SEJAK penubuhannya, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bercita-cita tinggi menjadi sebuah parti berbilang kaum. Parti itu berjanji akan membawa keharmonian masyarakat majmuk, keadilan sosial, kesaksamaan ekonomi, demokrasi berpolitik dan liberalisme budaya kepada rakyat.
Gerakan bermula sebagai sebuah parti pembangkang di Pulau Pinang. Pada pilihan raya umum (PRU) 1969, Gerakan di bawah pimpinan Tun Dr. Lim Chong Eu telah menumbangkan kerajaan negeri Parti Perikatan yang diketuai Ketua Menteri dari MCA, Tan Sri Wong Pow Nee. Chong Eu kemudian mengambil alih jawatan sebagai Ketua Menteri yang baharu.
Chong Eu dilahirkan di Pulau Pinang. Beliau seorang doktor perubatan dan bekas Presiden MCA. Pada 1958, beliau mencabar Tun Tan Cheng Lock dalam perhimpunan agong MCA dan menang dengan majoriti 22 undi.
Malangnya, tiada tempat setimpal dalam MCA yang dapat merealisasikan perjuangan politik beliau. Maka Chong Eu terpaksa meninggalkan parti itu pada 1961 dan pulang ke Pulau Pinang untuk mencari ‘medan perang’ baharu.
Chong Eu sungguh bertuah. Pada ketika itu, kaum Cina di Pulau Pinang sudah jemu dan tidak berpuas hati dengan cara MCA menangani pengaruh politik daripada parti utama dalam Kerajaan Persekutuan. MCA didapati sangat lemah dan tidak berupaya membantah permintaan berlebih-lebihan daripada parti sekutu yang lebih dominan.
Pada PRU 1969, Gerakan dengan senang menggantikan MCA sebagai parti memerintah di Pulau Pinang. Dua hari selepas PRU 1969, rusuhan kaum 13 Mei berlaku di ibu kota. Chong Eu dijemput oleh Timbalan Perdana Menteri kerajaan Parti Perikatan ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein untuk membentuk sebuah kerajaan campuran dengan UMNO di Pulau Pinang.
Pada 1974, Gerakan menyertai Barisan Nasional (BN), sebuah gagasan politik baharu yang diperluaskan untuk menyambung kerja dan peranan Parti Perikatan. Gerakan terus meraih kemenangan di Pulau Pinang dan mengembangkan pengaruhnya ke seluruh negara selepas itu.
Chong Eu sesungguhnya mempunyai jiwa dan ketokohan politik yang menonjol. Selaku Ketua Menteri antara 1969 hingga 1990, beliau banyak mencipta kemajuan ekonomi dan pembangunan sosial untuk Pulau Pinang. Namun, Gerakan tidak menunjukkan rekod prestasi yang menyerlah di peringkat Persekutuan.
Gerakan berkeyakinan bahawa pembaharuan politik merentasi kaum itu akan membuahkan hasil lumayan. Akan tetapi, impian selalu menyimpang daripada kenyataan. Perjuangan Gerakan kelihatan masih terbatas dengan sokongan kaum Cina semata-mata.
Setelah 21 tahun berkhidmat sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, Chong Eu akhirnya ditumpaskan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang pada PRU 1990. Beliau terpaksa berundur daripada politik. Selepas pengunduran Chong Eu, Gerakan kelihatan kurang bermaya. Haluan perjuangan parti itu juga kabur dan kurang berfokus.
BERNAFAS
Parti lawan Gerakan, khususnya DAP sering mengejek parti itu bernafas dengan menumpang kekuatan politik gagasan BN. Sudah lama orang menjangka parti itu akan tumbang ditolak oleh para penyokongnya pada suatu hari.
Berbanding MCA yang mempertahankan kepentingan kaum Cina secara lantang, suara kecinaan Gerakan amat lemah. Pembentukan organisasi itu tidak segagah MCA. Parti itu juga tidak memperlihatkan pelapis-pelapis yang komited dan menonjol.
Dalam satu tsunami politik menjelang PRU 2008, Gerakan hilang tampuk pemerintahan di Pulau Pinang kepada Pakatan Harapan (PH). DAP muncul sebagai pemenang baharu menerajui Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Dalam PRU14, Gerakan kehilangan semua kerusi Parlimen yang dipertandingkan. Kecundangan dalam PRU itu menyebabkan Gerakan terperangkap dalam keadaan kucar-kacir. Gerakan bagaikan tersesat di simpang perjuangan politik. Pada 2018, Gerakan membuat keputusan untuk keluar dari BN.
Sesungguhnya, pemisahan dari BN mungkin berfaedah bagi Gerakan kerana parti itu boleh mencari titik permulaan baharu tanpa menghadapi apa-apa sekatan daripada mana-mana gagasan. Gerakan boleh kembali ke tempat asal parti itu, iaitu Pulau Pinang untuk bangkit semula. Gerakan boleh menjadi sebuah parti pembangkang yang memfokuskan pemantauan ke atas DAP yang memerintah sejak 2008 di negeri itu. Akan tetapi di luar dugaan, Gerakan tiba-tiba menyertai Perikatan Nasional (PN) pada 2021.
Gerakan dilihat cuba mencari peluang dalam pergolakan politik Melayu yang berpecah-belah. Namun, hasil undi yang diraih parti tersebut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini sesungguhnya bukan atas kekuatan dan keringat Gerakan sendiri.
Keanggotaan Gerakan dalam PN sekali lagi mengulangi kesilapan yang agak sama seperti pada hari-hari akhir mereka bersama gagasan BN suatu ketika dahulu. Penyertaan Gerakan dalam PN dilihat mustahil untuk membuahkan apa-apa hasil yang signifikan dan berpanjangan demi kelangsungan politiknya.
Gerakan kelihatan mudah patah semangat dan tidak berpegang teguh kepada prinsip dan teras perjuangan asal. Legasi politik gilang-gemilang yang diwarisi daripada pemimpin veteran langsung tidak dimanfaatkan secara bijak dan sempurna.
Michael Porter, seorang ahli akademik yang mempelopori Teori Strategik Perniagaan pernah mencadangkan bahawa untuk terus relevan dan mengatasi para pesaing dalam dunia perniagaan yang sentiasa dipenuhi persaingan hebat, sesebuah firma perlu memiliki produk unik, tepat dan mengamalkan strategi persaingan berbeza daripada yang lain.
Begitu juga dalam arena politik, untuk terus mengatasi pesaing, sesebuah parti mesti mengamalkan perbezaan secara menyeluruh dalam hala tuju, strategi perjuangan, pencungkilan bakat, percaturan berkesan serta penampilan keazaman melawan yang berkobar-kobar.
Tanpa kesemua unsur dan daya penggerak seperti di atas, barangkali Gerakan betul-betul akan dikuburkan terus selepas PRU15? – UTUSAN
PENULIS ialah siswazah Ijazah Sarjana Media & Komunikasi dari Universiti Malaya (UM).










