Suparadi dedah miliki saham hartanah di Papua New Guinea

Suparadi dedah miliki saham hartanah di Papua New Guinea

Mohd. Suparadi Md. Noor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md. Noor berkata, tindakan mengisytiharkan harta adalah baik dan tidak perlu disorok.

“Saya bimbang jika menang PRU15, ada yang kata kekayaan dimiliki itu hasil rasuah. Jadi, lebih baik saya berterus terang dalam perkara ini.

“Tindakan ini amat baik, buat apa kita nak sorok. Bila nak jadi pemimpin, kita perlu berani isytiharkan berapa harta yang ada.

“Untuk makluman, jumlah harta tersebut meliputi nilai hartanah yang terdapat di Papua New Guinea berkeluasan 1,000 hektar di mana saya menjadi pemegang saham sebanyak 20 peratus.

“Jika harta itu dijual sekarang, nilaiannya berjumlah RM500 juta. Saya masuk politik bukan nak kekayaan dalam politik kerana semuanya sudah cukup (harta) untuk menjalani kehidupan bersama keluarga selain membuat kebajikan ter­hadap penduduk kampung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Mohamad Suparadi memberitahu, apa yang dilakukan itu selari dengan keputusan parti.

Katanya, pada masa sama ia merupakan satu perkembangan positif dalam perkembangan politik negara bagi memastikan pemimpin bersih daripada amalan rasuah.

Katanya, beliau tidak perlu menggunakan jawatan untuk terima rasuah dan memper­ka­ya­kan dirinya.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, Mohamad Suparadi menjadi calon terkaya PKR pada PRU15 apabila memiliki aset bersih berjumlah sehingga RM106.1 juta.

Menurut laman calonkeadilan.org, nilai itu menyaksikan beliau mengatasi 40 calon yang sudah mengemaskini dokumen pengisytiharan harta mereka, setakat pukul 11 pagi kelmarin.

Aset bersih Ketua Cabang Tanah Merah yang diisytiharkan setakat 30 September itu meliputi wang tunai di bank yang berjumlah RM300,000; 40,000 unit saham di DSN Capital Sdn. Bhd. yang bernilai RM400,000 dan 20,000 unit saham di iLimo Stalite Ltd. (P&G) yang bernilai RM100 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×