KUALA LUMPUR: MIC Wilayah Persekutuan membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan pernah menawarkan penyandang kerusi Parlimen Batu, P. Prabakaran sebanyak RM10 juta bagi menyertai komponen Barisan Nasional (BN) itu.
Pengerusinya, Datuk Rajah Siymon berkata, tiada pihak pernah menawarkan habuan tersebut mahupun menjemput calon daripada Pakatan Harapan (PH) itu untuk melompat parti.
Menurut beliau, laporan polis dibuat untuk menafikan ‘tawaran tidak masuk akal’ yang dimaklumkan oleh Prabakaran semasa berkempen baru-baru ini.
“Dia (Prabakaran) bagi ceramah dan katakan bahawa beliau pernah mendapat tawaran untuk melompat parti, tawaran yang diterimanya tu sebanyak RM10 juta. Lepas itu dia kata tawaran itu daripada parti MIC.
“Saya buat laporan polis ini sebab nak beritahu memang tidak ada tawar kepada dia sebanyak RM10 juta. Itu adalah fitnah dan tohmahan yang betul-betul tidak masuk akal,” katanya selepas membuat laporan polis tersebut di Balai Polis Sentul.
Melalui sebuah klip video yang tular di laman media sosial memaparkan Prabakaran mendakwa terdapat pihak menawarnya RM10 juta untuk berpindah parti iaitu ke MIC.
Rajah Symon berkata, fitnah itu dibuat kerana Prabakaran sedang bimbang dengan kedudukannya di Parlimen Batu apabila ramai pencabar untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Sekiranya Prabakaran ingin mendapat undi, beliau kena bagitahu kepada rakyat Batu tentang kebaikan yang dia buat kepada Parlimen Batu. Jangan buat fitnah untuk mendapatkan undi ‘simpati’.
“Sebab dia tahu Tian Chua dah kembali untuk bertanding, daripada BN, Datuk A. Kohilan Pillay juga bertanding di Batu. Nampak terang-terang beliau sudah bergegar,” katanya.
Dalam pada sama, RajahSymon turut menggesa Prabakaran untuk menarik balik dakwaan tersebut dan jangan berperangai seperti ‘budak-budak’ yang tiada modal untuk berkempen sehingga sanggup mendakwa seperti perkara tersebut.
“Saya minta supaya Prabakaran sekiranya nak buat ceramah ke apa, buatlah yang ‘sihat’.
“Prabakaran perlu menarik semula dakwaannya, jangan buat (berkempen) seperti ini. Macam budak kecil,” katanya.
Tambahnya, beliau boleh menarik semula laporan polis tersebut sekiranya Prabakaran menarik balik dakwaan dan membuat permohonan maaf secara terbuka.
“Sudah tentu sekiranya beliau memohon maaf, saya sanggup tarik semula laporan polis ini. Tolak ansur itu memang budaya BN, ada ruang untuk budi bicara,” jelasnya.
Sementara itu, Prabakaran berkata, beliau tidak akan menarik semula kenyataan tersebut dan akan mengemukakan bukti mengenai perkara itu.
“Saya tidak akan tunduk dengan desakan pemimpin MIC yang mahu tarik balik kenyataan saya kerana apa dikatakan adalah benar dan mempunyai bukti kukuh.
“Saya menerima pelbagai tawaran seumpama itu pada 2020 tetapi menolak kesemuanya kerana saya berpegang kepada prinsip sendiri,” jelasnya. – UTUSAN










