Jelitawan PRU15 - Utusan Malaysia

Jelitawan PRU15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAKEJ lengkap beberapa calon jelitawan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) turut menjadi sebutan ramai tidak kira di lokasi mereka bertanding atau pun di media sosial.

Mereka bukan hadir dengan bersandarkan kepada kecantikan tetapi turut memiliki taraf pendidikan tinggi dan diyakini mampu menggugat kedudukan penyandang di kerusi yang ditandingi.

Kehadiran poster-poster calon wanita ini dalam kempen mereka di media sosial dan di kawasan masing-masing membuatkan suasana lebih meriah serta ceria.

Diharap, kehadiran calon wanita muda yang menawan ini dapat menggarap idea malar segar untuk membawa Malaysia ke arah negara yang lebih maju, berwawasan dan terbaik dari segala segi.

NUR FATHIAH SYAZWANA SHAHARUDDIN
Selain kejutan pertandingan 10 penjuru di Parlimen Batu pada hari penamaan calon, Jumaat lalu, satu lagi elemen ‘menarik’ menjadi bualan masyarakat ialah penyertaan ibu kepada dua cahaya mata ini bertanding atas tiket Bebas di kawasan tersebut.

Kecantikan yang dimilikinya pantas mencuri tumpuan ramai berbanding sembilan calon lain sehingga ada yang mengatakan ‘kelebihan’ itu akan menjadi senjata meraih sokongan terutama­nya pengundi-pengundi lelaki di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun Nur Fathiah Syazwana atau lebih dikenali sebagai Cleopatra berkata, tarikan rupa paras dan kecantikannya yang didakwa menjadikan modal berkempen hanyalah pandangan sempit segelintir pihak.

“Tidak semestinya wajah boleh menambah nilai dalam apa jua perkara. Apa yang penting adalah kebijaksanaan, akhlak dan prinsip yang dibawa. Apa menjadi perhatian adalah misi dan visi mahu dibawa dalam usaha menawan hati pengundi muda.

“Ramai yang ingin tahu dan mungkin tidak tahu bahawa saya berulang-alik ke Parlimen Batu setiap hari kerana saya mempunyai pejabat di sini. Sudah tentu saya perasan perkara dan mempunyai idea yang hebat untuk memperbaiki keadaan di Parlimen ini.

“Perancangan segera saya adalah untuk menangani isu komuniti, peniaga tempatan, me­ningkatkan kesalinghubungan bas pengantara ke kawasan terpencil, isu parkir dan kesesakan di sekitar flat,” katanya yang me­rupakan Pengarah Syarikat Raffles Force (Malaysia) Sdn. Bhd.

YOUNG SYEFURA OTHMAN
Keputusan DAP untuk mencalonkan beliau di kerusi Parlimen Bentong mendapat sorakan pengundi di kawasan berkenaan sekali gus membuktikan keha­dirannya disambut baik.

Memiliki pakej lengkap de­ngan paras rupa yang menarik dan berpendidikan, perjalanan Young Syefura atau lebih dikenali sebagai Rara juga direstui sejak PRU14 apabila dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari.

Kelibat Rara sering mencuri tumpuan lensa kamera tidak kira pengundi atau pengamal media kerana sering tampil cantik namun ringkas dan menarik.

Rara membawa misi besar untuk mempertahankan kerusi berkenaan yang sebelum ini di­sandang oleh Wong Tack dan akan berdepan tentangan sengit dalam persaingan lima penjuru.

Antara nama besar yang akan memberi saingan di Parlimen Bentong ialah bekas Presiden MCA, Tan Sri Liow Tiong Lai selain Wong Tack sendiri yang bertanding tiket Bebas selepas dipinggirkan DAP.

FATHIN AMELINA FAZLIE
Semasa berkempen, calon Pakatan Harapan di kerusi Parlimen Arau ini sentiasa menerima usikan nakal pengundi yang berseloroh beliau berkempen untuk menjadi calon menantu atau isteri di kawasan berkenaan.

Graduan Sarjana Ekonomi dari Universiti Malaya (UM) itu tidak mempunyai masalah dengan gurauan sedemikian kerana baginya itu adalah perkara biasa yang berlaku kepada mana-mana calon wanita yang bertanding dalam pilihan raya.

“Bagi saya itu biasa dan tiada masalah pun yang berlaku pada saya setakat proses kempen saya ini. Kita orang Malaysia memang suka mengusik dan bergurau.,” katanya.

Dalam saingan di Parlimen Arau, Fathin Amelina yang berumur 28 tahun akan berdepan saingan sengit dua nama besar berkelas ‘heavyweight’ namun tetap optimis mampu melakar kejutan.

Fathin Amelina akan bertembung dengan penyandang Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang bertanding menggunakan tiket Perikatan Nasional (PN) dan Datuk Rozabil Abd Rahman (BN).

JO-ANNA SUE HENLEY RAMPAS
Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan (Warisan) ini sekali lagi bakal berhadapan dengan musuh lama di kerusi Parlimen Tuaran pada PRU15.
Jo-Anna yang pernah tewas kepada Datuk Joniston Bangkuai di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu pada PRU14, sekali lagi berhadapan dlawan yang sama pada pilihan raya kali ini.

Ketika awal kemunculannya. Jo-Anna mencuri tumpuan masyarakat berikutan rupa parasnya yang menawan selain berdarah Pan Asia yang berasal dari Kiulu, sebuah pekan kecil tidak jauh dari Kota Kinabalu, Sabah.

Ibunya berketurunan Kadazan dan bapanya pula berketurunan British. Penglibatan dalam politik bermula apabila Warisan mencari ikon belia untuk mewakili Gen Y dan Gen Z di Sabah.

Calon Parlimen Tuaran ini digelar sebagai beauty with brain kerana merupakan graduan ijazah sarjana dalam bidang undang-undang dan berkelulusan Master of Laws in International Law and Corporate Social Responsibility dari University of West England.

Ikon Belia Warisan itu juga aktif dalam bidang seni dan hiburan sebelum terlibat dalam politik termasuk pernah menyer­tai pertandingan Bintang RTM 2009, selain merupakan bekas Ratu Cantik Unduk Ngadau pada tahun 2007.

DR. NURUL ASHIKIN MABAHWI
Parlimen Ampang antara yang disebut sebagai kerusi ‘panas’ di Se­langor menyaksikan lima wanita menjadi antara sembilan calon bakal be­rentap pada PRU15.

Antara menjadi tumpuan ialah Ketua Pejuanita Muda Malaysia yang berumur 33 tahun ini yang kelihatan lebih menyerlah berbanding calon wanita lain di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, Nurul Ashikin yang juga lulusan Doktor Falsafah (PhD) Regional Environment Systems, Shibaura Institute of Technology, Jepun, berkata, setiap calon mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri.

“Jika ada yang memuji rupa paras dan menyifatkannya sebagai modal ‘tambah nilai’ dalam menarik undi, saya menerima­nya dan bersyukur, alhamdulillah. Setiap calon mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri.

“Oleh itu pengundi harus bijak menilai setiap calon bertanding, tidak kira dari segi pendidikan, latar belakang mahupun daya tarikan fizikal. Paling utama setiap calon mampu memberikan khid­mat terbaik dan menyelesaikan isu setempat,” katanya.

NURUL FADZILAH KAMALUDDIN
Bekas pengacara TV Alhijrah yang juga Ketua Srikandi Muda Bersatu ini menjadi antara pencabar kerusi Parlimen Setiawangsa yang disandang oleh Nik Nazmi Nik Ahmad dari PKR.

Keayuan yang dimiliki Nurul Fadzilah membuatkan ramai pengundi kawasan berkenaan melakukan carian di internet siapa sebenarnya calon yang di­letakkan Perikatan Nasional (PN) di kawasan mereka itu.

Kehadirannya di Parlimen Titiwangsa juga dilihat dilihat mahu menarik sokongan pengundi muda iaitu pengundi 18 tahun di kawasan tersebut sekali gus memberi harapan kemenangan kepada PN.

“Alhamdulillah, insya-Allah saya akan buat yang terbaik untuk kawasan Parlimen Setiawangsa dan akan pastikan pembangunan anak muda akan diteruskan.

“Semoga semua rakyat akan turun (untuk mengundi) dan bukan sahaja sokong anak muda menjadi calon malah menyokong untuk calon wanita menjadi pe­mimpin,” katanya yang membawa slogan Setia Bersama Setiawangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×