PETALING JAYA: Tawaran pekerjaan di luar negara dengan bayaran gaji yang lumayan masih berleluasa di laman sosial dan laman mencari kerja walaupun kegiatan yang didalangi sindiket antarabangsa pemerdagangan manusia itu berjaya dibongkar pihak berkuasa sebelum ini.
Wartawan Utusan Malaysia yang menyamar sebagai pencari kerja dan mengakses kumpulan mencari kerja di Kemboja melalui sebuah laman sosial telah ditanya pelbagai soalan oleh pentadbir kumpulan berkenaan termasuk sama ada fasih berbahasa Melayu.
Namun, selepas mengesyaki akaun laman sosial yang digunakan untuk berhubung dengan mereka adalah akaun palsu, pentadbir kumpulan terbabit langsung tidak membalas mesej-mesej yang dihantar, malah terus memadam akaun kumpulan berkenaan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, rantau Asia Tenggara merupakan pangkalan besar bagi aktiviti sindiket pemerdagangan manusia.
Katanya, kebanyakan mangsa yang berkongsi pengalaman mengakui terperangkap dalam agenda sindiket tersebut setelah terpedaya dengan iklan pekerjaan dan ajakan kenalan.
“Tawaran gaji yang lumayan dan gambaran yang baik bagi pekerjaan tersebut menarik lagi minat mereka untuk menerima tawaran tersebut. Antara pekerjaan ditawarkan termasuklah sebagai penterjemah, pekerja restoran dan ada yang dijanjikan bekerja di kasino,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Setakat ini, dianggarkan seramai 118 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja berjaya diselamatkan daripada 148 kes yang dilaporkan.
Menurut Hishamuddin, ada juga sindiket yang mengugut menjual organ mangsa jika tidak bekerjasama, malah terdapat wanita yang mengalami gangguan seksual dan dijadikan pelacur.
Beliau berkata, mangsa-mangsa yang berjaya diselamatkan selepas kehilangan mereka dilaporkan ahli keluarga atau daripada mangsa sendiri.
Namun begitu, katanya, terdapat juga mangsa yang tidak dapat dikesan dan masih berada di lokasi sindiket tersebut.
“Sindiket pernipuan ini akan terus berterusan walaupun terdapat banyak media yang telah membuat banyak liputan mengenai mangsa yang telah diselamatkan,” tegasnya.
Dalam pada itu, salah seorang mangsa yang dihubungi Utusan Malaysia yang ingin dikenali sebagai Tan menceritakan, dia berminat memohon pekerjaan melalui iklan yang didapati di laman sesawang mencari pekerjaan, kerana tidak meletakkan terlalu banyak syarat .
Katanya, iklan melalui laman mencari kerja itu menawarkan pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan di Kemboja tanpa menyedari akan melalui pengalaman hitam semasa berada di negara berkenaan.
“Syarikat yang menawarkan pekerjaan tersebut berpangkalan di Pulau Pinang. Sejurus temuduga yang dijalankan secara dalam talian, saya telah diterima bekerja di Kemboja dan tidak mengesyaki apa-apa pun.
“Setibanya di Kemboja, pada awalnya saya diberi tunjuk ajar serta kursus bagi pekerjaan yang dilakukan. Kos datang ke Kemboja semua ditanggung majikan. Namun, setelah sampai di tempat kerja, kebanyakan rakan sekerja lain berkongsi pengalaman mengatakan lokasi kerja tidaklah seindah dengan apa yang digambarkan atau dikongsi kenalan.
“Bagi menghalang mereka melarikan diri, mangsa diugut dengan kekerasan dan mereka bekerja semata-mata memberi manfaat kepada ketua sindiket,” ujarnya.
Menurut Tan, walaupun dia berjaya diselamatkan, namun sehingga kini masih terasa terancam kerana anggota sindiket terbabit masih bebas. – UTUSAN










