‘Undi awal dibayar RM300 keterlaluan’ - Musa - Utusan Malaysia

‘Undi awal dibayar RM300 keterlaluan’ – Musa

MUSA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Setiap calon parti politik yang bertanding dalam pilihan raya umum sebelum ini dibenarkan berada di sekitar kawasan pusat pengundian untuk melihat proses undi awal berlangsung sekali gus menepis dakwaan terdapat undian anggota pasukan keselamatan itu dipengaruhi parti politik dengan bayaran tertentu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, dakwaan terdapat anggota pasukan keselamatan dibayar tidak wajar kerana ia boleh mengganggu ketenteraman awam sehingga menjatuhkan integriti dan maruah pengundi awal itu sendiri.

Menurut beliau, PDRM patut menyiasat dakwaan seperti itu bagi memastikan perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak tercemar dengan pelbagai persepsi.

“Daripada pengalaman, ada calon-calon pelbagai parti yang bertanding sebelum ini akan berada di pusat pengundian kawasan masing-masing untuk turun melihat proses pengundian.

Namun, menurut beliau, tidak bermakna kehadiran calon-calon itu boleh mempengaruhi pengundian awal yang dibuat oleh anggota pasukan keselamatan.

“Pengundian awal dibuat bagi memberi laluan kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terpaksa bertugas untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia.

DIBAYAR

“Jadi, sepanjang saya berkhidmat bersama PDRM, tidak ada pula saya dibayar oleh mana-mana individu untuk undi awal atau pos,” katanya ketika dihubungi semalam.

Oleh itu, kata Musa, dakwaan individu tertentu bahawa anggota tentera dibayar untuk membuat undi awal adalah sebagai keterlaluan.

Kata beliau, bagi anggota keselamatan yang tidak dapat mengundi pada hari pengundian awal seperti tarikh ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melakukan undian secara pos.

Malah, kata beliau, ketika proses undian dilakukan, kertas undi akan dimasukkan ke dalam sampul surat khas yang kemudian digam sebelum dikumpulkan dalam beg khas dan diserahkan kepada SPR.

Terdahulu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ceramah di Kuala Nerus, Terengganu mendakwa ada anggota tentera dalam Parlimen Bera di Pahang melaksanakan undi awal dan mereka dibayar RM300 setiap seorang tetapi perlu mengundi Barisan Nasional (BN).

Anwar yang juga calon Parlimen Tambun berkata, dia mempunyai bukti berkaitan dakwaan itu dan meminta siasatan segera dijalankan SPR.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×