BUDAYA politik dan demokrasi di negara ini sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) mengalami anjakan paradigma besar dan unik. Barisan Nasional (BN), dahulunya Parti Perikatan yang menguasai Dewan Rakyat sejak mencapai kemerdekaan ditumbangkan.
Bekas Perdana Menteri diseret ke mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram telah pun didapati bersalah oleh mahkamah dan kini menjalani hukuman penjara dan denda jutaan ringgit. Kali pertama berlaku dalam sejarah negara. Presiden UMNO juga diseret ke mahkamah dengan puluhan tuduhan dan masih lagi menjalani proses pembicaraan.
Bekas Perdana Menteri keempat dilantik menjadi Perdana Menteri ketujuh walaupun berusia lanjut dan partinya masih baharu yang tidak mempunyai ramai penyokong tetapi berjaya membentuk kerjasama dengan bekas musuh politiknya. Tetapi kerajaan pimpinannya tumbang ekoran pergolakan kepimpinan dan ‘Langkah Sheraton’ pada Mac 2020.
Jawatan Perdana Menteri kelapan diambil alih oleh rakan politiknya yang kemudian menjadi lawannya. Apabila Perdana Menteri kelapan meletakkan jawatan kerana kehilangan sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik walaupun beliau bukan pemimpin utama UMNO.
Paradigma baharu di sini ialah jawatan Perdana Menteri boleh disandang oleh anggota Parlimen yang tidak mengetuai partinya. Ismail Sabri adalah Naib Presiden UMNO yang dilantik menjadi Perdana Menteri secara tidak dijangka terlebih dahulu tetapi dipersetujui secara berkompromi dan mendapat sokongan majoriti tipis (sokongan 114 daripada 222) dalam kalangan anggota Dewan Rakyat.
Ismail Sabri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menjadi Perdana Menteri kesembilan.
Sebelum itu, Ismail Sabri dilantik memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Walaupun mempunyai perwatakan tidak menonjol, tidak bersuara lantang, malah mungkin dianggap tidak berkarisma, beliau ternyata mempunyai kecekapan politik luar biasa hebatnya.
Ismail Sabri mempunyai pengalaman politik cukup luas. Selepas bekhidmat sebagai setiausaha politik mulai 1995, beliau bertanding dan memenangi kerusi Ahli Parlimen Bera sejak 2004 hingga kini. Sejak menjadi anggota Dewan Rakyat, Ismail Sabri dilantik menjadi menteri di lima kementerian.
Apabila BN ditumbangkan dalam PRU14, Ismail Sabri dilantik menjadi Ketua Pembangkang dalam Dewan Rakyat walaupun hanya berjawatan Naib Presiden UMNO. Itulah jawatan Ketua Pembangkang yang julung kalinya disandang oleh seorang pemimpin UMNO dalam sejarah Parlimen. Dan beliau memainkan peranan dengan cukup baik dan terlihat sebagai seorang tokoh politik yang matang.
KERAJAAN BERKALIBER
Perkara pertama dilakukan oleh Ismail Sabri semasa menjadi Perdana Menteri ialah memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan pimpinannya dengan Pakatan Harapan (PH) pada 3 Oktober 2021. Ini memulakan satu anjakan paradigma atau kelahiran budaya politik baharu dalam sistem politik negara. Kerana perwatakannya yang lembut dan bersedia bertolak-ansur, Ismail Sabri berjaya meyakinkan pembangkang supaya menjunjung kasih dan patuh kepada nasihat Yang di-Pertuan Agong hasil Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu supaya kerjasama politik dijalin demi mencapai kestabilan politik, kepentingan rakyat dan pembangunan negara.
Dalam PRU14 (Mei 2018), bilangan pengundi berdaftar di seluruh negara adalah 14.9 juta orang. Dalam PRU15 kali ini, bilangannya kira-kira 21.17 juta, iaitu pertambahan sebanyak 6.27 juta. Pertambahan mendadak ini kerana terdapat 1.4 juta pengundi muda dan 4.87 juta pengundi baharu didaftarkan secara automatik yang akan mengundi buat kali pertama.
Pengalaman pasca PRU14 menjadi pengajaran kepada rakyat bahawa sebuah kerajaan yang tidak stabil lebih cenderung menjadi ‘kerajaan gagal.’ Pandemik Covid-19 dan pergolakan kuasa-kuasa besar dunia menyebabkan situasi ekonomi menjadi tidak menentu. ‘Kerajaan gagal’ amat perlu digantikan oleh ‘kerajaan berkaliber’ atau berketerampilan mentadbir negara.
Pengalaman pasca PRU14 juga menjadi pengajaran bahawa manifesto yang dijadikan umpan dengan menjanjikan bulan dan bintang kepada pengundi, tidak lagi boleh dipercayai.
Ungkapan ‘kencing’ dan ‘hancing’ menular dalam media sosial, merujuk kepada janji-janji besar parti-parti tertentu tetapi tidak mungkin berupaya dilaksanakan.
KACA, PERMATA
Oleh itu, pengundi kini sudah pasti arif dan rasional untuk menilai mana kaca, mana permata dalam kalangan parti-parti politik yang meraih undi mereka. Ungkapan lessons learned (pengajaran) dan never again (jangan lagi) mungkin kini menjadi manifesto peribadi kepada pengundi. Pengundi sudah melalui suatu proses pendidikan politik yang menjadikan mereka lebih rasional dan matang.
Pada PRU15 ini, terdapat enam gabungan parti utama akan bersaing iaitu BN, PH, Perikatan Nasional (PN), Gerakan Tanah Air (GTA), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Terdapat beberapa parti kecil lain turut bertanding. Oleh kerana terdapat banyak parti terlibat, maka akan berlaku persaingan antara tiga atau empat penjuru di setiap kawasan Parlimen. Ini bermakna sebahagian besar pengundi menghadapi kesukaran untuk membuat keputusan memilih calon atau parti.
BN mungkin mempunyai kira-kira 30 peratus penyokong tegar, PH (20%) dan PN (10%) daripada keseluruhan pengundi di Semenanjung menjadikan 60 peratus. Selebihnya kira-kira 40 peratus adalah pengundi atas pagar yang akan membuat keputusan sukar diramalkan. Sokongan pengundi atas pagar inilah yang menjadi rebutan parti-parti bersaing. Sebahagian besar mungkin pengundi baharu dan pengundi muda. Parti mana akan menjadi pilihan mereka bergantung kepada arah angin politik. Besar kemungkinan sedang bertiup ke arah memberikan sokongan kepada BN, GRS dan GPS.
Jika ramalan ini betul, maka Kerajaan Persekutuan pasca PRU15 akan diterajui oleh BN, GRS (Sabah) dan GPS (Sarawak). Kerajaan baharu ini akan lebih stabil kerana perbuatan lompat parti tidak akan terjadi lagi ekoran penguatkuasaan Akta Anti Lompat Parti yang diusahakan kerajaan pimpinan Ismail Sabri.
Pada 19 November ini, proses pengundian akan berlangsung. Tentulah para pengundi akan membuat keputusan rasional untuk masa depan keluarga dan kemakmuran negara yang kita cintai bersama. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Kamaruddin M. Said ialah Timbalan Presiden Majlis Profesor Negara.










