TERDAPAT 10 masalah besar dalam tindakan sekumpulan 70 individu yang menggelarkan diri mereka sebagai 70 Profesor Melayu (G70) membuat deklarasi bagi menyokong Presiden PKR merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal perdana menteri.
Pertama, seperti disebutkan oleh Majlis Profesor Negara (MPN), jumlah 70 profesor ini hanya mewakili 2.3 peratus daripada lebih 3,000 profesor di universiti-universiti awam dan swasta di negara ini. Jumlah 70 profesor ini jauh lebih kecil berbanding ramai profesor lain yang lebih hebat pernah membuat pernyataan dan seruan. Jauh berbeza daripada G70 khususnya yang menyokong gabungan politik yang mengekalkan dominasi Melayu Islam di negara ini.
Kedua, tidak ada bukti kukuh kesemua 70 profesor ini menyokong Anwar kerana yang hadir dalam sidang akhbar tidak sampai 15 orang, manakala kertas edaran yang disertakan tidak mengandungi tandatangan setiap mereka. Malah sejurus deklarasi ini diumumkan, terus sahaja dua daripada mereka, iaitu Profesor Datuk Dr. Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi dan Profesor Dr. Ishak Yussof menyatakan mereka tidak terlibat di dalamnya dan menarik diri kerana diberikan maklumat tidak betul.
Ketiga, timbul persoalan mengenai kewibawaan profesor ini yang sebahagian besarnya sudah bersara daripada perkhidmatan baik di universiti awam atau swasta tetapi terus menggunakan gelaran Profesor sedangkan gelaran itu hanya boleh diguna sewaktu berkhidmat. Malah, Ishak secara terang-terang menyebut dalam kenyataan bahawa beliau telah pun bersara daripada perkhidmatan dua tahun lepas dan tidak lagi wajar menggunakan gelaran Profesor.
Keempat, G70 ini juga dilihat tidak berwibawa kerana bersifat partisan di mana nama-nama yang tercatat di dalamnya sememangnya merupakan penyokong kuat Anwar sejak sediakala dan tegar berjuang bersama Anwar khususnya melalui Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan PKR.
Nama-nama seperti Profesor Datuk Dr. Mohd. Nor Manuty, Profesor Dr. Razali Nawawi, Profesor Datuk Dr. Mohd. Redzuan Othman dan Profesor Dr. Mohd. Nor Nawawi umpamanya mempunyai kaitan langsung dengan Anwar baik di dalam ABIM mahupun PKR. Mereka mendapat pelbagai manfaat daripada PKR atau institusi di bawah kawalan kerajaan PKR Selangor.
Malah Mohd. Nor khususnya pernah bertanding atas tiket PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU11) dan PRU12 selain pernah memegang pelbagai jawatan dalam PKR.
Kelima, deklarasi dibuat adalah pernyataan dan seruan menyentuh soal pilihan raya dan pembentukan kerajaan yang bersifat politik sedangkan hanya seorang daripada mereka mempunyai kepakaran dalam bidang sains politik. Malaysia mempunyai ramai pakar dalam bidang sains politik termasuk bergelar Profesor Ulung dan Profesor Emeritus. Jadi, bila seorang sahaja menyatakan sokongan kepada Anwar maka ini menunjukkan Anwar bermasalah.
Keenam, bagi profesor yang masih berkhidmat di universiti awam, pernyataan dan seruan mereka bercanggah dengan Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang melarang mengambil bahagian dalam aktiviti politik. Mereka sepatutnya tidak boleh membuat apa-apa pernyataan awam yang berat sebelah atas apa-apa perkara yang menjadi isu antara parti-parti politik selain tidak boleh terlibat dalam merayu undi bagi menyokong mana-mana calon termasuk calon perdana menteri.
Ketujuh, hujah-hujah digunakan oleh G70 untuk menyokong Anwar adalah terlalu rapuh, khususnya Anwar merupakan pilihan terbaik sebagai perdana menteri untuk menjamin keutuhan agama Islam serta kepentingan Melayu dan pribumi di negara ini. Hampir tiada langsung janji untuk menjamin keutuhan Islam serta kepentingan Melayu dan pribumi dalam Tawaran PH sempena PRU15, kecuali hanya janji memperkasa institusi kehakiman syariah untuk menjaga hak wanita dan kanak-kanak.
Kelapan, G70 langsung gagal mengulas kenyataan berulang kali Anwar pada 17 Mei, 15 September dan 9 Oktober 2018; 25 Mac dan 12 Julai 2019 bahawa dasar-dasar pro-Melayu mesti dihapuskan dan digantikan dengan dasar-dasar berasaskan keperluan. Penegasan ini pernah mengundang kritikan tajam bekas ketua staf di pejabat Anwar sendiri, Ibrahim Yaacob yang meramalkan Anwar akan terus bermimpi dan tidak layak menjadi perdana menteri kerana hasrat mahu menghapuskan dasar-dasar pro-Melayu.
Kesembilan, G70 dalam kenyataan Profesor Dr. Mohd. Tajuddin Mohd. Rasdi membawa satu pandangan yang bercanggah dengan pendirian umat Islam, iaitu naratif bahawa satu agama itu adalah lebih baik atau lebih utama boleh merosakkan aspek negara bangsa. Pluralisme agama ini, iaitu bahawa tidak ada kebenaran mutlak dalam agama pernah diutarakan oleh Anwar di London School of Economic (LSE) pada 18 Mac 2010 dan ditolak keras oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady kerana bercanggah dengan ajaran Islam.
Kesepuluh, tindakan G70 juga mendedahkan betapa mereka menunggang dan menyalahgunakan gelaran Profesor untuk kepentingan partisan mereka. Malah seperti disebutkan oleh Profesor Datuk Dr. Ahmad Murad Merican, “G70 terperangkap dan bersifat bongkak dan sombong dengan pangkat dan gelaran” serta “menunjukkan mentaliti yang amat parokial serta sikap bebal yang antikecendekiawanan dan antikesarjanaan.”
Sesungguhnya adalah sesuatu yang amat memalukan bagi G70 untuk menyalahgunakan gelaran atau membiarkan diri dipergunakan sebagai satu tindakan desperado pihak yang terlalu bimbang dengan fakta bahawa mereka tiada sokongan daripada para pengundi Melayu Islam. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor ialah Ketua Jabatan Sejarah & Tamadun Islam, Universiti Malaya merangkap Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR).










