PENDIDIKAN menjadi salah satu perkara tumpuan penting setiap kali pilihan raya umum (PRU). Pendidikan tinggi juga antara perkara wajib yang dimasukkan dalam manifesto parti-parti bertanding sebagai suatu tawaran penting kepada rakyat khususnya golongan muda.
Hal ini kerana pendidikan tinggi adalah antara isu yang dekat dengan pengundi muda lebih-lebih lagi sebahagian mereka menuntut di institusi pendidikan tinggi (IPT). Dalam PRU15, kira-kira 1.2 juta pengundi berumur antara 18 hingga 20 tahun. Daripada jumlah itu, 452,559 adalah pelajar atau 38 peratus merupakan penuntut IPT.
Dalam PRU sebelum ini, keghairahan sesetengah parti untuk menang mendorong mereka berjanji sesuatu yang bersifat populis dan tidak masuk akal. Ini termasuk janji untuk memberikan pendidikan percuma kepada semua pelajar IPT dan menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Selepas pilihan raya, ternyata janji-janji tersebut tidak dapat ditunaikan sekali gus menyerlahkan kegagalan kerajaan pada ketika itu. Lebih menyedihkan, manifesto yang turut mengandungi janji-janji berkaitan pendidikan tinggi ini dikatakan tidak semestinya ditunaikan kerana ia bukan kitab suci.
Menjelang PRU15, pendidikan tinggi masih lagi menjadi taruhan parti-parti yang bertanding. Berdasarkan manifesto yang telah diumumkan, Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) membuat beberapa tawaran menarik dalam konteks pendidikan tinggi.
BN menyediakan tawaran terbanyak berkaitan pendidikan tinggi, iaitu sembilan berbanding hanya empat oleh PH dan tiga daripada PN. Berdasarkan manifesto BN bertemakan Perancangan Amal dan Usaha (PADU), agenda pendidikan tinggi mengambil kira semua segmen dalam masyarakat.
Bagi kelompok B40, pendidikan tinggi percuma akan diberikan kepada setiap ahli keluarga sebagai pelan penamat kemiskinan jangka panjang. Ini berbeza dengan janji pendidikan tinggi secara percuma kepada semua walaupun mereka yang tidak layak. Bagi kelompok M40 pula, kadar penuh pinjaman PTPTN akan diberikan kepada pelajar IPT.
Selain itu, mereka yang mahu meneroka minat lain dan menambah pengalaman dalam tempoh pembelajaran, pelajar digalakkan mengambil tahun senggang (gap year) bagi memenuhi keperluan dan minat peribadi serta menyumbang kepada masyarakat. Dalam hal ini, pelajar tidak perlu terburu-buru menamatkan pengajian sebaliknya memanfaatkan ruang dan masa yang ada dengan memperkayakan pengalaman ke arah persediaan kehidupan selepas bergraduat.
Bagi pelajar yang mahukan fleksibiliti dalam pengajian, mereka boleh memanfaat sistem pengajian tinggi anjal, iaitu 50 peratus di kampus dan 50 peratus secara dalam talian. Ini juga akan menjimatkan kos operasi IPT selain merancakkan lagi pendigitalan dalam pembelajaran.
HUFAZ
Tawaran ini jelas membezakan mentaliti BN dengan pihak lain khususnya PH/MUDA (Ikatan Demokratik Malaysia). Dalam hal ini, BN mahukan pengajian di universiti menjadi kembara ilmu yang mematangkan dan ruang untuk pelajar menimba sebanyak mungkin pengalaman di luar bilik kuliah.
PH/MUDA pula menganggap universiti sekadar tempat mendapatkan kelayakan. Oleh kerana itu, mereka mendesak tempoh pengajian dipendekkan supaya pelajar keluar secepat mungkin dari universiti. Malah sebelum ini calon PN/MUDA di Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pernah mengeluarkan kenyataan bahawa subjek agama, bahasa dan kenegaraan sebagai membebankan, tidak perlu dan tidak relevan.
Pada masa sama, BN juga bertekad untuk menaikkan taraf Darul Qur’an menjadi Universiti Al-Quran dengan sasaran menambah jumlah hufaz yang berkelulusan universiti dalam bidang profesional. Tawaran ini sesuatu yang tidak pernah disentuh oleh PH, PN mahupun Gerakan Tanah Air (GTA) sebelum ini. Kaum wanita yang berminat mengasah bakat kepemimpinan, mereka boleh berbuat demikian apabila Akademi Kepimpinan Wanita diwujudkan kelak.
Secara perbandingan, PH masih mengitar semula janji untuk melakukan reformasi pendidikan yang berterusan, autonomi kepada pentadbiran universiti dan IPT dan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Perkara ini pernah ditawarkan semasa PRU14 lalu.
Pemansuhan AUKU misalnya perlu disantuni dengan sebaik-baiknya. Jangan sampai seperti ungkapan, marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Menurut Penasihat Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT), Profesor Emeritus Datuk Dr. Morshidi Sirat, sebenarnya yang ingin dihapuskan adalah kuasa menteri untuk melantik naib canselor dan pegawai tertinggi universiti tetapi yang kerap dituntut dan dilaporkan adalah pemansuhan AUKU.
Jelasnya, pemansuhan AUKU secara mendadak mungkin boleh menyebabkan sistem pendidikan tinggi mengalami proses ubah suaian yang tergesa-gesa dan memudaratkan perjalanan dan perkembangan universiti awam yang sudah memperlihatkan kecemerlangan di peringkat nasional dan global.
PN pula ada mencadangkan penubuhan universiti awam di Sabah dan Sarawak. Hal ini bertujuan meningkatkan akses pelajar ke IPT. Bagaimanapun, cadangan ini kurang sesuai kerana Malaysia telah pun mempunyai 20 universiti awam selain memiliki 434 institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) di seluruh negara.
Dalam hal ini, BN lebih realistik apabila mahu menawarkan tempat pengajian di IPTS yang dibiayai oleh kerajaan melalui sistem baucar sebagai langkah menguruskan ketidakcukupan tempat di universiti awam. Langkah ini boleh membantu akses pelajar menyambung pengajian di peringkat tertiari tanpa menubuhkan universiti awam yang sudah tentu menelan perbelanjaan besar.
Kami berpandangan, sepatutnya institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) diperkasakan atau ditambah kerana ia mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi menampung keperluan negara. Hal ini patut diambil perhatian oleh semua parti kerana TVET masih kurang diberikan penekanan dalam manifesto.
Secara tuntasnya, tawaran pendidikan tinggi perlulah komprehensif, realistik dan tidak bersifat retorik. Semua gabungan parti cuba memberi tawaran terbaik dalam pendidikan tinggi.
Namun dalam hal ini, BN lebih jauh ke hadapan berbanding PH dan PN untuk menyediakan tawaran pendidikan tinggi terbaik ke arah pengupayaan bakat dan potensi rakyat. Pengundi seharusnya menilai dengan bijak dan membuat pilihan tepat dalam PRU15 nanti. – UTUSAN
Oleh DR. MOHD. IZANI MOHD. ZAIN ialah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Ahli Jawatankuasa PenDaPaT. MOHD. DAUD MAT DIN ialah Felow Kanan Bait Al-Amanah.










