‘Restu’ Tajuddin suntikan BN pertahan Parlimen Pasir Salak

‘Restu’ Tajuddin suntikan BN pertahan Parlimen Pasir Salak

TAJUDDIN ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMUNCULAN Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengiringi calon Barisan Nasional (BN) semasa proses penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Pasir Salak, mengakhiri andaian beliau merajuk kerana tidak dicalonkan semula.

Kehadirannya yang turut memberi sokongan kepada calon-calon BN di Parlimen Pasir Salak dan dua lagi Dewan Undangan Negeri (DUN) melegakan banyak pihak, ketika ada khabar angin mengatakan Tajuddin mungkin bertanding Bebas atau menyertai parti lawan.

Namun, Tajuddin menunjukkan kesetiaannya kepada parti dengan menyatakan so­kongan terhadap penggantinya Khairul Azwan Harun.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak itu dengan tegas menyatakan beliau hadir bagi menyokong parti dan mahu membantu partinya menang.

“Saya sokong parti dan orang yang berjuang untuk parti. Saya sokong parti, saya tidak menyokong individu,” katanya.

Sokongan Tajuddin itu amat besar maknanya buat BN di Parlimen Pasir Salak dalam memastikan kemenangan dan ini diakui Khairul Azwan.

Khairul Azwan berkata, secara peribadi beliau terharu dan mengucapkan terima kasih kepada Tajuddin kerana memberi laluan kepadanya untuk meneruskan legasi Tajuddin mencipta kemenangan BN di Pasir Salak.

“Kami (UMNO) di Pasir Salak mempunyai tahap persefahaman tinggi dan semuanya meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan diri.

“Saya gembira dan berterima kasih kepada beliau kerana menyokong kami malah beliau banyak kali mengungkap komitmen dan sokongan kepada UMNO dan BN di ketiga-tiga kerusi di Pasir Salak,” katanya.

Restu Tajuddin pastinya mencerahkan lagi peluang BN mempertahan Pasir Salak.

Kerusi Pasir Salak menyaksikan pertembungan empat penjuru apabila Khairul Azwan berdepan Nik Omar Nik Aziz (PH), Jamaludin Yahya (PN) dan Zairol Hizam Zakaria (Pejuang).

Tajuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, menjadi Ahli Parlimen Pasir Salak sejak tiga penggal iaitu 2008 dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah selama sepenggal iaitu pada 2004 hingga 2008. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×