Undilah untuk pulihara pertiwi

Undilah untuk pulihara pertiwi

Kritikan Rafizi beri ‘durian runtuh’ buat Pas dan PN. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUJUNG minggu ini adalah hari penentu bagi rakyat Malaysia. Sama ada kita akan berubah sebagai sebuah negara berdaulat dan beramanah ke arah yang lebih indah, ataupun masih terumbang-ambing tanpa haluan, bergelumang dengan rasuah serta segala macam langkah sepak terajang.

Semua ini bergantung kepada kita, rakyat jelata sepertimana angkatan #kitajagakita mengatasi serangan Covid-19 tempoh hari. Dewasa itu, pelbagai pengalaman baharu diharungi, hampir semuanya di luar dugaan. Namun atas berkat kebersamaan, kita dapat bertahan walaupun tidak semudah dijangkakan memandangkan musuh yang mendatang tidak nampak oleh mata kasar.

Apa pun, pengalaman tersebut banyak mengajar kita untuk lebih bijak melawan musuh lain yang juga tidak nampak dalam pelbagai ragam. Tidak ketinggalan dalam dunia politik yang tidak terarah menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), dua hari lagi.

Musuh kali ini sudah lama menular, malahan ‘dibela’ oleh sesetengah pihak berkepentingan dalam kalangan ahli politik serta peniaga dan ‘doyok-doyok’ mereka.

Mengikut Imam Ghazali, ada 12 jenis musuh tersebut yang bersembunyi dalam naluri masing-masing sama ada disedari atau tidak. Agak jelas sudah ada yang bermaharajalela apabila manusia mulai lalai dan angkuh. Maka terbongkar segala macam kedurjanaan #kitamakankita menggantikan #kitajagakita.

Rasuah dan kebodoh sombongan adalah angkara utama yang menghantui semua. Diketuai oleh bijak pandai yang tamak haloba berasaskan kuasa dan kedudukan, tidak langsung mengenal ‘malu.’ Ini dikaitkan pula dengan semangat kepartian politik sempit bak setitik nila yang merosakkan susu sebelanga. Kalau ini tidak cukup, pelbagai lagi langkah itu dan ini diambil atas nama rakyat. Namun tanpa ‘kebenaran’ mereka, hatta ramai yang dirundung malang satu demi satu tidak berkesudahan.

Oleh itu, PRU15 merupakan langkah pemutus daripada apa yang telah berlaku dan dilakukan jika beberapa tertib diasuh dengan beradab. Lima antaranya adalah pertama, tidak terpengaruh dengan poster atau iklan berlebihan khususnya yang melibatkan pemegang kerusi semasa.

Ini kerana mereka sewajarnya dikenali oleh semua pengundi seandainya sering turun padang atas asas mendampingi rakyat dari dekat, dari hati ke hati. Maksudnya, tidak perlu lagi publisiti besar-besaran yang membazir tatkala wang tersebut boleh dimanfaatkan untuk kebajikan rakyat menderita melewati jangka waktu berkempen.

Kedua, berwaspada kepada sesiapa sahaja yang mengalatkan PRU untuk membalas dendam. Ia menyalahgunakan proses pengundian, apatah lagi demokrasi bermaksud mencari yang terbaik atau paling sesuai dalam satu penyatuan suara rakyat. Bukan sebaliknya, umpama memusuhi satu sama lain. Maka fahamlah matlamat demokrasi sebenarnya sebelum mengundi.

Ketiga, terus berwaspada akan taktik ‘terbang malam’ dalam melayani mimpi untuk memartabatkan diri berbanding rakyat teramai. Lagi sekali kita akan berhadapan rebutan kuasa yang bakal menggugat kestabilan negara melalui penubuhan sebuah kerajaan tidak kurang kucar-kacirnya. Dengan terdapatnya pertandingan sebanyak tujuh hingga 10 calon, memberi isyarat ada sesuatu yang tidak kena dalam menstabilkan kerajaan gubahan PRU kali ini.

BUDIMAN

Oleh itu, kita harus mencari budiman sebagai tertib keempat, berakar pada kata ‘budi’ yang meliputi tiga cabang utama. Bermula dengan ‘budi bahasa’, pelbagai cerminan diri akan seorang insan sopan lagi luhur niat hidupnya berpaksikan kejujuran melalui pertuturan serta halusan kata-kata. Tidak sinis atau celupar sehingga dihalau rakyat di mana sahaja. Malah berupaya pula diterjemahkan kepada perbuatan serta akhlak mulia serat adab yang mendamaikan.

Kesudahannya, terzahir manusia serba seimbang lagi harmoni melalui ‘budi bicara’ sebagai tonggak jati diri dan kesejahteraan. Sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) setiap satu sewajarnya meraikan para budiman sedemikian rupa. Malangnya kini agak mengecewakan kerana gagal meletakkan para budiman pada tahap insan sejahtera paling teratas.

Oleh itu, amat jarang sekali sidang Parlimen dilihat sebagai medan berbudi apabila lebih ramai yang terpekik terlolong apabila menyampai hujah dangkal mereka. Tidak kurang juga yang diarah keluar atau digantung penyertaan mereka. Gejala ini juga dapat dirasai semasa berkempen pada hari-hari yang telah berlalu, bagaikan limpahan amalan berparlimen yang sudah membudaya – alah bisa, tegal biasa.

Susulan itu, pada tertib terakhir, amat wajar sekali ditekankan rasa rendah diri serta manusiawi dalam menawarkan diri bagi berbakti dan berbudi. Ini lebih-lebih lagi memandangkan calon-calon PRU15 cenderung kepada kelompok jutawan belaka. Ini terbukti daripada maklumat pengisytiharan harta dan aset masing-masing.

Sekali gus mengandaikan setiap satu boleh dijual beli dan diperkosa melalui wang ringgit asalkan sahaja terus berkuasa dan kaya raya. Angkuh berserta sombong menjauhkan santunan rakyat bergelar B40. Hanya sekadar meraih simpati para pengundi bagi mendapatkan kerusi untuk terus berkuasa.

Inilah dia zaman demokrasi berjual-beli serba serbi. Tidak terpaut di hati sanubari yang tandus akan budi. Maka amanahnya jatuh ke atas bahu para pengundi yang berniat suci dalam memulihara pertiwi. Undilah dengan bijak. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×