Pengundi tunggu kempen intelektual

Pengundi tunggu kempen intelektual

BENDERA Pas berkibar di Kampung Buluh Gading, Kuala Nerus, semalam. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu bersandarkan perbincangan intelektual berkaitan masa depan negara dan bukannya retorik atau lawak jenaka semata-mata.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Dr. Sivamurugan Pandian berpandangan, pendekatan dan penjenamaan kempen kali ini harus berubah berbanding pilihan raya lepas yang lebih menjurus kepada isu-isu panas semata-mata.

Katanya, ini kerana negara dalam era pasca pandemik yang mana berlakunya pelbagai dugaan, keperitan hidup dan pengangguran.

Sehubungan itu, katanya, ca­lon dan parti harus memberi tumpuan kepada isu tempatan berbanding isu nasional semata.

“Isu nasional masih penting seperti integriti, tetapi apabila berada pada kemelut ketika ini, sudah pasti pengundi mengharap­kan keperluan dan kemahuan mereka untuk dipenuhi.

“Jadi, kempen harus lebih komprehensif dengan kandungan yang menampakkan komunikasi menyakinkan ke atas ke­perluan dan kemahuan pengundi.

“Apakah pendekatan untuk menangani kos sara hidup dan peluang pekerjaan yang saya rasakan perlu diberikan keutamaan jika mahu dapat keyakinan.

“Pada 2018 dulu, ketika itu mungkin sesuai dibawa (isu nasional), tetapi perubahan ke­adaan yang memberi cerminan berbeza, bermakna calon dan parti perlu buat perubahan sesuai dengan pasca pandemik,” kata­nya ketika dihubungi, semalam.

Seramai 1,386 calon bertan­ding merebut kerusi Parlimen da­n Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jumlah itu melibatkan 945 calon untuk 222 kerusi Parlimen iaitu meningkat hampir 28 peratus berbanding PRU14 sebanyak 687 orang.

Di DUN, 441 calon bertanding di 117 kerusi di Perlis, Perak, Pahang dan DUN Bugaya di Sabah.

Mengulas lanjut, Sivamurugan berkata, isu tempatan perlu memberi tumpuan kepada kedudukan ekonomi setempat, peluang pekerjaan, peluang pendidikan dan meningkatkan taraf hidup yang boleh diketengahkan di peringkat nasional.

Namun, katanya, isu tempatan berbeza mengikut kawasan.

“Dulu 2018 soal integriti yang main peranan, isu rasuah dan pecah amanah, walaupun ia masih penting, tetapi dipinggir buat sementara untuk dilihat perkara sedang dilalui rakyat. Isu itu kurang wajar dimainkan pembangkang sebab bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah didakwa.

“Isu integriti biarlah pihak berwajib jalankan tanggungjawab, kalau mahu cakap pasal (Pre­siden Barisan Nasional), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, maka perlu cakap juga pasal Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Lim Guan Eng,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Dr. Azmi Hassan berkata, pendekatan kempen calon bertanding perlu mempunyai perbincangan menjurus kepada dasar jangka panjang terutamanya membabitkan isu ekonomi masa depan negara.

Namun, katanya, isu yang besar itu agak sukar dibincangkan kerana ia melibatkan perkara yang berlaku di dunia luar yang perlu dilihat dari sudut tiga atau empat tahun terkehadapan.

“Masalah isu global ini bukan sahaja perlu dikaitkan dengan pandemik, tetapi perlu dikaitkan dengan perubahan iklim dan perang Rusia-Ukraine.

“Oleh itu, ia memerlukan satu kempen perbincangan yang agak intelektual di mana calon-calon yang bertanding perlu membuat kerja rumah dan memahami isu ini.

“Ini kerana isu ini memang sukar untuk dibincangkan terutama sekali kempen secara fizikal di mana retorik dan lawak jenaka menjadi bahan utama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×