SEJAK kebelakangan ini, ada seorang bekas profesor dalam bidang sains politik di sebuah universiti tempatan giat sekali menggunakan media sosial untuk berkempen bagi memenangkan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Tanpa berselindung, beliau yang telah bersara beberapa bulan lalu menyebut menyokong dan akan mengundi PH dalam PRU15. Katanya, “Kita mahu membangunkan Malaysia” dan “Kita mesti lari dari politik kebencian dan perkauman sempit.”
Tegasnya, dalam PRU15, beliau mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri kerana yakin dalam beberapa bakal calon Perdana Menteri yang ada, Presiden PKR itu adalah yang terbaik untuk memimpin negara hebat ini ke depan. Tidak pelik sebenarnya penegasan begini kerana sewaktu PH memerintah dahulu, beliaulah antara terkehadapan mendesak Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan garis masa yang jelas dan tepat untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.
Kata beliau pada 30 Oktober 2019, jawatan itu perlu diberi kepada Anwar yang mampu membina kerajaan kuat selain berupaya melonjakkan ekonomi, memartabatkan kesejahteraan rakyat, mengharmonikan hubungan kaum dan membawa negara ke hadapan. Dan sekali lagi sewaktu negara kalut menunggu pelantikan Perdana Menteri baharu pada 18 Ogos 2021, beliau menyebut Anwar adalah pilihannya kerana prinsip perjuangan Anwar lebih secocok dengan jiwa beliau yang mendahulukan negara dari bangsa.
Hairannya, ada juga selain penyokong yang teruja dengan sokongan terbuka penganalisis politik ini kepada PH dan Anwar sedangkan ia tidak diasaskan kepada apa-apa data konkrit, sebaliknya hanya emosi dan sentimen peribadi semata. Walhal, banyak analisis politik beliau sebelum ini tersasar termasuk kenyataan-kenyataannya menjelang PRU14 dahulu bahawa Pas akan kalah teruk dan UMNO bakal merampas Kelantan.
Kini kelihatannya beliau cuba menampakkan dirinya lebih PKR daripada pemimpin tinggi PKR sendiri dengan menunjukkan keyakinan bahawa PH bakal memenangi PRU15 dan Anwar bakal menjadi Perdana Menteri baharu pasca PRU15.
Bagaimana PH boleh dikatakan akan memenangi PRU15 bila data-data mutakhir menunjukkan PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah), dua parti Melayu di dalamnya mengalami kemerosotan teruk dalam sokongan pengundi Melayu? Jika diimbas balik keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac lalu, deretan calon PH dari PKR (7) dan Amanah (4) buat pertama kalinya bukan setakat tewas teruk tetapi hilang deposit di kerusi majoriti Melayu di Semenanjung.
Tidak hairanlah jika dalam PRU15 ini, DAP kelihatan sudah tidak begitu percaya kepada kemampuan PKR dan Amanah untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu kepada PH sebaliknya menceroboh dan meletakkan calonnya sendiri di kawasan Melayu.
RAFIZI, NURUL IZZAH
Timbalan Presiden PKR, Mohd. Rafizi Ramli sendiri pada 3 April lalu menyebut, PH tidak boleh bersikap in denial (penafian) ketika rakyat sendiri tidak meyakini keupayaan mereka memenangi PRU15 dan hanya perlu menyasarkan untuk menjadi pembangkang bermaruah.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar juga pada 14 April lalu menyebut, PH bakal menghadapi laluan sukar dan mungkin hilang banyak kerusi pada PRU15 serta memerlukan sekurang-kurangnya dua pusingan PRU lagi untuk kembali menguasai Putrajaya. Beliau amat realistik kerana baginya, kita akan mengambil masa untuk melakukan dengan jayanya perbezaan produk berikutan rakyat dan dirinya sendiri masih trauma dengan apa yang berlaku semasa PH menjadi kerajaan selama 22 bulan sebelum ini.
Bagaimana tiba-tiba penganalisis politik ini boleh melaungkan PH bakal memenangi PRU15 dan Anwar bakal menjadi Perdana Menteri baharu sedangkan tiada apa-apa perubahan signifikan berlaku kepada PH dalam tempoh ini?
Jika mahu dikatakan Anwar adalah lebih baik daripada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, maka ini adalah sesuatu yang jauh menyimpang kerana terbukti selama 14 bulan Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri, terlalu banyak kejayaan dikecapinya. Ismail Sabrilah yang berjaya membawa negara keluar dari kemelut kesihatan dan ekonomi yang kini terserlah bila Bank Negara Malaysia mengumumkan pada 11 November lalu bahawa ekonomi negara tumbuh pada kadar 14.2 peratus di suku tahun ketiganya.
Lebih daripada itu, begitu banyak sekali transformasi pentadbiran dan perundangan telah dilaksanakan oleh Ismail Sabri dalam tempoh ini yang Anwar sendiri tidak terdaya melakukannya sewaktu berkuasa melalui UMNO dan PH dahulu.
Dalam konteks pengundi Melayu, tawaran PH dalam PRU15 ini juga jauh lebih teruk berbanding manifestonya pada PRU14 kerana tiada langsung jaminan tegas untuk mempertahankan kedudukan Melayu, raja-raja dan agama Islam. Sebaliknya yang paling tertonjol ialah janji kewarganegaraan automatik kepada anak angkat serta golongan warga emas yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak berstatus warganegara.
Sebab itulah rata-ratanya penganalisis politik yang berfikiran rasional akan menyatakan bahawa BN, bukannya PH bakal memenangi PRU15. Dan Ismail Sabri, bukannya Anwar bakal menjadi Perdana Menteri baharu pasca PRU15.
Tidak dinafikan BN mempunyai beberapa masalah di peringkat awal kempen seperti isu pengguguran beberapa penyandang kerusi, ketidakpuasan hati golongan wanita dan pencalonan luar kawasan tetapi kini semuanya semakin diatasi. Begitu juga pengundi yang sepertinya fobia dengan nama-nama tertentu di dalam UMNO/BN tetapi tidak akan mengambil pendirian marahkan nyamuk, kelambu dibakar kerana rekod, manifesto dan calon Perdana Menteri BN jauh lebih meyakinkan berbanding PH. – UTUSAN
DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.










