PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan berlangsung pada 19 November ini. Satu keputusan penting pengundi bagi melihat apakah akan terbentuk sebuah kestabilan politik negara pasca PRU15. Tanpa terhasilnya sebuah kestabilan, maka matlamat sebenar pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu secara mudahnya mengalami kegagalan. Empat gabungan parti utama yang bertanding merebut 222 kerusi Parlimen iaitu Pakatan Harapan (PH) di 206 kerusi, Barisan Nasional (BN) di 178 kerusi serta Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air masing-masing 171 dan 125 kerusi. Empat gabungan parti ini yang memungkinkan mampu membentuk Kerajaan Persekutuan dengan sekurang-kurangnya 112 kerusi majoriti mudah. Angka 112 sebenarnya bukanlah yang baik bagi membina sebuah kerajaan stabil.
Sebanyak 54 kawasan melibatkan pertandingan tiga penjuru dan 83 kawasan empat penjuru. Pertandingan paling jelas adalah antara PH, BN dan PN. Adakah parti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atau Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal menguasai politik negara akan diketahui menjelang pagi 20 November nanti. Ketiga-tiga gabungan parti ini dikuasai oleh pimpinan Melayu (walaupun PH berdasarkan PRU lepas didominasi DAP dengan bilangan ahli Parlimen yang besar). Dengan bilangan anggota Parlimen yang besar, maka kuasa tawar-menawarnya lebih kuat.
Buat masa ini tiada siapa yang boleh menyatakan dengan bukti kukuh, manakah parti yang akan mampu menguasai politik negara. Ramai berpendapat tidak akan wujud satu kemenangan tunggal yang akan mendapat jumlah minimum membentuk kerajaan (112 kerusi). Mana-mana pihak yang menang hanya mendapat jumlah besar, tapi perlu bergabung dengan mana-mana parti bagi mendapat jumlah cukup untuk membentuk kerajaan.
Mungkin BN akan bergabung dengan PH atau PN akan bergabung dengan BN. Masalah perbezaan falsafah dan ideologi politik mampu diketepikan bagi mendapatkan kuasa. Secara logik, ideologi dan falsafah Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak mungkin dapat bekerjasama dengan DAP dalam membentuk kerajaan selepas PRU14 pada 2018. Namun, dalam membentuk kuasa dan menghadapi musuh politik semasa, kerjasama Dr. Mahathir dan DAP boleh berlaku. Gabungan yang mungkin berlaku selepas PRU15 adalah di luar jangka yang tidak dapat kita fikir dan ramalkan buat masa ini.
Apa yang penting dan mungkin lebih boleh menjamin kestabilan politik negara adalah perlunya sebuah parti didominasi oleh orang Melayu. Dalam prinsip umum, BN dan PN lebih bersifat Melayu berbanding PH (berdasarkan struktur gabungan, bilangan anggota Parlimen dan sejarah lepas). Umumnya, jika BN atau PN menang besar maka sebuah kerajaan bersifat dominan Melayu akan terbentuk, walaupun di dalamnya terdapat parti-parti mewakili kaum Cina (seperti Gerakan dan MCA). Umumnya, orang Melayu masih berpendapat DAP dan MCA mempunyai perbezaan dalam perjuangan asas mereka, walaupun pada hakikatnya MCA juga memperjuangkan kepentingan kaum Cina.
AMANAH, PKR
Pengundi Melayu dan pemimpin parti Melayu perlu membuat keputusan tepat mulai sekarang, sebelum keputusan PRU15. Elakkan sekali-kali perpecahan undian pengundi Melayu.
Keputusan tepat perlu diputuskan dengan rasional, mana satukah parti yang benar-benar boleh menjamin survival politik orang Melayu dan menjaga kepentingan mereka? Salah tafsir dan salah pilih akan membawa kesan besar kepada politik dan masa depan orang Melayu.
Politik terumbang-ambing tanpa kuasa politik Melayu dominan tidak akan membawa apa-apa makna. Ketidakstabilan sebagaimana selepas PRU14 akan berulang. Sedarlah, kuasa dominan politik Melayu adalah satu prasyarat perlu bagi kestabilan politik negara (tanpa menafikan perlunya kerjasama dengan mana-mana parti politik bukan Melayu).
Persoalan sekarang, mana satukah parti Melayu yang perlu menjadi pilihan pengundi Melayu? Wajarkan satu bekerjasama sebelum pilihan raya dibentuk atau membentuk kerjasama antara parti Melayu selepas keputusan diumumkan pada malam 19 November? PN dan BN adalah parti yang lebih dominan Melayu. Ini didasarkan pengalaman pentadbiran PH selama 22 bulan yang mana dilihat kepentingan Melayu tidak benar-benar terjamin. Ada juga berpendapat pentadbiran dan keupayaan Anwar adalah luar biasa dalam menjaga kepentingan Melayu.
Adakah terjamin kemenangan PN atau BN berhadapan calon PH di kawasan Parlimen campuran yang sekurang-kurangnya terdapat 15 hingga 20 peratus pengundi bukan Melayu (dengan andaian pengundi Cina lebih memihak kepada calon PH berdasarkan situasi PRU lepas)?
Perpecahan pengundi Melayu kepada BN dan PN akan memungkinkan kemenangan calon PH dengan sokongan kuat pengundi bukan Melayu dan sedikit sokongan pengundi Melayu. Ini mungkin membolehkan calon Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR mengalahkan calon BN atau PH. Dalam situasi begini, kerjasama selepas keputusan PRU15 adalah merugikan dan tidak mungkin menjamin pembentukan kerajaan dominan Melayu walaupun dengan kerjasama.
Dalam menguruskan situasi begini, kerjasama BN dan PN perlu dilakukan sebelum hari pengundian (walaupun agak sukar sebab penamaan calon telah berlaku). Merujuk kepada persoalan di atas, keputusan hanya terletak kepada kebijaksanaan para pengundi Melayu dengan memilih satu parti politik Melayu yang boleh menjamin kestabilan nasional.
Keputusan bijak pengundi Melayu sangat perlu dalam menentukan pilihan tepat hanya kepada sebuah parti Melayu yang benar-benar menjamin survival bangsa dan negara. Dalam keadaan parti-parti Melayu berpecah-belah dan banyak bilangannya, pengundi Melayu perlu membuat pilihan bijak (walaupun agak sukar). Sedarlah, pengundian orang-orang Melayu yang berpecah-belah akan memungkinkan kelemahan kuasa politik Melayu.
Pilihlah dengan benar-benar bijak, ambil pengajaran lepas yang menyukarkan keadaan – kepentingan Melayu terancam, masa depan suram. Bangkitkan sebuah politik Melayu yang mampu membela nasib bangsa. – UTUSAN
DR. Mohd. Noor Yazid ialah bekas Profesor Madya di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah. Kini mengikuti pengajian sarjana undang-undang (LLM in International Law) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak.










