Disisih ibu lantaran kecurangan bapa - Utusan Malaysia

Disisih ibu lantaran kecurangan bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selain dilabel anak paling manja, anak bongsu juga selalu dikenali sebagai anak yang paling tidak berdikari, tidak bertanggungjawab, suka menarik perhatian, nakal dan yang selalu dilepaskan begitu sahaja.

Walaupun kelebihan anak bongsu dianggap tidak terhitung banyaknya, ada rintihan mereka yang kurang didengari.

Minggu ini saya kongsikan kisah Natasha (bukan nama sebenar) seorang anak yang menjadi mangsa pilih kasih dan disisih ibu kandung.

Dalam satu perkongsian yang dikirimkan melalui emel kepada saya baru-baru ini, Natasha mendedahkan bahawanya ibunya tidak pernah melayan apalagi menerimanya sebagai anak sendiri.

Layanan buruk diterima sejak usianya masih kecil hinggalah dia berumahtangga dan mempunyai keluarga sendiri.

Tulis Natasha dalam emelnya, sudah lama dia memendam kisah itu seorang diri .

Perkongsiannya itu tidak bermaksud memburukkan ibu sendiri, sebaliknya lebih kepada pengajaran kepada diri sendiri dan orang lain yang senasib.

Ceritanya, dia merupakan anak bongsu daripada empat beradik. Mempunyai dua abang dan seorang kakak.

Dia bukan anak emas apalagi anak manja.

Sebaliknya dia sering menjadi sasaran kemarahan ibu yang tidak tentu hujung pangkalnya.

Sejak kecil Natasha diminta melakukan kerja-kerja rumah, daripada mencuci pakaian hinggalah ke mengemas rumah.

Menyambung cerita, rupa-rupanya, ibu tidak bersedia masa mengandung dan melahirkannya ke dunia.

Ibu terlepas cakap pada suatu hari kepada Natasha bahawa sebenarnya dia tidak mahukan kandungan itu, tetapi terpaksa.

Ketika itu Natasha mencecah usia 15 tahun.

Hanya Allah yang tahu bagaimana perasaannya ketika itu. Sebak di dada, air mata yang ditahan jatuh juga akhirnya, bila mana kata-kata itu keluar daripada mulut ibu sendiri.

Difahamkan, bapanya pernah curang ketika ibu dalam tempoh berpantang anak ketiga, iaitu kakak Natasha.

Namun kedua ibu bapa Natasha berbaik semula dan bapa berjanji tidak mengulangi perbuatannya itu.

Dalam tempoh berbaik itulah ibu hamil lagi. Pada awalnya, ibu mahu menggugurkan sahaja kandungan, namun menarik semula hasrat tersebut.

Ibu mahu menunjukkan bahawa kehamilan itu sebagai bukti bapa lebih sayangkan ibu berbanding wanita itu.

Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari.

Ketika Natasha berusia enam bulan, ibu berjaya menghidu perbuatan curang bapa sekali lagi dengan wanita sama.

Ibu dan bapa bergaduh besar dan ibu diceraikan dengan talak dua.

Keadaan itu membuatkan ibu tertekan dan bermulalah bibit-bibit kemarahan ibu kepada Natasha.

Apa sahaja yang dilakukannya tidak kena di mata ibu.

Ibu jarang memarahi abang-abang dan kakaknya. Mereka menerima layanan seperti biasa.

Pada mata ibu, hanya mereka anak-anaknya dan menganggap Natasha tidak wujud.

Hari bertukar minggu, minggu membawa kepada bulan dan melepasi tahun seterusnya.

Natasha terus membesar dalam keadaan yang kurang kasih sayang seorang ibu.

Pun begitu, ia tidak langsung menjejaskan prestasinya dalam akademik.

Natasha nekad mahu memenangi hati ibu dengan menunjukkan kecemerlangan dalam pelajaran.

Namun, ia tidak pernah mengendurkan kebencian ibu kepadanya.

Dari sekolah rendah, menengah hinggalah Natasha berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading, ibu langsung tidak ambil peduli.

Sekecil apapun kebaikan Natasha, tidak pernah dianggap baik oleh ibu.

Selepas tamat Sijli Pelajaran Malaysia, Natasha melanjutkan pengajian di salah sebuah universiti tempatan.

Ibu memperlekehkan usaha Natasha dan berkeras tidak membenarkannya melanjutkan pengajian kerana menurutnya hanya satu pembaziran.

Dengan bantuan dan sokongan terutama daripada abang sulung, Natasha berjaya menamatkan pengajian.

Alhamdulilah berkat usaha, Natasha lulus cemerlang dan ditawarkan pekerjaan sesuai jurusan iaitu sebagai seorang guru.

Ketika usia mencecah 27 tahun, Natasha mendirikan rumahtangga dengan Hezry (bukan nama sebenar). Lelaki yang dikenalinya ketika sama-sama menuntut di universiti.

Dalam tempoh hidup berumahtangga, Natasha dan suami sentiasa berusaha untuk berbaik dengan ibu, namun sikap ibu masih tidak berubah.

Namun, sokongan daripada Hezry agar tidak berputus asa untuk terus berbuat baik dengan ibu menguatkan semangat Natasha.

Hasil perkahwinan Natasha dan Hezry selama enam tahun, mereka dikurniakan tiga anak.

Setiap hari dalam setiap sujud, Natasha tidak pernah lupa mendoakan agar hati ibunya lembut untuk menerimanya.

Jauh di sudut hati, dia tidak pernah berdendam apalagi menyalahkan ibu atas sikap dan layanan buruk terhadapnya selama ini.

Sebagai anak, Natasha tetap sayang dan menghormati ibu yang mengandung, melahir dan membesarkannya.

Apalagi dalam keadaan kesihatan ibu yang kurang baik sejak kebelakangan ini.

Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyentuh berkenaan kewajipan anak-anak kepada ibu bapa serta adab-adab yang mesti dijaga ketika bersama mereka.

Sebagaimana Firman Allah SWT bermaksud:
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan Allah semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya telah menjangkau umur tua, maka mereka mestilah dalam jagaanmu. Oleh sebab itu janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) , sekalipun perkataan ‘Hah’ dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (bersopan santun) (Surah Isra, ayat 23).

Ayat ini secara jelas mengharamkan anak berkelakuan kasar dan biadap terhadap kedua-dua ibu bapa mereka walaupun mereka berlainan agama dan cara hidup.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×