Tuan Ibrahim nafi lulus projek dalam tempoh kerajaan sementara

Tuan Ibrahim nafi luluskan projek dalam tempoh kerajaan sementara

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyangkal dakwaan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang menyatakan beliau dalam proses meluluskan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion.

Tuan Ibrahim menjelaskan, beliau tidak pernah meluluskan sebarang peruntukan daripada mana-mana projek selepas Parlimen dibubarkan.

“Beliau (Rafizi) dakwa kononnya saya nak luluskan projek pihak tertentu. Dia nak cerita apa? Dia nak fitnah apa? Dia kata ada pihak tertentu minta Menteri KASA (Kementerian Alam Sekitar dan Air) lulus peruntukan RM2 bilion dalam tempoh ‘caretaker government’ (kerajaan sementara).

“Beliau (Rafizi) ingat saya tidak tahu peraturan ke? Mana boleh lulus peruntukan dalam tempoh kerajaan sementara,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Umum Perikatan Nasional (PN) Parlimen Lipis di Bilik Operasi PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka di Taman Cahaya di sini malam tadi.

Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas turut menegaskan, tidak ada mana-mana pihak datang berjumpa dengannya untuk minta duluskan peruntukan RM2 bilion bagi projek terbabit.

Selanjutnya beliau mencabar pihak berkenaan jika ada bukti beliau meluluskan projek tersebut, laporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tanpa perlu membuat fitnah pada musim pilihan raya ini.

“Beliau (Rafizi) tak sebut secara direct (terus), cuma dia sebut ada pihak tertentu cuba desak Menteri KASA untuk lulus. Pihak mana? Kalau ada pihak nak suruh desak mana pernah jumpa saya (untuk desak).

“Apabila Parlimen bubar, satu pekeliling akan dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi memperingatkan semua pihak agar pertama, tidak boleh bagi apa-apa komitmen kewangan.

“Kedua, tidak boleh menjanjikan projek yang melibatkan kewangan bagi tanggungan kerajaan akan datang. Dan yang ketiga, tak boleh buat mana-mana dasar dan polisi dalam tempoh ‘caretaker government’,” ujarnya.

Tuan Ibrahim turut menjelaskan, satu lagi projek menaiktaraf kolam tebatan banjir Krubong – Durian Tunggal untuk kerja-kerja  secara tender terhad (atau selektif) adalah melalui proses tender biasa mengikut prosedur kewangan dan tidak ada isu yang timbul.

Tegas calon DUN Cheka itu, beliau tidak pernah campur tangan dalam sebarang tender bagi projek di kementerian tidak seperti waktu Pakatan Harapan (PH) memerintah negara dahulu.

“Bagi saya urusan tender ada jawatankuasa yang uruskan, saya taknak terlibat dan saya tak pernah tanya pun (tender).

“Ketua Setiausaha di kementerian ikut prosedur dan peraturan, siapa yang layak, siapa yang dapat (tender) proceed (teruskan),” katanya.  

Semalam media melaporkan Rafizi menggesa Tuan Ibrahim tampil memberi penjelasan berhubung status kelulusan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion.

Rafizi dilaporkan berkata, kementerian berkenaan didakwa dalam proses untuk menganugerahkan projek secara rundingan terus itu kepada kontraktor dilantik.

Katanya, tindakan itu sama sekali melanggar undang-undang kerana tiada sebarang keputusan, aku janji atau anugerah boleh dibuat dalam tempoh kerajaan sementara.

Terdahulu, Rafizi berkata, Tuan Ibrahim  sebelum ini menganugerahkan satu tender bernilai RM578.6 juta untuk kerja-kerja menaik taraf kolam tebatan banjir Krubong-Durian Tunggal secara tender terhad kepada syarikat kontraktor sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×