Iran ancam perang penuh kejutan ke atas Amerika di Asia Barat - Utusan Malaysia

Iran ancam perang penuh kejutan ke atas Amerika di Asia Barat

TANGKAPAN skrin menunjukkan sebuah peluru berpandu dilancarkan dari lokasi yang tidak didedahkan di Iran ke arah sasaran Amerika Syarikat (AS) di Jordan, Kuwait dan Bahrain. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN:  Bayangan perang le­bih besar mula menghantui Asia Barat apabila Iran memberi ama­ran tindak balasnya terhadap serangan Amerika Syarikat (AS) berpotensi mencetuskan konflik serantau yang lebih buruk.

Amaran keras itu dikeluarkan ketika pegawai kanan perisikan Iran memberi isyarat Teheran bersedia memperluaskan tindak balasnya, termasuk melancarkan strategi perang yang menurutnya ‘penuh dengan kejutan’.

“Jika musuh, dalam usaha perang pemusnahannya, cuba menyerang infrastruktur Iran atau meneruskan pembunuhan terhadap pegawai kerajaan, seluruh rantau ini akan menanggung akibatnya.

“Pelan Iran untuk meningkatkan skala perang akan penuh dengan kejutan. Berbeza de­ngan kekacauan politik di Rumah Putih, di Teheran kami mempunyai kesepakatan maksimum untuk melaksanakan pelan ini,” katanya kepada RT kelmarin.

Amaran itu dibuat selepas AS melancarkan siri serangan baharu pada tengah malam yang menyasarkan infrastruktur awam termasuk beberapa jambatan di Iran.

Markas Pusat Amerika (CENTCOM) mengesahkan serangan malam keenam berturut-turut menerusi kenyataan ringkas kelmarin. Namun, ia tidak mendedahkan lokasi atau sasaran operasi berkenaan.

Pihak berkuasa Iran mendakwa, serangan udara AS me­nyasarkan lima jambatan di wilayah selatan Hormozgan, sekali gus menambah kepada laporan terdahulu mengenai kerosakan terhadap kemudahan sistem pengangkutan.

Menurut kerajaan wilayah itu, serangan tersebut menyebabkan kerosakan terhadap jambatan Gariveh yang menghubungkan Bandar Abbas dengan Bandar Khamir dan Lar, Ia turut memusnahkan sebuah jambatan berhampiran kampung Latidan, dua jambatan di laluan Kahoorestan-Lar, Keshar dan Bandar Abbas selain sebuah lagi jambatan di kampung Maru dalam daerah Khamir.

Peluru berpandu AS turut menyasarkan Lapangan Terbang Iranshahr di tenggara Iran, manakala sekurang-kurangnya seorang orang awam terbunuh dan tujuh lagi cedera dalam serangan di kawasan kediaman di Bandar Abbas.

Media Iran pula melaporkan, sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan 16 lagi ce­dera dalam siri serangan itu.

Kementerian Kesihatan Iran semalam mengesahkan jumlah keseluruhan korban meningkat kepada 38 orang dan lebih 400 lagi cedera akibat serangan AS di negara itu.

Dalam pada itu, Pengawal Revolusi Iran (IRGC) pada Jumaat memaklumkan bahawa mereka telah menyerang beberapa pesawat tentera AS yang ditempatkan di Jordan menggunakan peluru berpandu balistik dan dron.

Ia adalah sebagai tindak balas terhadap serangan AS pada waktu malam sebelumnya.

Dalam satu kenyataan, IRGC mendakwa telah memusnahkan beberapa pesawat pengisian bahan api udara dan jet pejuang AS. Serangan itu telah menyebabkan kerosakan serius kepada banyak lagi pesawat. 

Tentera Jordan turut memaklumkan semalam bahawa pihaknya telah menembak jatuh tiga peluru berpandu Iran, tanpa mengakibatkan sebarang kematian atau kerosakan.

Infrastruktur ketenteraan AS di Kuwait turut menjadi sasaran serangan Iran selain IRGC telah memusnahkan radar pemantauan maritim di Salamah Rocks, Oman dan radar pemantauan udara AS yang ditempatkan di kawasan Ghanam.

Serangan mengejut IRGC turut dilancarkan ke atas Pusat Pemerintahan Operasi Khas musuh di kawasan Al-Tanf, Syria. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN