CALON Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), MUTALIB UTHMAN satu-satunya calon luar atau ‘calon import’ bertanding di kerusi Parlimen Masjid Tanah.
Sebagai sebuah parti baharu, perjalanan kempen sedikit sukar sekiranya tiada bantuan daripada komponen PH yang lain. Namun, jentera Muda yang beroperasi di Parlimen tersebut banyak melakukan analisis berkenaan peluang mereka di kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI, Mutalib berkongsi aspirasi dan pemikirannya berhubung potensi Muda untuk mencipta kejutan di Masjid Tanah.
UTUSAN: Selepas hampir seminggu berkempen, bagaimana penerimaan akar umbi dan pemimpin tempatan PH terhadap Muda di Masjid Tanah?
MUTALIB: Saya terkejut apabila pemimpin dan akar umbi komponen PH menerima Muda dengan tangan terbuka. Politik itu dinamik. Kita masuk dan cuba perbetul salah faham dahulu. Muda adalah parti baharu dan masuk ke kawasan luar bandar bukan kerja mudah, namun kita mendapat satu kesefahaman dan kerjasama daripada PH untuk menggerakkan jentera dengan cekap di Masjid Tanah.
Belum banyak bendera Muda kelihatan di sekitar Masjid Tanah. Adakah Muda memilih lokasi untuk berkempen?
Kita masih cuba meletak lebih banyak bendera. Kita mempunyai hari yang singkat jadi setiap gerak kerja perlu berfokus. Bukan bermakna kawasan-kawasan selain yang diberikan keutamaan kita tidak sentuh langsung. Kita menumpukan kepada kawasan-kawasan kategori kelabu dan putih supaya dalam tempoh 12 hari ini, kita dapat strategi yang benar-benar berkesan dan berjumpa dengan orang yang tepat.
Apakah cabaran Muda untuk menarik sokongan pengundi kali pertama dan pengundi PH?
Kemungkinan pengundi kali pertama tiada di Masjid Tanah kerana ada yang bekerja di luar Melaka. Pengundi 18 tahun dan yang didaftarkan secara automatik ada lebih kurang 17,657 orang. Apa yang kita lakukan adalah berkempen menerusi media sosial.
Kita cuba sampaikan kepada mereka apa yang Muda mahu lakukan dengan menggunakan video. Selain itu, fokus kita juga adalah pengundi-pengundi PH.
Kelompok mana menjadi penentu kemenangan Muda di Masjid Tanah?
Hanya 34,162 daripada 69,098 pengundi yang mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lalu. Maknanya hampir separuh penduduk Masjid Tanah tidak keluar mengundi. Jadi kita mahu ‘kejar’ pengundi-pengundi ini. Di Masjid Tanah ada 30 peratus pengundi kali pertama di bawah umur 35 tahun, berbanding umur 60 tahun ke atas hanya 18 peratus. Jumlah ini sangat besar dan kelompok ini menjadi antara penentu kemenangan Muda pada 19 November ini.
Apakah peluang Muda di Masjid Tanah?
Peluang Muda adalah untuk mereka yang mahu alternatif lain kerana tidak suka kepada BN serta Perikatan Nasional (PN). Walaupun saya tidak mempunyai rekod berkhidmat di Masjid Tanah, para pengundi boleh melihat cara Muda bekerja, terutama Presiden parti, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang meletakkan penanda aras cukup tinggi kepada setiap ahli. – UTUSAN










