PRU15: Siapa akan berjaya? - Utusan Malaysia

PRU15: Siapa akan berjaya?

Perang kempen bermula dan kini nasib calon semua parti ditentukan pengundi 19 November.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 1,386 ca­lon layak bertanding bagi mere­but kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di seluruh negara.

Jumlah itu melibatkan 945 calon bertanding untuk 222 ke­rusi Parlimen iaitu meningkat hampir 28 peratus ber­banding PRU14 lalu dengan 687 calon me­masuki ge­langgang.

Bagi peringkat DUN, seramai 441 calon bertanding di 117 kerusi iaitu di Perlis, Perak, Pahang dan DUN Bugaya di Sabah.

Nasib kesemua 1,386 calon Par­limen dan DUN akan ditentukan 21,173,628 pengundi yang akan membuat pilihan pada ha­ri pengundian 19 November ini.

Jumlah calon gabungan Pakatan Harapan (PH) direkodkan paling tinggi bertanding di peringkat Parlimen iaitu seramai 220 calon termasuk enam calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) diikuti Barisan Nasional (BN) 178 calon, Perikatan Nasional (PN) 171 calon, manakala Pejuang yang mewakili Gerakan Tanah Air (GTA) termasuk sembilan c­alon daripada Putra sebanyak 125 calon.

SPR juga merekodkan seramai 108 calon Bebas yang mencuba nasib merebut kesemua kerusi Parlimen kecuali di Wilayah Persekutuan Labuan.

Bagi peringkat DUN pula, BN mempertaruhkan 117 calon, diikuti PH seramai 116 calon, PN (116 calon), Pejuang yang mewakili GTA (45 calon) manakala Bebas (24 calon).

PENCALONAN

Terdahulu dalam sidang akhbar khas, SPR menolak enam kertas pencalonan melibatkan empat pencalonan di kerusi Parlimen dan dua pencalonan kerusi DUN ketika urusan penamaan calon bagi PRU15 berlangsung.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, sebanyak 222 Pusat Penamaan Calon dibuka di seluruh negara bermula pukul 9 pagi hingga 10 pagi semalam untuk bakal-bakal calon mengemukakan kertas penamaan mereka yang turut melibatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya.

Menurut beliau, tiada kerusi menang tanpa bertanding de­ngan menyaksikan pertembungan paling tinggi sebanyak 10 penjuru di peringkat Parlimen iaitu Batu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur manakala tujuh penjuru bagi DUN melibatkan Chenderiang, Perak.

“Kali ini sejumlah 222 kerusi Parlimen dan 117 DUN iaitu melibatkan Pahang, Perlis, Perak serta satu kerusi Bugaya dipertandingkan.

“Dengan selesainya urusan penamaan calon tersebut, maka tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan dipertandingkan sehingga 11.59 malam, 18 November ini,” kata beliau .

Sementara itu, berlaku ke­kecohan di Dewan DSP Antanom di Tenom, Sabah apabila polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata di pusat penamaan calon di situ apabila SPR menolak pencalonan, Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM), Datuk Peter Anthony.

Kejadian itu menyebabkan­ kira-kira 5,000 orang penyo­kong calon berkenaan tidak ber­puas hati.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan kekecohan ter­sebut dan sedang menunggu laporan terperinci mengenai kejadian itu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×