PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mahu rakyat Malaysia memberi peluang kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diangkat sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Wan Azizah yang juga Pengerusi Penasihat PKR berkata, Anwar adalah seorang yang memahami derita rakyat sudah melalui pelbagai penderitaaan.
“Ramai orang kata beliau (Anwar) gelojoh mahu jadi Perdana Menteri dan layak menjadi ‘bakal’ sahaja. Anda kena ingat, beliau sudah berada di dalam penjara selama 10 tahun dan beliau tahu derita rakyat.
“Insya-Allah, kita doakan yang terbaik,” katanya ketika berucap pada majlis minum petang anjuran Persatuan Wanita Anggerik Malaysia di Kelab Tasik Putrajaya, di sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya, jika PH diberi sokongan majoriti wakil rakyat selepas PRU15 kelak, Anwar akan dilantik sebagai Perdana Menteri.
Pada PRU15, Wan Azizah bertanding sebagai calon PH di Parlimen Bandar Tun Razak, manakala Anwar pula sebagai calon di Parlimen Tambun.
Dalam pada itu, Wan Azizah turut mengesahkan sudah membuat pengisytiharan harta hari ini, manakala Anwar melakukan perkara sama semalam.
Melalui semakan di calonekadilan.org, pengisytiharan harta Anwar dan Wan Azizah berada dalam status “akan dikemas kini” di laman web parti itu.
Timbalan Pengarah Pilihan Raya PKR Rodziah Ismail semalam memaklumkan, 13 calon PH sudah mengisytiharkan harta mereka. – UTUSAN










