Nasihat arwah bapa amanat berjaya dalam perniagaan - Utusan Malaysia

Nasihat arwah bapa amanat berjaya dalam perniagaan

Ahmada Muazzam Muham­mad Tasaki Kamarsyah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIADA yang mustahil melainkan usaha. Sungguhpun tidak pernah terlintas untuk berjinak-jinak dalam perniagaan, namun siapa sangka dipertemukan seorang sahabat yang berkongsi kebaikan produk arabic gum atau gam arab sekali gus membuka jalan rezeki buat Ahmada Muazzam Muham­mad Tasaki Kamarsyah, 28.

Nyata usia muda bukan penghalang Ahmada Muazzam bergelar Pengasas dan Pengarah Urusan Vieura Group Sdn. Bhd. (Vieura) yang mengusahakan minuman kesihatan berasaskan kandungan arabic gum, roselle, stevia dan vitamin C.

“Mulanya saya tidak minat berniaga tapi semasa saya berada di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), sahabat saya, Abdul Muis Abdul Karim perkenalkan produk arabic gum yang terkenal di Sudan.

“Bermodalkan RM700 menggunakan wang ketika belajar, saya ceburi bidang perniagaan. Saya bermula dengan menjual secara dalam talian serbuk arabic gum yang diambil terus daripada orang Sudan.

“Kemudian saya dapat ilham untuk keluarkan satu produk sendiri yang mana ketika itu permintaan arabic gum sangat tinggi pada 2017 maka wujudlah produk jus Al-Wiqoyah yang bermaksud merawat.

Kini saya dan Abdul Muis bersama-sama membangunkan perniagaan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Namun hasratnya itu mendapat tentangan daripada ibu bapa yang inginkan anak lelaki mereka menjadi peguam syariah ataupun ustaz.

“Saya dibesarkan dalam didikan keluarga yang berpendidikan iaitu ibu saya seorang guru manakala arwah ayah pula ustaz di sebuah sekolah tahfiz di sini.

“Jadi, apabila saya mahu berniaga, keluarga tidak yakin sehinggakan arwah ayah saya sendiri pernah tanya saya, kau nak jadi apa sebenarnya Mada?

“Namun saya tidak putus asa dan tidak sangka dengan hanya modal RM700 sahaja pendapatan saya bertambah daripada RM1,000 kepada RM10,000. Itu yang menyakinkan saya untuk menjadi usahawan dan tidak mensia-siakan peluang ini,” katanya.

HASIL JUALAN BUKA PUSAT ANAK YATIM
Katanya, pilihan menjalankan perniagaan adalah kerana Islam galakkan umatnya untuk kaya dan memanfaatkan kekayaan atau hasil jualan itu kepada orang yang memerlukan.

“Pada zaman Rasulullah pun ramai sahabat baginda berniaga dan kaya-raya. Allah bagi rezeki yang lebih sebagai amanah dan tanggungjawab untuk kita gunakan kepada masyarakat dengan membayar zakat dan bersedekah.

“Alhamdulillah setakat ini saya sudah bangunkan sebuah penempatan di Temerloh, Pahang. Saya beli sebidang tanah dua ekar untuk menempatkan pusat kebajikan. Insya-Allah kalau tiada aral melintang pusat kebajikan ini akan dirasmikan pada tahun depan,” katanya yang telah lama bercita-cita untuk membuka pusat kebajikan dan anak yatim daripada hasil jualan perniagaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×