PERTAMA kali diberi kepercayaan bertanding atas tiket ‘parti mesra Barisan Nasional (BN)’, Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) tidak sesekali mensia-siakan kepercayaan dan peluang diberikan itu.
Malah sebaik sahaja selesai proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu lalu, Presidennya yang juga calon bagi kerusi Parlimen Nibong Tebal, DATUK SERI R.S THANENTHIRAN terus memperhebat kempen turun padang bertemu seramai mungkin pengundi kawasan itu.
Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, SAFINA RAMLI, Thanenthiran atau mesra disapa ‘Chegu Thanen’ dalam kalangan masyarakat setempat, berkongsi misinya untuk menawan kerusi Parlimen Nibong Tebal yang sebelum ini kubu kuat PKR.
UTUSAN: Kerusi Parlimen Nibong Tebal secara tradisinya kerusi ditandingi calon UMNO, bagaimana penerimaan jentera UMNO selepas kerusi itu diberikan kepada Makkal Sakti.
THANENTHIRAN: Pada mulanya apabila saya mendapat watikah daripada BN memang ada penolakan. namun saya beruntung kerana jentera UMNO kemudian menerima dengan baik selepas mendengar penerangan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Ketika ini, semua jentera UMNO turun membantu kempen saya bersama jentera Makkal Sakti, tidak ada lagi isu penolakan calon atau isu sabotaj dan yang penting kami kini bersatu untuk merampas semula kerusi Parlimen Nibong Tebal.
Kawasan Parlimen Nibong Tebal boleh dikatakan kubu kuat PKR, bagaimana penerimaan masyarakat setempat terhadap BN ketika ini?
Selepas turun padang berjumpa pengundi, saya dapati penerimaan masyarakat tempatan sangat baik. Tidak ada yang bercakap kasar atau menolak kehadiran saya terutama di kawasan yang kita kenal pasti sebagai kubu kuat PKR dan Pakatan Harapan (PH). Mereka mengadu betapa sukarnya berjumpa dengan wakil rakyat di sini. Mereka beritahu apa yang dimahukan daripada seorang wakil rakyat yang mana saya akan cuba penuhinya sekiranya dipilih sebagai Ahli Parlimen.
Apa perubahan utama yang mahu dibawa jika terpilih sebagai wakil rakyat di sini?
Di sini terdapat kira-kira 60 peratus golongan muda yang berada dalam golongan B40. Saya sendiri pernah hidup susah kerana anak penoreh getah. Saya faham bagaimana sukarnya untuk mendapatkan sesuap nasi, malah saya terpaksa berhenti belajar di Universiti Sains Malaysia (USM) kerana kemiskinan. Jadi saya mahu membantu penduduk dengan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dengan menjadikan Nibong Tebal sebagai hab kejuruteraan selain membawa masuk pelabur menerusi pembinaan kilang-kilang.
Pengundi-pengundi pada masa ini sukar mempercayai janji-janji manis calon, jadi bagaimana mahu menyakinkan pengundi kali ini?
Saya tidak akan lari daripada pengundi, macam mana saya mahu lari sedangkan saya tinggal di sini, rumah saya pun hanya 20 minit sahaja daripada pekan Nibong Tebal.
Beri saya peluang selama lima tahun untuk berkhidmat, jika saya dinilai gagal oleh pengundi dan tidak mampu melaksanakan tugas yang diberikan selepas diberikan peluang, saya sendiri yang akan mengundurkan diri.
Pengundi muda antara faktor penting yang menentukan kemenangan calon, jadi pada usia 59 tahun apa pendekatan dalam menarik pengundi muda?
Selalunya ketika saya berjumpa pengundi muda mereka tidak tahu apa hak mereka sebagai pengundi. Jadi sepanjang kempen, saya menjalankan program-program turun padang seperti bermain futsal, menaiki motosikal bersama mereka dan lain-lain. Saya masih kuat untuk bersukan bersama orang muda kerana masih sihat dan menjaga kesihatan dengan menjadi seorang ‘vegetarian’. Sepanjang bersama orang muda saya dan pasukan akan memberikan pengetahuan kepada mereka mengenai kepentingan mengundi. – UTUSAN











