kawasan lain seperti bekas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad (Parlimen Titiwang­sa).
Mereka juga selesa sebab mereka menang besar, 52 daripada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.
Mereka terlalu selesa menang tiga penggal dan leka memberi khidmat terbaik.

Status saudara sebagai calon underdog di Shah Alam satu ke­lebihan atau kelemahan?
Saya mengaku saya calon underdog. Saya menjadi calon di kawasan kedua terhitam untuk BN kawasan Melayu.
Di Malaysia ada 222 kawasan Parlimen, Semenanjung 165 Parlimen, dari 165, sebanyak 120 kawasan Melayu UMNO bertanding.
Dari 120 kawasan Melayu yang UMNO bertanding, yang paling teruk adalah Gombak, 48,000 (undi) kita kalah.
Kedua Shah Alam, 33,000 kita kalah. Dari segi teori, jika kita menang Shah Alam, kali ini kita menang 10 kawasan Parlimen. Rea­litinya saya bukan heavyweight atau menteri, parti beri kepercayaan.

Isu 1MDB kurang dijadikan modal kempen parti lawan, mereka seakan-akan kehilangan isu. Apa pandangan anda?
Kempen saya positif. Saya hendak cari jalan penyelesaian kepada masalah, bukannya mencari siapa yang bersalah.
Saya lihat kempen PH dan PN kempen mereka mengutuk orang, mencari salah, skandal-skandal, itu saya tidak peduli.
Hari pertama kempen, calon lawan mengutuk saya dengan mengatakan saya sekolah mahal (Universiti Harvard), mana saya dapat duit pergi belajar.
Mungkin mereka hendak timbulkan persepsi saya dapat banyak duit haram pergi Harvard.
Saya belajar rajin-rajin sebab itu dapat biasiswa. Saya keluarga miskin, bapa bekerja pasar malam bawa lori, saya belajar rajin-rajin untuk berjaya, mengapa itu pun dengki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×