PERSOALAN sama ada kemunculan 108 calon Bebas bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) boleh mencipta kejutan atau tewas hanya akan terjawab pada 19 November ini.
Meskipun ada pihak khususnya daripada parti politik memandang rendah kehadiran calon Bebas, jika melihat kembali sejarah pilihan raya umum sebelum ini, terdapat dalam kalangan mereka yang pernah meraih kemenangan.
Misalnya tokoh veteran politik, Tan Sri Shahrir Abdul Samad pernah menang dengan majoriti besar 12,613 undi atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Johor Bahru pada 1988 setelah beliau keluar parti ekoran krisis politik melanda UMNO pada waktu tersebut.
Terbaharu, tiga calon Bebas yang berjaya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) iaitu P. Prabakaran (Batu), Larry Sng (Julau) dan Jugah Muyang (Lubuk Antu).
Jika melihat semula senarai nama calon Bebas PRU15, mereka bukanlah calang-calang orang kerana mempunyai nama sama ada sebagai bekas pemimpin politik, pempengaruh media sosial, aktivis masyarakat dan bekas ahli akademik.
Tanpa bantuan kewangan dan sokongan jentera parti, calon Bebas boleh dianggap ‘giant killer’ jika berjaya menumbangkan wakil diketengahkan oleh parti politik termasuk dalam kalangan mereka berstatus penyandang di samping berupaya menjadi ‘king maker’ sekiranya terdapat parti memerlukan majoriti mudah membentuk Kerajaan Persekutuan.
Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abdul Muis berkata, kemunculan calon Bebas di kawasan bandar jelas menunjukkan telah berlaku perubahan corak budaya politik apabila rata-rata pengundi memilih calon berdasarkan isu diperjuangkan dan tidak lagi berdasarkan kepartian.
Katanya, situasi itu sebaliknya di kawasan luar bandar yang masih memilih wakil rakyat berdasarkan kepartian dan mahu calon dikenali penduduk.
Bagaimanapun katanya, calon parti dilihat lebih terjamin dan selamat kerana mempunyai jentera serta mudah menyuarakan isu-isu rakyat dengan lebih berkesan berbanding Bebas yang bergerak solo di samping mempunyai ruang terhad.
MOHAMED TAWFIK ISMAIL
Bekas Ahli Parlimen Sungai Benut itu sekali lagi berentap di Parlimen Bagan Datuk kerana tidak mahu memberi laluan mudah kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku penyandang kerusi.
Walau bagaimanapun, adakah langkah berani Mohamed Tawfik itu mampu mencipta sejarah untuk menewaskan Ahmad Zahid di kawasan kubu kuat UMNO? Jika melihat calon Bebas yang menggunakan simbol kunci tersebut, beliau mungkin menumpang aura bapanya iaitu bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman untuk menang.
Selain populariti Allahyarham Dr. Ismail, mungkin Mohamed Tawfik boleh menagih sokongan dalam kalangan pengundi pembangkang atau dalam kalangan mereka yang menolak Ahmad Zahid.
Selain dua faktor itu, mungkin untung nasib lain boleh menyebelahinya kerana Mohamed Tawfik tidak mempunyai sebarang kekuatan untuk mencipta kemenangan berbanding dua calon parti lawan lain.
Hal ini kerana beliau terpaksa merebut sokongan bersama dua lagi calon iaitu Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin daripada Pakatan Harapan (PH) dan Dr. Muhammad Faiz Na’aman daripada Perikatan Nasional (PN).
SITI ZABEDAH KASSIM
Penglibatan peguam ini dalam PRU15 tidak banyak diperbincangkan dalam kalangan pemerhati politik meskipun beliau sering mencetuskan kontroversi mengeluarkan pandangan membabitkan isu-isu semasa.
Bertanding di Parlimen Batu yang menyaksikan pertembungan 10 penjuru, Siti Zabedah Kassim atau lebih dikenali Siti Kassim sebenarnya berdepan persaingan sengit termasuk empat calon Bebas.
Sekiranya beliau berjaya memperjuang isu-isu setempat di Batu, mungkin itulah boleh memikat hati 113,863 undi untuk memangkah namanya dalam kertas undi kelak.
Daripada itu, beliau terpaksa berlawan dengan enam calon lain yang diletakkan oleh parti politik dan sudah tentu memiliki jentera dan ahli akar umbi termasuk calon PH, P. Prabakaran. Namun segalanya terserah kebijaksanaan pengundi khususnya atas pagar kelak.
TIAN CHUA
Begitu dengan bekas Naib Presiden PKR ini, Tian Chua turut bertanding atas tiket Bebas di Batu setelah PKR tidak meletakkan namanya sebagai calon kerana mahu mengekalkan Prabakaran selaku penyandang.
Umum mengetahui Tian Chua merupakan Ahli Parlimen Batu selama dua penggal sebelum tidak dicalonkan pada PRU14 atas alasan kes mahkamah dihadapinya sebelum ini.
Membawa rekod Ahli Parlimen Batu dan memiliki aura pejuang reformasi PKR, Tian Chua mempunyai nama dan dikenali setiap pengundi sekali gus kehadirannya itu tidak hanya menggugat calon-calon lain tetapi juga penyandang.
DATUK ZAHIDI ZAINUL ABIDIN
Penyandang kerusi Parlimen Padang Besar ini yang bertanding atas tiket Bebas bukan mahu menang tetapi sebagai tanda protes terhadap pemilihan calon BN.
Hal ini kerana menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu, jika pucuk pimpinan meletakkan calon tempatan menggantikannya, beliau akan bersama parti untuk bekerja keras membantu kemenangan, sebaliknya BN mengetengahkan nama Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.
Jika diimbas kembali keputusan PRU14, Zahidi hanya menang dengan kelebihan 1,438 undi dalam pertembungan lima penjuru sekali gus membayangkan keputusan 50-50 pada PRU15 akan datang sama ada beliau memiliki kelebihan atau empat calon lain.
Selain Zahidi dan Zahida, antara calon lain ialah Muhammad Saad@Yahya (PH); Rusydan Rusmi, Perikatan Nasional (PN) dan Ko Chu Liang daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).
Jika Zahidi berjaya menarik sokongan 10 peratus pengundi UMNO sekali pun, beliau belum tentu menang dalam kalangan calon-calon yang mungkin memiliki pengaruh dan sokongan akar umbi meskipun pernah bergelar Ahli Parlimen, Ketua Bahagian UMNO Padang Besar dan Timbalan Menteri.
KUAN CHEE HENG
SEBAGAI aktivis masyarakat, mungkin kelebihan ini terdapat kepada Uncle Kentang atau nama sebenarnya, Kuan Chee Heng yang menawarkan diri sebagai calon Bebas Parlimen Puchong.
Umum mengetahui beliau pernah menerima anugerah ‘Point of Light’ daripada Ratu Elizabeth II atas kerja-kerja amal kepada masyarakat yang dilakukannya sebelum ini dan Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang di-Pertuan Agong.
Katanya kepada Utusan Malaysia sebelum ini, tujuan utama beliau menjadi calon PRU15 adalah menolak politik tradisional yang masih bersifat kepartian dan hanya menguntungkan sesetengah pihak dan bukannya kepada seluruh rakyat.
Bagaimanapun pengaruhnya sebagai aktivis sosial belum cukup mampu mencipta rekod kemenangan kerana beliau terpaksa berdepan tiga pemimpin lain iaitu penyandang kerusi Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin (PH); Presiden Parti Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader (BN) dan Chew Jyh Gang (PN).
Parlimen Puchong merupakan kubu kuat DAP yang ditandingi Gobind Singh Deo sejak tiga penggal yang lalu pada 2008.
Pada PRU14, Gobind menang dengan majoriti 47,635 undi menewaskan Ang Chin Tat (BN-MCA) yang mendapat 12,794 undi dan Mohamad Rosharizan (Pas) dengan 10,255 undi.
Bagaimanapun pada PRU15, DAP melakukan perubahan dengan meletakkan Bee Yin mewakili PH di Parlimen Puchong menggantikan Gobind yang bertukar ke Parlimen Damansara.
ABDUL RANI KULUP ABDULLAH
Abdul Rani Kulup atau dikenali ‘Ayahanda Kipidap’ yang mempertaruh diri sebagai calon Parlimen Port Dickson.
Beliau bukan sahaja sering muncul di laporan berita kerana membuat laporan polis, tetapi juga dikenali sebagai selebriti media dan penyanyi irama malar segar.
Bagaimanapun Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia itu muncul sebagai calon PRU15 kerana mahu memperjuangkan nasib penduduk di kawasan ditandinginya itu.
Seandainya beliau menang, Abdul Rani layak digelar ‘giant killer’ jika berjaya menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Aminuddin Harun; calon Barisan Nasional (BN), Datuk P.Kalamanathan dan calon Perikatan Nasional (PN), Rafiei Mustapha serta pengarah dan pelakon, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri (Pejuang). – UTUSAN










